Wajah baharu Stadium Merdeka imbau kenangan, pengunjung harap lokasi bersejarah terus dijaga mudahkan orang awam beriadah


  • Massa
  • Selasa, 17 Sep 2024

Pengunjung berpuas hati melihat pembaharuan yang dilakukan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

STADIUM Merdeka menjadi saksi laungan bersejarah sebanyak tujuh kali oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tanda Malaysia bebas daripada jajahan British pada 31 Ogos 1957.

Selain direka khas bagi perasmian acara bersejarah itu, Stadium Merdeka yang dibina sejak Julai 1956 dan merupakan tapak pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963 itu juga berfungsi sebagai tempat beriadah untuk orang awam.

Terletak di Bukit Petaling, Kuala Lumpur, Stadium Merdeka boleh memuatkan kira-kira lebih 40,000 penonton serta dilengkapi dengan kemudahan seperti lampu dan bilik kawalan buat pengendalian acara rasmi.

BACA LAGI: 'Mendaki demi negara, sertai sambutan, ajar lagu patriotik', keluarga Mindef kongsi kisah jiwai hari kemerdekaan

BACA LAGI: Ajar Rukun Negara seawal peringkat prasekolah, pupuk semangat perpaduan

6287466671622962033

Stadium Merdeka yang dinaik taraf dan dibuka semula sejak awal Ogos lalu.

Tempat bersejarah itu bagaimanapun kini dinaik taraf apabila Badan Warisan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara Bersama Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bersetuju melakukan pengubahsuaian sejak ia ditutup pada 2016.

Kini, stadium keramat itu dibuka kembali bermula awal Ogos lalu bagi kegunaan masyarakat untuk melakukan aktiviti riadah atau meluangkan masa bersama keluarga.

Meninjau keadaan di Stadium Merdeka, penulis Majoriti berkesempatan bertanya pandangan beberapa pengunjung yang hadir sempena pembukaan semula lokasi itu.

Membesar di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, seorang pengunjung mahu dikenali sebagai Deen meluahkan kebanggaannya terhadap perubahan yang dilakukan.

6287466671622962037

Deen bangga dengan perubahan yang dibuat di Stadium Merdeka.

Deen yang berusia 30-an berkata, wajah baharu itu secara tidak langsung mengimbau kenangannya ketika masih bersekolah pada 1998 hingga 2002 sebelum berpindah ke Gombak, Selangor.

"Saya mula tengok video di TikTok dan YouTube tentang pembukaan stadium ni.

"Ini pertama kali saya dan keluarga dapat jejakkan kaki dalam stadium bersejarah. Memang mengimbau kenangan sebab sebelum ini lihat dari luar sahaja.

"Masuk pula pada bulan kebangsaan jadi, perasaan itu lain macam sedikit, bercampur baur," katanya kepada Majoriti.

Katanya, terdapat banyak perbezaan dapat dilihat antaranya daripada aspek kemudahan fasiliti awam di sekitar kawasan Stadium Merdeka.

6287466671622962034

Deen bersama anak-anaknya belajar tentang sejarah kemerdekaan di stadium itu.

Deen berkata, kemudahan seperti masjid, pengangkutan awam dan pusat beli-belah berdekatan dapat menarik lebih ramai pengunjung ke stadium tersebut untuk melakukan aktiviti harian.

Deen bagaimanapun berharap agar tempat parkir kenderaan dapat disediakan dengan sistematik terutamanya buat pengunjung domestik dan pelancong luar negara.

Anak jati Kuala Lumpur itu juga sempat menyarankan kepada orang ramai untuk kekal menjaga kebersihan dan kecantikan infrastruktur baharu itu.

Selain beriadah, Deen berpeluang memberi pendedahan awal kepada empat orang anak kecilnya untuk belajar tentang sejarah Stadium Merdeka.

Bagi yang tidak tahu lagi, ruang dalaman di hadapan pintu masuk stadium diubah suai menjadi galeri muzium mini yang menceritakan detik-detik sejarah kemerdekaan Malaysia.

6287466671622962038

Shahzuan Hanim beranggapan pembukaan semula Stadium Merdeka menggalakkan aktiviti riadah dalam kalangan warga kota.

Seorang lagi pengunjung, Shahzuan Hanim pula berkata, pembukaan semula Stadium Merdeka sememangnya sangat memberi impak positif terutamanya kepada golongan muda.

Menurut lelaki berusia 24 tahun itu, langkah tersebut sekali gus membuatkan ramai anak muda tertarik untuk melakukan aktiviti sukan seperti bersenam atau bermain bola kerana ia dibuka kepada orang awam.

"Bagi saya, nak datang ke sini pun sangat mudah dan menggalakkan orang-orang muda macam kami nak amalkan gaya hidup sihat," katanya.

Pemuda berasal dari Johor yang kini menetap di Kuala Lumpur selama tiga tahun itu juga berpandangan agar pihak stadium dapat memberi ruang dan masa lebih panjang kepada orang awam untuk beriadah.

Katanya, waktu disediakan dengan dua sesi iaitu 7 pagi hingga 9 pagi dan 4 petang hingga 7 petang setiap hari termasuk hari minggu, agak singkat lebih-lebih lagi buat individu yang tamat bekerja pada pukul 5 atau 6 petang.

Namun, Shahzuan tetap tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila mendengar khabar berita tentang pembukaan Stadium Merdeka itu.

6287466671622962030

Shirley (kiri) bersama Melissa (tengah) dan Michael (kanan) beriadah di Stadium Merdeka.

Perasaan itu turut dikongsi oleh seisi keluarga yang meluangkan masa petangnya sambil memanfaatkan stadium sebagai platform melakukan latihan sukan untuk anaknya.

Shirley Kuan, 47, bersama suami, Michael Boo, 48, dan anak perempuan tunggal mereka, Melissa Boo berusia 11 tahun itu dilihat sangat teruja apabila dapat beriadah di trek baharu Stadium Merdeka itu.

Kata Shirley, stadium yang dekat dengan kawasan rumahnya di Taman Permaisuri kini memudahkan anaknya untuk berlatih sukan olahraga setiap petang selepas tamat sesi persekolahan.

Menurutnya, pembaharuan dalaman stadium itu secara tidak langsung memberi semangat kepada para pengunjung.

"Saya pertama kali masuk dan lihat semua cantik, kerusi elok, bersih, trek larian pun sangat bagus," katanya sambil disokong Melissa.

6287466671622962032

Kerusi stadium yang diperbaharui mengikut warna Jalur Gemilang.

Shirley berkata, kebersihan stadium menjadi keutamaan kepada keluarganya terutama pada tandas yang sering digunakan setiap pengunjung.

Menyentuh soal tandas, dia tidak menafikan bahawa kebersihan kemudahan itu di Stadium Merdeka masih terkawal selepas melihat petugas yang kerap mencuci dan membersihkan lantai sekitar kawasan itu.

Michael dalam pada itu mengambil peluang menyarankan pihak bertanggungjawab supaya stadium tersebut kekal dibuka kepada orang awam selama-lamanya.

Beranggapan ia merupakan fasiliti terbaik untuk rakyat, bayaran tidak menjadi halangan buat mereka menggunakan serta menghidupkan stadium berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram