Elak anak ketagih gajet, keluarga ‘koboi Malaysia’ jadikan minat bela kuda sebagai tradisi


  • Massa
  • Khamis, 19 Sep 2024

Keluarga ‘koboi Malaysia’ mempunyai minat mendalam terhadap kuda. — The Star

MEMBELA haiwan peliharaan sebagai hobi merupakan aktiviti yang boleh mengisi masa lapang selain mengurangkan masa terhadap gajet serta boleh menjadi alat 'healing' bagi mereka yang mahukan ketenangan.

Selain itu, ada juga yang menjadikannya sebagai peneman ketika sunyi atau pengubat tekanan mental.

Bukan saja kanak-kanak tetapi ada juga orang dewasa yang memilih untuk membela haiwan seperti kucing, anjing, hamster atau sugar glider berikutan kecomelan dan kelincahan untuk bermain bersama.

BACA LAGI: Tolak tepi kos terbit majalah, binaTech gigih sumbang ilmu teknologi pembinaan

BACA LAGI: 'Tak pernah MC sepanjang 27 tahun di Malaysia', Abu Bakar jadi pekerja contoh, kini sudah pulang ke Bangladesh

WhatsApp Image 2024-09-18 at 12.31.11

Nek Man (kanan) dan isterinya (kiri) menghabiskan masa lapang bersama kuda di ladangnya di Bukit Tinggi. — The Star

Namun, tidak bagi keluarga unik digelar ‘koboi Malaysia’ kerana menyambung legasi turun-temurun keluarga menjaga empat ekor kuda kesayangan di ladang.

Gelaran koboi Malaysia

Membela kuda dengan gaya hidup seperti koboi yang bermula daripada susur galur terawal iaitu Datuk Nek Abdul Rahman Saleh, 68, sebelum diturunkan kepada isteri, anak dan cucu-cucunya.

Bekas Penolong Penguasa Polis (ASP) yang dikenali sebagai Nek Man berkata, minatnya terhadap dunia koboi bermula 30 tahun lalu.

Ia selepas diberi kesempatan bertemu dengan seorang warga Indonesia yang berkongsi maklumat tentang khasiat susu kuda liar.

Teruja dengan pengetahuan baharu itu, Nek Man memutuskan untuk melakukan kajian sendiri berhubung susu kuda dengan tujuan untuk membuka perniagaan kelak.

Beliau juga mengambil langkah melanjutkan pelajaran di peringkat universiti bagi mempelajari ilmu undang-undang perubatan, pengurusan projek serta mengikuti program perniagaan kuda di United Kingdom.

“Semua ini adalah untuk kepentingan perniagaan dan minat saya.

“Semakin banyak saya belajar, semakin saya jatuh cinta dengan dunia kuda dan semakin mahu menjadi seorang koboi,” katanya.

WhatsApp Image 2024-09-18 at 12.32.37

Nek Man berminat dengan kuda selepas mendengar kisah tentang khasiat susu kuda. — The Star

Berkat usahanya, beliau menjadi tokoh terkemuka dalam komuniti kuda di Malaysia dan mula mewakili negara di pentas global antaranya adalah Pesta Kuda Turkmen di Turkmenistan pada 2013.

Katanya, pada tahun itulah beliau diberi gelaran ‘koboi Malaysia’ oleh rakan peserta dari Amerika Syarikat (AS).

Sejak daripada itu juga namanya sering disebut dan dikenali orang ramai ketika berjumpa dengannya.

Kapasitinya sebagai Presiden Persatuan Kuda Asean, Penaung Persatuan Aktiviti Kuda Kelantan, Penasihat Persatuan Koboi Thailand-Amerika dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bangsa Indonesia sekali gus menunjukkan kehebatannya dalam dunia koboi.

Tradisi koboi dalam keluarga

Minat mendalam Nek Man itu kemudiannya mengalir dalam darah keluarga kecilnya yang bermula dengan anak lelakinya, Nek Ahmad Maheer Nek Abdul Rahman.

Isteri Nek Man, Datin Norhayati A. Rahim, 66, menjelaskan bahawa gaya hidup koboi itu boleh dilihat daripada cara pemakaian ketika mengendali kuda mahu pun ke majlis-majlis formal.

"Apabila kami keluar sebagai keluarga koboi, kami akan memakai pakaian koboi lengkap dengan topi, but dan baju gaya orang Barat.

"Tetapi, koboi tidak hanya memakai seluar jeans pudar sepanjang masa. Kami sentiasa ada pakaian lain untuk setiap majlis formal atau kasual,” celah Nek Man.

Sambung Norhayati, beliau kini gemar memakai pakaian yang lebih selesa atau longgar dan kadangkala digayakan dengan topi.

Katanya, peranannya sebagai isteri amat penting dalam menyokong minat dan keghairahan suaminya terhadap kuda.

Norhayati juga tidak terkecuali menguruskan perniagaan kuda mereka bersama meskipun berdepan dengan cabaran untuk belajar perkara baharu.

Menurutnya, beliau bukan sahaja perlu belajar perdagangan, perakaunan dan pemasaran sahaja, malah beliau juga harus mendalami ilmu kuda.

Antaranya adalah cara menunggang, menjaga kebajikan, memahami pemakanan, menyediakan ruang kondusif dan menguruskan aksesori kuda dengan lengkap.

WhatsApp Image 2024-09-18 at 12.33.40

Tradisi koboi yang diturunkan kepada anak dan tiga cucunya. — The Star

Norhayati berkata, peluang berharga itu tidak dilepaskan apabila suaminya memilih untuk bersara daripada tugas hakiki dalam unit Polis Diaraja Malaysia (PDRM) pada 2011.

"Apabila dia menyatakan hasratnya untuk berpindah ke Bukit Tinggi, Pahang, saya terharu.

“Jika ini adalah apa yang anda panggil gaya hidup koboi, maka saya fikir langkah itu adalah yang terbaik boleh kita lakukan.

"Tempat ini damai dan santai, ia seperti kembali ke alam semula jadi.

“Di sini, kita dapat mengajar anak cucu kita untuk tidak takut bermain dengan kotoran dan lopak serta tidak terpengaruh dengan gajet,” jelasnya.

Tiga cucunya, Nek Aryan Mukriz Nek Ahmad Maheer, 6; Nek Ariana Balqis, 9, dan Nek Armel Medina, 4, kini merupakan generasi ketiga dalam keluarga koboi itu.

Ibu mereka, Nora Shahida Mohd Fauzi, 35, berkata, ketiga-tiga anaknya itu sememangnya didedahkan kepada kuda ketika masih bayi lagi.

Katanya, pada hari dia dibenarkan keluar rumah selepas berpantang, bayinya yang baru lahir dibawa berjumpa dengan kuda di ladangnya.

"Ketiga-tiga mereka berkongsi tradisi yang sama.

"Kami mahu mereka mula dari muda seperti bapa mereka yang secara santai diperkenalkan dengan menunggang kuda ketika berusia enam tahun,” katanya lagi.

WhatsApp Image 2024-09-18 at 12.34.59

Nek Ariana Balqis bersama seekor daripada kuda yang dibela datuknya. — The Star

Nora berkata, Nek Man mendaftarkan Nek Ahmad Maheer dalam kelas menunggang kuda gaya polis di bawah program terbuka PDRM untuk ahli keluarga ketika usianya 11 tahun.

Bagi Nora yang merupakan rakan sekelas Maheer di sekolah menengah, minatnya terhadap kuda tercetus apabila dia sanggup menghabiskan masa selepas sekolah untuk mengikuti suaminya ke kelas menunggang kuda di Cheras, Kuala Lumpur.

Lawatan menunggang kuda mereka turut diteruskan di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (Maeps) di Selangor.

Keluarga Nek Ahmad ketika itu menjalankan perniagaan perkhidmatan dan perundingan berkaitan kuda, menawarkan perkhidmatan mengajar menunggang dan pengurusan kuda.

Secara beransur-ansur Nora yang berkelulusan Diploma Seni Bina Landskap itu menguasai kemahiran tersebut seperti suaminya.

Manakala, Nek Ahmad yang memegang Diploma Pengurusan Perniagaan dengan Multimedia pula mula mengajar kelas asas menunggang kuda. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram