'Tak pernah MC sepanjang 27 tahun di Malaysia', Abu Bakar jadi pekerja contoh, kini sudah pulang ke Bangladesh


  • Massa
  • Jumaat, 13 Sep 2024

Abu Bakar sanggup meninggalkan keluarganya di Bangladesh untuk mencari peluang pekerjaan di Malaysia lebih 20 tahun. — Humans of Kuala Lumpur

MESKIPUN tidak memiliki kerakyatan di Malaysia, jasa seorang pekerja warga asing sebagai tukang cuci di Klang Parade, Selangor tetap dikenang sehingga hujung nyawanya.

Menerusi hantaran di akaun Facebook Tawau pada Khamis, Abu Bakar yang merupakan warga Bangladesh sanggup meninggalkan tanah airnya 31 tahun lalu untuk mencari sesuap rezeki.

Abu Bakar berusia 70-an itu juga melakukan pengorbanan besar apabila terpaksa meninggalkan anak kelimanya yang baru enam bulan ketika itu.

BACA LAGI: 'Sebab itu saya bersyukur jadi rakyat Malaysia', pelancong kongsi pengalaman berguna bercuti di Hong Kong

BACA LAGI: [VIDEO] Jaga posisi, gerakan ketika solat duduk dalam kereta api

slide01

Abu Bakar bekerja sebagai tukang cuci di Klang Parade. — Klang Parade

Menurutnya, niatnya untuk datang ke Malaysia selepas mendengar pengalaman orang ramai tentang peluang pekerjaan di negara ini.

Lebih mengagumkan apabila Abu Bakar tidak pernah mengambil walaupun satu hari cuti sakit selama 27 tahun lalu ketika bekerja di tempat kerjanya itu.

"Saya bekerja tujuh hari seminggu, 365 hari setahun dan masih kuat. Keperluannya mudah sahaja iaitu untuk menghantar hasil pendapatan kepada keluarga.

"Saya bangun, mandi, sarapan, pergi kerja dan balik, saya bercakap dengan keluarga di rumah melalui telefon. Saya juga telah mendapat beberapa kawan baik di sini," katanya dalam hantaran tersebut.

Berkat daripada usahanya itu, anak-anak Abu Bakar dapat menjalani kehidupan lebih baik dan memiliki pekerjaan stabil di Bangladesh.

Seorang daripada anak perempuannya kini bergelar hakim, manakala dua lagi bekerja sebagai doktor dan jurutera.

Bersyukur dengan titik peluh yang disumbangkan di Malaysia, Abu Bakar mengambil keputusan pulang ke tempat lahirnya untuk berjumpa dan meluangkan masa kembali bersama keluarga tercinta.

Abu Bakar juga pernah menjadi antara pekerja dalam Anugerah Tandas Awam Terbersih di pusat beli-belah Klang yang diiktirafkan oleh Majlis Perbandaran Klang.

Pihak Klang Parade pada masa sama mengesahkan bahawa Abu Bakar pulang ke Bangladesh beberapa tahun lalu selepas berkhidmat lama di syarikat itu.

"Abu Bakar pekerja warga asing paling lama di sini dan dia sudah pulang ke negaranya beberapa tahun lalu," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, rata-rata warganet memuji tindakan Abu Bakar kerana menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan penuh dedikasi.

"Seorang suami dan ayah yang hebat, prihatin dan bertanggungjawab dengan keluarga yang jauh ditinggalkan.

"Juga seorang pekerja penuh tanggungjawab dengan kerja-kerja yang diamanahkan. Disitulah berkatnya sehingga anak-anak berjaya mendapat gelaran masing-masing," komen KnengLymang Yusop.

"Bekerja lama pun masi ingat tanah asal-usul, alangkah bagusnya kalau banyak orang asing fikiran bgini," tulis Jehezkiel Nicholas M. Jaikul.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram