Cuba hasilkan kit ujian pantas kesan autisme, pakar parasitologi harap impian jadi kenyataan


  • 112
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Nurul Shazalina (lima dari kanan) komited membantu kanak-kanak autisme dengan terlibat dalam program intervensi awal.

WANITA merupakan insan hebat yang dicipta Tuhan, selain kental dalam menghadapi segala cabaran.

Bak kata pepatah, tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia. Itulah perumpamaan yang tepat untuk menggambarkan pakar parasitologi, Dr. Nurul Shazalina Zainudin.

Walaupun namanya tidak segah wanita berjaya dalam bidang perubatan negara, namun siapa sangka pemegang lulusan ijazah Falsafah (PHD) dalam bidang parasitologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu pernah terlibat menghasilkan kit ujian pantas (RTK).

BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

BACA LAGI: Francis Chai 'Crocodile Hunter' tanpa senapang, sentiasa hormati 'Bujang Senang'

"Ketika membuat kajian ke atas sejenis parasit, saya telah berjaya buktikan sejenis parasit berjaya ditemui dalam darah melalui kit ujian pantas itu.

"Ia adalah penemuan pertama di dunia," katanya kepada Majoriti.

photo_2024-09-18_00-31-37 (2)

Nurul Shazalina Zainudin

Susulan itu, ibu kepada dua anak ini turut bercita-cita untuk menghasilkan kit ujian pantas untuk bantu mengesan penyakit autisme.

"Walaupun sukar, saya impikan hasilkan kit yang boleh mengesan autisme melalui kaedah pengambilan darah," ujarnya.

Namun, dia terpaksa melupakan hasratnya seketika atas faktor tertentu ketika ini.

Walaupun begitu, Nurul Shazalina tekad membantu kanak-kanak autisme dengan terlibat dalam program intervensi awal.

Menurut wanita berusia 37 tahun itu lagi, program intervensi awal adalah program yang dapat membantu anak anak autisme untuk mendapatkan kemahiran tertentu yang dapat menambah baik nilai kehidupan mereka di masa hadapan di mana kita mengharapkan mereka boleh berdikari.

"Program intervensi awal kebiasaannya melibatkan pelbagai jenis terapi dan sokongan, termasuk terapi cara kerja, terapi pertuturan dan terapi tingkah laku.

"Fokus utama adalah untuk membantu anak-anak autisme ini mengembangkan kemahiran motor, kognitif, sosial dan penjagaan diri," ujarnya yang kini menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA) di UKM.

photo_2024-09-18_00-31-36 (2)

Nurul Shazalina pada karnival kesedaran autisme (Shine Together) di Sunway Velocity Mall, Cheras baru-baru ini.

Nurul Shazalina turut berkongsi kejayaan terbaharunya membantu 36 anak-anak autisme mendapatkan bantuan pendidikan secara percuma.

"Pada minggu lalu, saya bersama rakan yang lain telah mengadakan karnival kesedaran autisme (Shine Together) di Sunway Velocity Mall dekat Cheras, Kuala Lumpur.

"Karnival ini merupakan projek bersama UKM bagi membantu kanak-kanak autisme dalam kalangan B40. Ahamdulillah, projek itu berjaya.

"Kos program intervensi sangat tinggi, dan ramai keluarga tidak mampu menanggung beban tersebut. Namun, melalui platform ini, kami menjadikannya mungkin untuk lebih ramai kanak-kanak mendapat bantuan yang mereka perlukan.

"Saya sejujurnya sangat gembira dapat membantu masyarakat. Saya dan rakan-rakan yang lain berharap melalui kesedaran karnival ini juga dapat membantu masyarakat di luar sana tentang golongan istimewa ini," katanya lagi.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram