BAGI mengesan dan menangkap suspek warga Indonesia yang dipercayai terbabit dalam penemuan mayat bayi yang tertanam di bawah simen sebuah rumah di bulan lalu, polis tidak menolak kemungkinan meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol).
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, siasatan berhubung kes tersebut masih diteruskan dan pihaknya masih menjejaki suspek terbabit yang merupakan penyewa terakhir di sebuah rumah di Taman Sri Rokam, Ipoh, Perak.
BACA LAGI: 'Kalau tak terima adik autisme, saya enggan berkahwin dengannya'
"Kita tengah kenal pasti (lokasi suspek) dan masih belum buat pengesahan sama ada suspek sudah balik ke negara asal atau masih berada di Malaysia.
“Sehubungan itu, polis akan bekerjasama dengan agensi lain seperti imigresen ((Jabatan Imigresen Malaysia) selain menggunakan semua (kekuatan) risikan kita," katanya pada sidang media majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak bulan September 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, pada Isnin.
“Kalau kita kenal pasti subjek sudah balik (ke negara asal) kita akan menggunakan saluran diplomatik iaitu Interpol,” tambahnya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam satu kenyataan berkata, menurut patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun, bayi itu adalah seorang kanak-kanak perempuan dipercayai berusia tujuh bulan dalam kandungan.
Pada 28 Ogos, seorang lelaki menemui mayat bayi dalam keadaan berbalut kain sekitar pukul 11 pagi ketika sedang membaiki rumah yang dirancang untuk disewakannya. — The Star/ANNABELLE LAWRENCE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram