[VIDEO] Asingkan dari rumah, Pulau Pinang contohi sistem buang sampah Jepun


  • Massa
  • Selasa, 17 Sep 2024

Sistem pengasingan sampah yang diterapkan dalam kalangan masyarakat di Jepun demi menjaga ekosistem alam. — Gambar hiasan/Agensi

SEBUT sahaja tentang Jepun, pastinya sudah terbayang keindahan alam dengan lokasinya yang aman dari sampah.

Jepun boleh dikatakan sebagai negara terbersih dan tercantik untuk dilawati oleh pelancong di seluruh dunia.

Mana tidaknya, Jepun juga menggungguli carta iaitu di tangga ke-25 sebagai negara paling bersih di peringkat Asia jauh meninggalkan Brunei, Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia.

BACA LAGI: Dari muka buku jadi realiti, pencinta aktiviti berkhemah jalin hubungan komuniti nikmati alam sekitar

BACA LAGI: Keluarga sebagai sistem sokongan, Syuhada pilih cara mentor cari solusi urus masa kerja dan sosial

6287466671622961969

Jepun antara negara yang menerapkan amalan menjaga kebersihan dalam kalangan masyarakatnya. — Gambar hiasan/Agensi

Hal ini kerana, kebersihan merupakan budaya dan amalan utama diterapkan dalam kalangan rakyat di negara tersebut setelah beberapa dekad lalu lagi.

Sikap bertanggungjawab kepada sampah sentiasa ada dalam diri mereka tidak mengira tempat dan masa meskipun berada di rumah.

Majoriti mereka diajar untuk membawa pulang sampah sendiri ke rumah untuk diasingkan kerana tidak banyak tong sampah disediakan di tempat awam termasuk stesen kereta api, kedai serbaneka, restoran dan pusat beli-belah.

Jika dilihat situasi itu, jauh bezanya dengan Malaysia yang sangat mesra dengan kemudahan tong sampah di setiap ceruk kawasan sekali pun.

Kemudahan itu bagaimanapun tidak dinafikan memudahkan masyarakat serta antara usaha kerajaan untuk mengurangkan risiko longgokan sampah di merata tempat.

6287466671622961968

Masyarakat Jepun yang bertanggungjawab memastikan tiada sampah di kawasan awam. — Gambar hiasan/Agensi

Namun, perkara penting boleh dicontohi dari negara matahari terbit itu adalah sistem pembuangan dan pengasingan sampah yang ditetapkan.

Malangnya, sistem itu masih belum diaplikasikan sepenuhnya di Malaysia kerana ia melibatkan pengasingan mengikut jenis sampah apabila mahu dikutip oleh pihak berkuasa tempatan di setiap rumah.

Mendengar pula kisah seorang warga Malaysia yang pernah bekerja sambilan di Jepun beberapa tahun lalu boleh membuatkan anda kagum dengan kemajuan negara itu.

Berkongsi pengalamannya menerusi video di akaun Facebook Kimalogy, cara rakyat Jepun mengamalkan kebersihan sangat rapi dan teratur.

Menurutnya, setiap pemilik rumah perlu mengasingkan sampah mereka mengikut jadual ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Mereka ada hari tertentu yang boleh buang sampah.

“Ada hari boleh buang sampah mudah terbakar, hari lain buang sampah basah, kaca.

“Jadual ini berbeza ikut tempat sebab sesetengah lokasi ada empat, tujuh dan ada yang sampai 21 agihan jenis sampah,” katanya.

Sistem pengasingan sampah itu bukan dilakukan oleh pekerja pengumpul sampah, malah ia diterapkan kepada individu di rumah itu sendiri.

Bagi individu tidak mengikut peraturan pula akan menerima ‘hadiah’ di hadapan pintu.

Katanya, sampah yang tidak diasingkan akan dipulangkan kembali kepada tuan rumah beserta surat amaran kerana tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Sistem itu juga dilaksanakan dengan tegas agar dapat mendidik masyarakat tentang kepentingan membuang sampah yang betul.

“Alamat rumah juga dimasukkan dalam sistem sebagai rekod supaya boleh tahu siapa ikut dan langgar peraturan.

“Kalau buang sampah contohnya kotak susu. Kalau penutup jenis plastik pun perlu asingkan dan kalau diikutkan kena basuh dan bersihkan sekali.

“Jadi, kita sebagai pengangkut sampah ni mudah nak kutip sebab bersih. Lori sampah di Jepun pun berkilat tak berbau dan sangat bersih,” kongsinya lagi.

6287466671622961978

Dasar pengasingan sampah mula diterapkan dalam kalangan penduduk di Pulau Pinang. — Facebook/MBPP

Perkara itu justeru boleh diterapkan dalam kalangan masyarakat dan sistem pembuangan sampah di kawasan perumahan di Malaysia.

Setakat ini, sistem tersebut dilihat mula dilaksanakan di Pulau Pinang dengan Dasar Pengasingan Sisa di Punca bermula 1 Julai lalu bagi mencegah berlakunya pencemaran alam sekitar dan menjaga keseimbangan ekosistem di samping mengurangkan penjanaan sisa di tapak pelupusan sampah.

Pihak yang didapati gagal mematuhi dasar tersebut juga boleh dikenakan tindakan saman sehingga RM500.

Kerajaan negeri melalui Penang Green Council, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bekerjasama menghasilkan bahan kempen itu demi memupuk kesedaran kepada penduduk terutamanya kawasan kediaman.

Dasar tersebut turut diharapkan agar dikuat kuasa serta diperluaskan lagi di seluruh Malaysia dalam menambah baik sistem penjagaan alam sekitar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram