[VIDEO] Budaya pemandu bas sekolah di AS boleh jadi contoh elak anak terdedah bahaya


  • Massa
  • Rabu, 18 Sep 2024

Bas sekolah yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan buat penumpangnya di AS. — Gambar hiasan/Agensi

SETIAP kanak-kanak berhak berasa selamat ketika berada di tempat awam termasuk dalam perjalanan ke sekolah.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang menggunakan kenderaan awam seperti bas sekolah.

Golongan itu tidak seharusnya terdedah dengan bahaya bukan sahaja terhadap kemalangan tetapi juga mengambil kira aspek gangguan seksual.

BACA LAGI: [VIDEO] Asingkan dari rumah, Pulau Pinang contohi sistem buang sampah Jepun

BACA LAGI: Keluarga sebagai sistem sokongan, Syuhada pilih cara mentor cari solusi urus masa kerja dan sosial

6289718471436648973

Kes pemandu bas sekolah yang merakam wajah kanak-kanak perlu diambil sebagai pengajaran.

Mengambil iktibar daripada kes tular sejak kebelakangan ini ialah melibatkan seorang pemandu bas lelaki yang bertindak memuat naik video memaparkan wajah dan menyentuh murid sekolah di akaun TikToknya.

Pemandu bas tersebut kemudiannya ditahan polis dan didakwa di Mahkamah Muar, Johor dengan dua pertuduhan iaitu melakukan amang seksual fizikal dan amang seksual bukan fizikal di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan TikTok dengan nama akaun 'Abang Bas' yang secara sedar membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan kapsyen 'hari ini crush buat kerja sekolah' ditambah simbol cinta sambil memerhatikannya.

Bagaimanapun, lelaki terbabit pada Selasa dibebaskan selepas melunaskan bayaran ikat jamin RM40,000 di Mahkamah Muar dengan proses pembayaran tersebut dilakukan peguam probono, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Walaupun dibebaskan, 'Abang Bas' yang sempat ditahan sementara selama seminggu di Pusat Koreksional Muar, terikat dengan syarat tambahan ditetapkan Mahkamah Sesyen Muar dan Mahkamah Sesyen Batu Pahat iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan dan tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa atau saksi pendakwaan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Situasi itu seharusnya dapat membuka mata ramai terutamanya ibu bapa, pihak sekolah serta kerajaan untuk menguat kuasakan sistem keselamatan kanak-kanak khususnya berumur bawah 18 tahun di Malaysia.

Langkah awal juga boleh dicontohi dari negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat (AS).

Dalam perkongsian video oleh seorang rakyat Malaysia yang menetap di AS, ciri keselamatan murid ketika menaiki bas sekolah amat dititikberatkan.

Menurut pengguna akaun Facebook Saif Suhairi, setiap pemandu bas sekolah dilarang untuk merakam apatah lagi menyentuh murid.

Ia selari dengan akta dan undang-undang ditetapkan khusus untuk pemandu bas sekolah di AS.

Mengikut Akta Mendengar Illinois (Illinois Eavesdropping Act), sebarang rakaman di dalam bas adalah dilarang dimuat naik menggunakan mana-mana platform media sosial dan hanya boleh digunakan oleh pihak sekolah atau pihak berkuasa sekiranya berlaku sesuatu insiden.

Ini sekali gus dapat mengelakkan para pemandu mendedahkan identiti kanak-kanak secara terbuka dan melindungi hak privasi mereka.

Bukan itu sahaja, Saif juga menunjukkan beberapa ciri keselamatan lain buat kanak-kanak yang menaiki bas sekolah di AS.

Istimewanya, bas sekolah di negara itu dilengkapi dengan sistem posisi sejagat (GPS) dan dapat dihubungkan dengan peranti seperti telefon pintar ibu bapa melalui aplikasi bas.

Dalam video Saif, jelas memaparkan sistem tersebut membolehkannya menjejaki keberadaan anaknya ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Ia turut memudahkan ibu bapa mengawasi anak-anak dari jarak jauh semasa melatih mereka berdikari ke sekolah.

Katanya, undang-undang di AS sentiasa memastikan kanak-kanak selamat meskipun terpaksa menaiki bas sendirian tanpa ditemani penjaga.

6289718471436648969

Bas sekolah Malaysia yang kebanyakannya masih belum mempunyai ciri keselamatan tersebut. — Gambar hiasan/Pandu Lalu

Tambahnya, ciri keselamatan pada bas sekolah berkenaan juga diaplikasikan pada pengguna jalan raya lain bagi memastikan persekitaran selamat untuk kanak-kanak.

"Bila bas berhenti sahaja di mana-mana kawasan untuk jemput anak dan keluarkan tanda amaran kuning, mana-mana kereta atau kenderaan lain tak boleh lalu sebelahnya.

"Bila tanda kuning itu dah angkat dan pintu bas sudah tertutup, baru kenderaan lain boleh melintasinya," katanya.

Melihat pula jurang kos menaiki bas di negara itu, kanak-kanak diberi manfaat dan keutamaan kerana mereka tidak dikenakan sebarang bayaran untuk menaiki kenderaan tersebut.

Ciri-ciri keselamatan dan kelebihan yang diberikan khusus buat murid sekolah itu sememangnya tidak mustahil untuk diaplikasikan di Malaysia.

Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko bahaya seperti kemalangan atau gangguan seksual melibatkan kanak-kanak sekolah.

6289718471436648972

Lee Yumi membentangkan ideanya untuk mengaplikasikan sistem tersebut pada bas sekolah tempatan. — Amanz

Idea tersebut dilihat pernah dibentangkan oleh seorang kanak-kanak berusia 9 tahun ketika menyertai pertandingan Goodday KidStart 2024, Lee Yumi.

Dalam pertandingan itu, Lee Yumi membentangkan idea dengan mencipta sistem dan aplikasi OnBoard untuk digunakan buat pengguna bas sekolah dan ibu bapa.

Sistem itu juga mempunyai ciri keselamatan yang sama seperti di bas sekolah AS.

Justeru, pihak bertanggungjawab boleh mempertimbangkan pembaharuan tersebut demi keselamatan dan kesejahteraan anak-anak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram