Pastikan urusan sekolah 'anak syurga' selesai jika mahu pindahkan penduduk Kampung Sungai Baru — NASOM


  • Massa
  • Ahad, 14 Jul 2024

Urusan menukar sekolah anak-anak autisme sememangnya tidak mudah dan akan menggangu perkembangan mereka. — Gambar hiasan/NASOM

PROSES pemindahan penduduk dari satu kawasan ke kawasan lain boleh memberi kesan kepada kualiti pembelajaran khususnya bagi anak-anak autistik.

Ia selepas melihat isu pemindahan penduduk di Kampung Sungai Baru dekat Kampung Baru, Kuala Lumpur yang mula mendapat perhatian sejak awal Julai lalu.

Susulan itu, naib Pengerusi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Mohd Nazrul Mohd Amin menggesa pihak pemaju untuk meneliti lebih terperinci sebelum mengarahkan semua penduduk berpindah jauh dari kediaman tetap.

BACA LAGI: Cadangan dah setahun baru nak dipertimbangkan, ramai desak lanjut tempoh sah laku pasport 10 tahun, harga kekal RM200

BACA LAGI: Mesin vape layan diri tingkat jumlah golongan mahu cuba-cuba, elok lagi jual barang sekolah — Pakar

2786360

Operasi perobohan yang sudah dimulakan di antara blok flat PKNS berhampiran rumah teres di Sungai Baru.

Mohd Nazrul berkata, ia sememangnya akan memberi kesan buruk dan risiko terhadap proses pembelajaran pelajar atau murid autistik di kawasan itu.

"Tiada masalah jika kawasan kediaman baharu mereka ada pusat atau sekolah khas yang boleh menerima pelajar autisitik.

"Tetapi ia menjadi kerisauan apabila kemudahan itu jauh dari penempatan asal," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, tidak semua sekolah atau tadika boleh menerima anak istimewa dengan mudah.

Tambahan pula, individu sedemikian mempunyai kerenah atau kelakukan yang tidak mudah untuk diuruskan.

"Bila berlakunya perpindahan yang memaksa ibu bapa menukar sekolah, ia akan menggangu rutin harian mereka.

"Kita juga kena peka bahawa keluarga atau ibu bapa yang memiliki anak istimewa mempunyai tahap tekanan lebih tinggi," katanya.

2786362

Antara penduduk Kampung Sungai Baru yang memiliki anak autisme.

Bukan itu sahaja, perpindahan tanpa persediaan lengkap juga menyukarkan anak-anak autisme untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu.

Mohd Nazrul berkata, penyesuaian itu akan mengambil masa lama bagi mereka.

"Bukan seminggu dua, tetapi berbulan untuk mereka sesuaikan dengan kawan, guru dan suasana baharu," jelasnya.

Justeru, beliau menggesa pihak berwajib untuk mengambil tanggungjawab menguruskan atau menyediakan penempatan yang mempunyai kemudahan pendidikan khusus buat anak-anak tersebut.

2735143

Naib Pengerusi NASOM, Mohd Nazrul Mohd Amin

Jelasnya, pihak NASOM juga berbesar hati menawarkan bantuan kepada pihak pemaju sekiranya mahu membina pusat pendidikan khas di kawasan terjejas.

"Sekiranya memang tiada satu sekolah khas di penempatan baharu, NASOM sedia bantu pihak pemaju untuk membina pusat tersebut," ujarnya.

Sebelum ini, seorang penduduk yang memiliki anak autisme di Kamung Sungai Baru itu meluahkan kekecewaanya apabila diarahkan untuk berpindah dengan jumlah pampasan tidak berbaloi.

Ia juga menyukarkan mereka untuk menguruskan urusan anak istimewa yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kampung Baru sekiranya perlu berpindah ke kawasan lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram