
JIKA anda penggemar durian, tiada apa yang lebih menggembirakan selain peluang untuk makan sebanyak mana durian yang anda mahu secara percuma.
Acara pesta durian ini telah menarik lebih daripada 2,000 peminat Raja Buah ke Galeri Bayu Sutera di Bandar Sri Sendayan, dekat Seremban, Negeri Sembilan.
Dianjurkan oleh syarikat pemaju perumahan dan hartanah Matrix Concepts Holdings Bhd, acara yang diadakan di kawasan pembangunan kediaman Bayu Sutera lakeside ini menawarkan pelbagai jenis durian premium untuk dinikmati secara percuma termasuk Musang King, Tekka, D101, dan D24.
Apa yang lebih mengujakan, semua tetamu dapat menikmati sebanyak 2.6 tan durian premium serta buah-buahan tempatan lain seperti kelapa pandan, nangka, rambutan, manggis, dan tembikai.
BACA LAGI: [VIDEO] Pameran 15,000 'teddy bear' karya Bachir Mohammad lambang nyawa kanak-kanak melayang di Gaza
BACA LAGI: Pengerusi Eksekutif GISBH dan isteri antara 19 ditahan bantu siasatan
Ketua Pegawai Pemasaran Matrix Concepts, Lim Kok Yee berkata, acara Durian Fiesta 2024 ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada komuniti setempat atas sokongan berterusan mereka.
“Kami sangat teruja dengan sambutan luar biasa daripada pembeli rumah yang dihargai dan komuniti Sendayan terhadap pesta buah ini,” katanya.
Menurutnya, acara serupa akan dirancang untuk lebih dekat dengan komuniti.
Durian Fiesta 2024 merupakan acara makan pertama yang dianjurkan pemaju selepas lima tahun.
Sebelum ini, empat acara sama diadakan di kawasan pembangunan kediaman yang berbeza pada 2019.
Acara tahun ini diserikan lagi dengan kehadiran istimewa pencipta kandungan, My Cousin yang berkongsi petua tentang cara mengenali pelbagai jenis durian.
Sementara ibu bapa menikmati durian, kanak-kanak tidak ketinggalan untuk berhibur dengan pertunjukan silap mata dan aktiviti menyeronokkan lain, termasuk gerai aiskrim dan popcorn.
Bayu Sutera, sebuah pembangunan kediaman tepi tasik seluas 87.4 hektar melancarkan fasa pertamanya pada tahun 2021 dan setakat ini, sebanyak 963 unit telah siap dan diserahkan kepada pembeli. — The Star / CS NATHAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram