PENANTIAN zuriat selepas 14 tahun perkahwinan pasangan suami isteri musnah apabila anak lelakinya yang baru berusia lapan bulan maut disyaki dibunuh oleh pengasuh di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Alor Gajah, Melaka pada Jumaat lalu.
Tidak mahu melihat kejadian sama berlaku pada keluarga lain, bapa bayi bernama Muhammad Al Fateh Amri itu menuntut pembelaan di atas kematian anak syurganya.
Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, berkata, pengasuh dan pengusaha Taska perlu bertanggungjawab dan tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Duhai anak kecil.... dunia ini sangat zalim...moga kamu berbahagia di syurga kini.....
Muhammad Al Fateh Amri - lapan bulan...... dipercayai dibunuh pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah, Jumaat lalu.
Lebih menghibakan, bayi... pic.twitter.com/sXkrqJL5NF
— MYNEWSHUB (@mynewshub) September 11, 2024
Mohd Fikry turut memohon perkenan Yang Di-Pertuan Agong serta menggesa beberapa agensi kerajaan untuk memandang serius terhadap kes tersebut.
"Saya dan isteri akan menuntut bela di atas kematian anak syurga kami dan akan ambil tindakan undang-undang semaksimumnya supaya menjadi pengajaran dan iktibar kepada mereka yang lain agar tiada lagi anak-anak Taska lain menjadi mangsa korban seterusnya.
"Mohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya memandang serius perkara ini.
"Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyokong dan prihatin dan mohon doakan saya dan isteri terus kuat bagi meneruskan kehidupan dan perjuangan menuntut bela ini serta bersama-sama membantu sesama kita," tulisnya dalam satu hantaran Facebook pada Selasa.
Terdahulu, seorang pengasuh disyaki membunuh seorang bayi lelaki di sebuah Taska di Taman Kelemak Jaya Utama dekat Alor Gajah, Melaka pada Jumaat lalu.
Menerusi kamera litar tertutup (CCTV), pengasuh berkenaan dilihat membedung, menyumbat botol susu menutup dengan kain dan menekup muka anaknya dengan bantal dalam kejadian tersebut.
Menurut bapa mangsa, anaknya yang baru dihantar ke taska berkenaan sejak lima hari sebelum kejadian ditemui dalam keadaan terkulai, mulut berdarah dan muka kebiru-biruan oleh isterinya ketika mengambil anak mereka.
Susulan itu, suspek berusia 34 tahun itu ditahan reman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh sehingga 13 September nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram