KEMAMPUAN teknologi kini sememangnya semakin menandingi keupayaan manusia dalam melakukan sesuatu perkara.
Sama seperti sistem kamera yang serba canggih untuk kegunaan pengawasan khususnya dalam sektor tenaga solar dan industri keselamatan.
Justeru, dron atau dikenali sebagai kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) disertakan dengan kamera dab boleh dikawal dari jarak jauh antara usaha yang dihasilkan oleh syarikat teknologi terkemuka, SZ DJI Technology Co.
BACA LAGI: Tolak tepi kos terbit majalah, binaTech gigih sumbang ilmu teknologi pembinaan
Dron keluaran baharu berserta alat pengecas mudah alih. — DJI
Menggunakan sistem automatik, dron versi baharu DJI Dock 2 menawarkan keupayaan operasi dan mempunyai fungsi pintar yang mudah serta selamat digunakan.
Teknologi yang dinaik taraf dengan sistem baharu itu membolehkan penggunanya menyusun jadual operasi dengan teratur mengikut minggu dan bulan.
Menurut pengurus pemasarannya, Muhammad Hazim Mohamad Sabri, 28, dron itu amat sesuai untuk kegunaan luar.
Selain dapat dikawal dari jarak jauh melalui penyambungan di peranti pintar seperti tablet atau komputer riba, dron tersebut juga tahan lasak dan kalis air.
Katanya, dron itu dilengkapi dengan sistem penyejukan dan pengeringan sekiranya permukaannya terkena air.
"Kalau guna ketika hujan atau terkena percikan air, ia tiada masalah. Kalau permukaan basah, sistem ini akan kawal balik untuk keringkan.
"Ia juga membantu pihak yang terlibat dalam ladang solar untuk buat pemeriksaan panel solar jika ada kerosakan atau tidak dengan mudah.
"Contoh lainnya adalah ini juga boleh digunakan di kawasan pedalaman khususnya bagi memeriksa lokasi sesuai bagi yang memerlukan bekalan jana kuasa.
"Cara kawal pun mudah, hanya melalui perisian dalam peranti kita dan dron akan kesan kemudiannya tangkap gambar guna sistem kamera yang jelas dan daya fokus tinggi," katanya kepada Majoriti.
Jelasnya, pekerja dalam bidang pengurusan tenaga solar tidak perlu lagi mengambil risiko bahaya untuk menaiki lori kren atau mengambil masa lama ketika memantau keadaan persekitaran kawasan.
Dron memudahkan urusan pengawasan tenaga solar terutamanya di kawasan yang luas seperti ladang solar. — Gambar hiasan/myTOWNnet
Lebih uniknya dron tersebut juga disertakan dengan kotak pengecas sekali gus memudahkan dan memanjangkan durasi penggunaannya.
Kemudahan itu bagaimanapun hanya boleh digunakan dengan menggunakan sambungan bekalan elektrik daripada alat jana kuasa.
Katanya, dron tersebut boleh bertahan kira-kira dua hingga tiga jam mengikut kekerapan dan cara penggunaannya.
Ia juga memerlukan rangkaian internet atau melalui peranti satelit Starlink.
Muhammad Hazim berkata, teknologi pintar itu turut boleh digunakan dalam industri keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan mangsa hilang di kawasan hutan luas.
"Untuk polis, ada yang dah mula guna dron ni terutamanya ketika nak buat rondaan di kawasan bahaya sekiranya berlaku insiden.
"Contohnya, ada kawasan kerap berlaku jenayah dan mereka mungkin nak fokus pantau lokasi itu.
"Jadi, mereka boleh tetapkan berapa kali nak guna dron iaitu sehari tiga kali, pukul 1 petang, 5 petang dan 12 tengah malam.
"Kalau dron dapat kesan pergerakan dengan cahaya merah terus dapat sampaikan kepada unit peronda untuk bergegas ke lokasi tersebut," jelasnya.
Kegunaan teknologi canggih mampu membantu pihak berkuasa melaksanakan tugas mencabar. — Gambar hiasan/PDRM
Kongsinya, antara kes jenayah pernah terlibat dengan penggunaan medium itu adalah rompakan, pembunuhan dan kecurian yang kebiasaannya berlaku di kawasan hutan atau pedalaman.
Meskipun tidak pernah mempunyai pengalaman yang banyak, Muhammad Hazim menceritakan bahawa ada pihak polis yang menggunakan dron untuk mencari mayat individu lemas di sekitar sungai.
Tambahnya, teknologi canggih itu secara tidak langsung dapat membantu memudahkan serta menjimatkan masa operasi kawalan untuk industri tersebut.
"Kadangkala kalau ada kes mayat hilang, biasanya polis atau pihak berkuasa terlibat akan guna dron untuk lihat dengan jelas lagi supaya dapat kesan mangsa lebih tepat.
"Bila lakukan itu, operasi menyelamat mereka lebih mudah dan tak perlu mengambil masa terlalu lama lebih-lebih lagi pada waktu malam.
"Seperti kes saya tahu sedikit yang pernah berlaku di Pantai Batu Burok, Terengganu ada seorang mangsa lemas dan bomba guna dron untuk buat operasi pencarian sebab ombak terlalu kuat masa itu, jadi mereka guna cara selamat," katanya.
Kemudahan itu jelas menunjukkan keupayaan dalam membantu pihak berkuasa menjalankan tugas dalam menjaga keselamatan seluruh rakyat Malaysia.
Penggunaan dron sekali gus diperakui oleh PDRM sebelum ini dapat membantu pihaknya mengawasi sempadan negara dengan merakam pelbagai gambar dan video sebagai bukti jika berlakunya insiden tidak diingini di Malaysia.
Pemantauan udara menggunakan dron oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) di sekitar sempadan Malaysia-Thailand di Chuping dan Padang Besar, Perlis pada April lalu berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan ganja ke negara ini.
Justeru, penggunaan dron terbukti mampu menjadi alternatif mapan dalam industri keselamatan demi kesejahteraan rakyat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,