LARI dari realiti sebentar dengan menghirup udara segar, menikmati keindahan flora dan fauna antara anugerah terbaik untuk mendapat ketenangan.
Suasana tenang itu sekali gus dapat mengembalikan aura positif khususnya buat warga kota metropolitan yang sentiasa menjalani hidup dengan kesibukan setiap hari.
Justeru, antara cara mendapatkan kembali tenaga selepas lelah bekerja adalah dengan melakukan terapi alam sama ada merentas hutan, mendaki, bermandi-manda di air terjun atau piknik di tepi pantai.
BACA LAGI: [VIDEO] Jaga posisi, gerakan ketika solat duduk dalam kereta api
BACA LAGI: Keluarga sebagai sistem sokongan, Syuhada pilih cara mentor cari solusi urus masa kerja dan sosial
Kesibukan kota raya membuatkan ramai lebih memilih untuk mendekatkan diri dengan alam sekitar. — Gambar hiasan
Bercakap pula tentang alam, berkhemah atau camping merupakan trend yang semakin digemari oleh semua lapisan masyarakat.
Kini, apabila dilihat di kawasan sungai, air terjun, tanah tinggi dan pantai rata-ratanya dipenuhi pengunjung memacak khemah baik bersama keluarga mahupun sahabat.
Menariknya, jika sebelum ini aktiviti tersebut melibatkan khemah bersama perkasasan serba ringkas, namun kini ruang berteduh untuk aktiviti berkhemah dengan kelengkapan dapur, meja, kerusi, tilam dan sudut rehat yang dihias mengikut kreativiti masing-masing.
Family Camping Malaysia (FCM) antara kumpulan komuniti perkhemahan terbesar di negara ini berjaya mengumpulkan lebih setengah juta pengikut di platform media sosial, Facebook sejak ditubuhkan pada tahun 2015.
Presidennya, Mohd Efry Al-Hafiz Mohamad Safian berkata, peringkat awal sekitar 10,000 pengikut sahaja aktif sebelum aktiviti itu menjadi kegilaan ramai selepas pandemik Covid-19.
Menikmati alam sekitar dapat memberi ketenangan buat para pencinta aktiviti perkhemahan. — Gambar hiasan/Agensi
"Berlaku ledakan yang mana angka aktif mencecah ratusan ribu dan kini lebih 500,000 ahli menyertai FCM sebagai platform untuk bertukar-tukar maklumat.
"Di FCM, kami saling berkongsi, antaranya berkaitan lokasi perkhemahan, jenis khemah, peralatan sesuai digunakan, dekorasi khemah, apa yang perlu dimasak dan sebagainya," katanya yang aktif berkhemah sejak berada di bangku sekolah.
Beliau yang juga ahli pengakap menjelaskan bahawa kebanyakan ahli itu adalah daripada kelompok yang baru-baru berjinak dengan aktiviti berkhemah dan berkeluarga.
"Kami bukan sekadar platform, sebaliknya turut mengatur perkhemahan untuk para ahli FCM sebanyak tiga kali setahun.
"Kami berkenalan di Facebook, tetapi menerusi FCM jalinan persahabatan dibawa ke realiti," jelasnya.
Sementara itu, Mohd Efry memberitahu, berdasarkan perkongsian ahli FCM di platform berkenaan terdapat lebih 1,000 tapak perkhemahan di Malaysia merangkumi kawasan hutan, air terjun, tepi pantai, tasik dan kawasan tanah tinggi.
Mohd Efry Al-Hafiz Mohamad Safian
Katanya lagi, daripada jumlah itu terdapat tapak diuruskan pihak kerajaan dan secara persendirian.
Rentetan itu, orang ramai disarankan untuk mempunyai pengetahuan dalam memilih tapak perkhemahan yang bersesuaian.
"Paling utama harus dititikberatkan adalah keselamatan. Bagi yang baru berjinak-jinak pilih tapak seliaan kerajaan seperti Taman Eko-Rimba kerana kawasan sekitar tapak sentiasa diselenggara.
"Bagi yang memilih tapak persendirian perlu ada sedikit pengetahuan sebagai contoh tengok kawasan berdekatan sungai.
"Jika bahagian bawah pokok seperti berlumut jangan pacak di situ kerana ia adalah laluan air. Lebih selamat elak berkhemah pada musim hujan lebat," sarannya.
Sementara itu, Ketua Komuniti Vidalido Camping Malaysia (VCM), Muhammad Rizal Abu Bakar pula memberitahu bahawa terdapat sesetengah pecinta aktiviti berkhemah sanggup membelanjakan hingga RM30,000 untuk dekorasi dalaman khemah.
Selain mengumpulkan komuniti berkhemah, kumpulan Facebook tersebut juga melakukan aktiviti jual beli barang kelengkapan perkhemahan secara dalam talian.
Komuniti VCM yang aktif berhubung di Facebook. — Facebook
"Kos itu tidak termasuk khemah sebab khemah sahaja mencecah RM3,000. Ada juga menumpukan keperluan barangan asas perkhemahan sahaja seperti alas khemah, meja, kerusi, beg khas perkhemahan dan lampu.
"Antara dekorasi menjadi pilihan ramai adalah konsep glamping estetika ala Barat. Ditambah pula bunga, susunan pinggan yang menarik menambahkan seri.
"Malah, ada juga mengikut trend dekorasi taktikal seperti barangan pasukan keselamatan," ujarnya.
Jelasnya, kebanyakan peminat aktiviti itu melaksanakan dekorasi khemah untuk kepuasan diri sendiri dan keselesaan seisi keluarga yang berkongsi minat sama bagi menyuntik suasana seperti di rumah.
Tambahnya, bagi penggerak aktiviti perkhemahan besar-besaran, beliau sedang kini komited menambahbaik aktiviti komuniti dengan mendaftar VCM bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) atau Registration of Societies Malaysia (ROS).
"Ini bagi memudahkan urusan mendapatkan penajaan, mengiklankan produk dan mendapatkan bantuan, kerjasama bersama individu atau kerajaan, selain memudahkan urusan," katanya.
Setiap tapak perkhemahan perlu mendaftar dengan pihak PBT. — Gambar hiasan/Facebook VCM
Pengusaha tapak perkhemahan perlu daftar dengan PBT
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Kerajaan Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, semua pengusaha tapak perkhemahan di negeri itu diminta mengemukakan maklumat operasi masing-masing kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, beliau memohon kerjasama pengusaha untuk terlibat dalam proses bancian yang dijalankan sejak Februari 2023 bagi memudahkan proses kelulusan lesen sementara.
"Saya menyeru semua pengusaha tapak perkhemahan menghubungi PBT masing-masing dan menyertai bancian ini bagi membantu kerajaan negeri mengenal pasti semua tapak perkhemahan di negeri ini secara terperinci.
"Selepas itu, kita akan bergerak ke hadapan untuk memaklumkan proses bagi mendapatkan pertimbangan kelulusan lesen sementara bergantung kesesuaian tapak perkhemahan," katanya.
Pengusaha tapak perkhemahan perlu berdaftar dengan PBT bagi menjamin keselamatan. — CNA
Sze Han berkata, langkah itu bertujuan bagi menjamin keselamatan pengunjung disebabkan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor pada Disember 2022 yang mengorbankan 31 nyawa.
Susulan itu, Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-82 yang berlangsung di Parlimen pada Mac lalu bersetuju meluluskan Garis Panduan Perancangan Tapak Perkhemahan (GPPTP) sebagai panduan merancang dan memastikan tapak perkhemahan selamat, mampan serta mematuhi perundangan.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga memaklumkan garis panduan untuk pengguna, pengusaha dan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) atau PBT bertanggungjawab bagi memfokuskan tiga aspek utama iaitu perancangan tapak, mekanisme pemajuan dan kawal selia serta pengurusan operasi tapak perkhemahan.
Antara aspek utama yang dirangkumkan dalam garis panduan tersebut adalah ciri-ciri perniagaan dari rumah, pelan lokasi dan keluasan kebenaran berniaga, syarat dan tatacara permohonan lesen perniagaan serta perincian aktiviti perniagaan yang dibenarkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram