BERMULA secara kecil-kecilan di pejabat, Program Pembangunan Pementoran Wanita dibangunkan oleh Advisory Development Learning Achievement (ADLA Group Sdn Bhd) kini semakin berkembang maju di serata Malaysia.
Di samping membantu golongan wanita meningkatkan keyakinan diri, program tersebut bertujuan memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga keseimbangan dan kesejahteraan hidup.
Pengasasnya, Datin Dr Hasnorliza Abu Hassan mengambil langkah memberi fokus kepada para wanita tanpa mengira status atau umur.
BACA LAGI: Keluarga sebagai sistem sokongan, Syuhada pilih cara mentor cari solusi urus masa kerja dan sosial
Program Pembangunan Pementoran Wanita yang dilancarkan pada sejak 2016. — ADLA
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Datin Leez berkata, program yang sudah dimulakannya sejak 2016 itu memfokuskan lima pilar kehidupan iaitu keutuhan, kekeluargaan, kesejahteraan, kejayaan dan komuniti.
Menurut wanita berumur 56 tahun itu, keputusan yang diambil untuk meneruskan usaha berkenaan adalah bermula daripada kisah hidupnya sebagai ibu berkerjaya.
Pada 2017, tercetuslah idea melaksanakan satu forum dinamakan Forum Antarabangsa Keseimbangan Kerja dan Kehidupan (International Work-Life Balance Forum) dengan menjemput penceramah-penceramah bertauliah untuk membuat perkongsian kepada para wanita.
"Sebagai seorang wanita dan ibu kepada enam orang anak, saya sebenarnya pernah bekerja dalam industri minyak dan gas sebelum beralih ke arah ini.
"Pada waktu itu, saya masih muda dan berusia 24 tahun dan dikurniakan anak pertama pula seorang yang istimewa (gangguan kesihatan mental).
"Jadi, saya mula fikir macamana nak perbaiki diri sebab tak tahu nak uruskan masa," katanya kepada Majoriti.
Datin Leez mengambil mengambil langkah membantu golongan wanita berkerjaya sepertinya mendapatkan keseimbangan dalam hidup. — Instagram/Datin Leez
Katanya, ia merupakan titik permulaannya mencari cara bagaimana mahu mengajar dan memberi kesedaran kepada wanita lain tentang keseimbangan hidup meskipun setiap individu mempunyai cabaran berbeza.
Menggalas tanggungjawab sebagai ibu di usia muda, Datin Leez sentiasa mencari jalan untuk mengembangkan potensi dirinya pada masa sama dapat meluangkan masa dengan keluarga.
Datin Leez berkata, bermacam-macam kerja pernah dilakukan termasuklah bidang keusahawanan iaitu dengan membuka perniagaan perkhidmatan dobi di Kuala Lumpur.
"Saya uruskan perniagaan dobi (bukan dobi layan diri) selama 15 tahun, kemudiannya berkecimpung pula dalam bidang fesyen.
"Pada waktu itu, saya rasa berkobar-kobar nak sebarkan lagi mesej keseimbangan hidup khususnya kepada wanita sebelum berjaya buat satu lagi forum sama pada 2021.
"Tetapi, bila saya lihat forum itu tak cukup sebab peserta yang terlibat hanya datang satu hari, gembira, bergelak ketawa, ambil gambar dan pulang.
"Apa lagi selepas itu? Justeru, saya cetuskan lagi idea untuk melaksanakan program mentor untuk memberi peluang dan masa lebih banyak buat peserta yang pada awalnya dikhususkan kepada wanita sahaja tetapi kini sudah diperluaskan kepada golongan lelaki untuk menimba ilmu baharu dalam kehidupan sosial," jelasnya.
Sesi kaunseling dan perbincangan dalam program itu boleh dilakukan secara maya. — Gambar hiasan/ADLA
Dalam program mentor tersebut, ia mengutamakan masalah-masalah sosial seperti rumah tangga, komunikasi di tempat kerja, pengurusan masa bersama anak dan sebagainya.
Kata Datin Leez, ia merupakan satu ruang yang disediakan buat para wanita mendapatkan bantuan daripada individu dalam bidang lain melalui sesi mentor dan menti selama tempoh enam bulan serta boleh dilakukan secara dalam talian atau bersemuka.
Kongsinya lagi, program tersebut turut berjalan seperti sesi kaunseling secara pribadi dan memberikan privasi penuh kepada peserta tanpa menerima tanggapan atau stigma negatif oleh orang ramai.
"Sepanjang saya uruskan program ini, banyak perkara saya lihat, ada benda-benda halus seperti bagaimana nak kawal perasaan, jaga emosi, kesihatan itu kadangkala ramai terlepas pandang.
"Ada yang nak jumpa pakar di hospital macam psikiatri takut ada stigma sakit mental. Jadi, sesi pementoran ini bagi ruang kepada peserta untuk meluah dan berbincang mencari solusi antara mentor dan menti sahaja.
"Tapi, sesi kaunseling kami dilakukan dalam bentuk penceritaan atau diari kehidupan sekali gus dapat beri input atau motivasi kepada dua-dua pihak," katanya lagi.
Datin Leez (empat dari kanan) bersama suami (lima dari kiri) dan anak-anaknya. — Instagram/Datin Leez
Berdasarkan pengalaman dan penyelidikan yang dilakukannya, antara faktor golongan wanita diutamakan adalah disebabkan sifat keberanian serta kesanggupan mereka meninggalkan kerjaya atau impian semata hanya untuk menjaga hal keluarga.
Baginya, ia secara tidak langsung dapat menjejaskan perkembangan ekonomi kerana negara tidak mustahil boleh kekurangan tenaga kerja sekali gus memberi impak tekanan emosi terhadap golongan itu.
Belajar dari masa lampaunya, beliau tidak menafikan bahawa setiap individu perlu mempunyai kesediaan mental yang kuat bagi menempuh segala dugaan dalam hidup sepertinya.
"Boleh dikatakan, saya pun pernah lalui fasa tekanan itu lebih-lebih lagi bila saya dikurniakan beberapa orang anak lagi ketika masih bekerja dalam industri minyak dan gas.
"Masa itu, saya tiada masa yang cukup untuk diluangkan dengan tekanan kerja lagi, suami (Datuk AR Md Ariffin Mahmud) pula ada kesibukan dia sebagai arkitek.
"Sebab itu, saya rasa kita perlu ada kumpulan sokongan yang memahami situasi ini dan pada masa sama cari jalan penyelesaian," ujarnya.
Tambahnya, program terbabit dibuka secara meluas dan secara percuma buat wanita dan lelaki sebagai satu usaha menyokong kesaksamaan jantina di Malaysia.
Beliau turut menyeru pihak bertanggungjawab untuk memandang perkara itu lebih serius dan mengemaskini beberapa polisi agar dapat memberi ruang kepada semua masyarakat meneruskan kejayaan dan impian mereka.
Hasil titik peluhnya, program tersebut kini berjaya membantu lebih 10,000 orang terutamanya golongan wanita di seluruh Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,