SETIAP individu mempunyai cara tersendiri mencari jalan penyelesaian untuk menangani tekanan dalam dunia pekerjaan.
Mungkin ada sesetengahnya menggunakan pandangan orang lain sebagai medium rujukan mereka.
Pendekatan itu juga digunakan oleh Syuhada Md Nor dalam menjalani proses menyesuaikan diri ketika bertukar tempat kerja.
BACA LAGI: [VIDEO] Budaya 'cilok' penunggang motor di Eropah boleh jadi contoh di Malaysia
Syuhada Md Nor
Wanita berumur 28 tahun itu menggunakan teknik mentor dan menti dengan menyertai Program Pembangunan Pementoran Wanita dianjurkan oleh Advisory Development Learning Achievement (ADLA Group Sdn Bhd) baru-baru ini.
Syuhada berkata, apa yang mendorongnya untuk mengambil pendekatan itu adalah disebabkan pertukaran kerjaya dalam bidang penghasilan (manufaktur).
"Sebelum ini, saya kerja buat ujian dalam makmal iaitu masih dalam bidang sama.
"Tetapi, lepas sahaja bertukar ke unit lain yang lebih ke arah pengurusan buatkan saya nak cari mentor sebagai panduan cara nak bahagikan masa, cara komunikasi dalam kalangan rakan kerja dan sesuaikan diri dengan persekitaran.
"Saya juga kebetulan nampak iklan program ini di media sosial ketika itu dan ambil keputusan untuk cari mentor yang mungkin boleh beri tunjuk ajar tentang ilmu kita tidak pernah tahu sebelum ini," katanya kepada Majoriti.
Pengurusan masa antara objektif yang mahu dicapai ketika sesi mentor dan menti. — Gambar hiasan/Agensi
Perspektif luar
Menurut Syuhada, mempunyai mentor berpengalaman atau tidak dalam bidang sama tidak mendatangkan masalah kepadanya.
Baginya, perkara utama yang dilihat adalah input dikeluarkan oleh mentor tersebut ketika sesi mendengar dan mencari sesuatu solusi.
"Saya sangat bersyukur bila dapat seorang mentor yang sangat memahami dan walaupun dia bukan bekerja dalam bidang sama.
"Sebenarnya bila bercakap tentang sesi mentor atau bimbingan, segala solusi diberi jadi efektif daripada diri sendiri.
"Mentor hanya jadi batu loncatan untuk lebih dorong kita selesaikan sesuatu masalah sebab diri kita yang bekerja," jelasnya.
Kongsinya lagi, perkara utama yang mahu dicapainya adalah keseimbangan dalam bekerja dan menguruskan urusan sosial harian.
Kata Syuhada, dia sering meminta pandangan daripada aspek sosial berdasarkan pengalaman mentornya.
"Dalam sesi ini, saya akan kongsi dan jelaskan dahulu tentang skop kerjaya kepada mentor dan ceritakan juga masalah dihadapi sebagai gambaran.
"Kemudiannya mentor akan beri nasihat atau pandangan daripada perspektif dia untuk kita cuba aplikasikan dalam situasi kita.
"Ada juga solusi yang tidak berhasil untuk digunakan dan disebabkan itu kami sering berbincang semula sehingga boleh capai tahap keberkesanan," beritahunya.
Keluarga atau rakan boleh beri sokongan moral. — Gambar hiasan/Agensi
Keluarga, rakan hanya sistem sokongan
Tambahnya, menjadikan mentor sebagai panduan bukanlah bermakna tidak boleh menerima pandangan daripada keluarga.
Namun, perspektif keluarga atau rakan-rakan berkemungkinan tidak dapat memberi jalan penyelesaian seperti yang dimahukan.
Syuhada tidak menafikan bahawa dua alternatif itu memberi impak positif dan berbeza mengikut situasi semasa.
"Tak salah untuk berkongsi cerita sama dengan ahli keluarga, adik-beradik atau rakan, tetapi bagi saya mereka hanya boleh bagi sokongan moral.
"Mereka boleh mendengar luahan atau cerita, tetapi tidak semestinya dapat beri solusi efektif sesuai dengan keadaan saya," jelasnya.
Justeru, memilih mentor sekali gus dapat memberikan pendedahan berbeza di luar kelompok sama dalam mencari sesuatu jalan penyelesaian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram