Jawatankuasa khas ditubuh siasat kes bayi meninggal, dakwaan staf Hospital Dungun sikap acuh tak acuh


  • 112
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Sikap segelintir staf di wad bersalin Hospital Dungun didakwa punca seorang bayi meninggal kira-kira dua hari selepas dilahirkan. — Gambar hiasan

JABATAN Kesihatan Terengganu sudah menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menyiasat dakwaan kecuaian staf di Hospital Dungun, Terengganu yang mengakibatkan kematian seorang bayi.

Pengarah jabatan itu, Datuk Dr Kasemani Embong menyatakan siasatan sudah dilancarkan berikutan satu hantaran tular di aplikasi X oleh 'Matdan The Great (@rushashraf)' pada Selasa lalu.

Dia menjelaskan pengguna media sosial itu meluahkan kekecewaannya terhadap kualiti perkhidmatan disediakan staf di wad bersalin kepada kakaknya sehingga mengakibatkan kanak-kanak tersebut meninggal dunia.

BACA LAGI: Bukan saja bayi, ibu juga terima manfaat ketika menyusukan anak

BACA LAGI: Bayi dalam simen: Polis Perak mungkin minta bantuan Interpol kesan wanita Indonesia

"Siasatan awal mendapati kakak kepada pengadu sudah dimasukkan ke wad bersalin di Hospital Dungun pada Isnin dan bayi itu dilahirkan pada keesokan paginya.

"Bagaimanapun, bayi berkenaan mengalami kesesakan nafas dan diberikan rawatan awal untuk memastikan keadannya kembali stabil sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal, Hospital Kemaman pada pukul 7.45 pagi," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Dr Kasemani berkata, bayi itu bagaimanapun tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan untuk kira-kira 40 jam di unit berkenaan.

Menurutnya, jabatan tersebut masih melakukan siasatan mengenai punca kematian selain akan memastikan segala proses akan dibuat menurut prosedur rapi.

"Jabatan ini memandang setiap aduan yang dibuat secara serius dan sudah menubuhkan satu jawatankuasa bebas untuk menyiasat perkara tersebut.

"Kami juga akan menambah baik setiap aspek berdasarkan laporan yang diterima," katanya sambil menegaskan pihaknya akan mendengar aduan dan maklum balas daripada orang ramai," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram