Veteran TLDM buka 'Berek Bebiri' di Kuala Pilah, sedia khidmat penjagaan ternakan


  • Bizz
  • Khamis, 19 Sep 2024

Mohamed Adib yang juga veteran TLDM aktif dalam bidang penternakan sejak tiga tahun lalu.

BIDANG penternakan haiwan merupakan salah satu bidang yang cukup penting di dalam negara.

Selain daripada memenuhi permintaan yang tinggi terhadap daging, ia juga dilihat cukup signifikan dalam memastikan sekuriti makanan negara.

Bagaimanapun, aktiviti penternakan bukanlah satu bidang yang cukup mudah untuk diceburi.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Selain memerlukan kos permulaan yang tinggi, aktiviti penternakan juga dilihat cukup berisiko tinggi khususnya dalam memastikan kesihatan haiwan.

Perkara tersebut menjadi antara punca menyebabkan ramai pihak termasuk individu tidak berani untuk terlibat dalam aktiviti penternakan haiwan.

Kesannya daripada isu tersebut, bekalan daging tempatan untuk pasaran domestik masih berada di bawah 20 peratus.

Menyedari isu yang berlaku, syarikat pertanian tempatan, Argrow tampil cuba membantu bagi menyelesaikan isu tersebut dengan mewujudkan perkhidmatan penjagaan, pembiakan dan pengurusan ternakan komprehensif di ladang ternakan terletak di Kampung Kabong Inas, Johol, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

6293961761686142830

Pengasas Argrow, Mohamed Adib Abdul Razak berkata, program dikenali sebagai Berek Biri memberikan peluang kepada semua pihak yang mencari tempat untuk memulakan aktiviti ternakan termasuk yang mahu belajar menceburi bidang berkenaan,.

"Ia sangat sesuai untuk mereka yang baru mula belajar menternak dibantu dengan fasiliti, bimbingan kepakaran dan juga teknologi serta sistem yang diperkenalkan di ladang kami," katanya kepada Majoriti.

Menurut Mohamed Adib, program ini juga secara langsung mahu membantu menangani masalah utama yang dihadapi oleh penternak.

Antaranya seperti ketiadaan tapak atau tanah yang sesuai, kekurangan modal untuk membina ladang, kepakaran dan ketiadaan masa kerana terikat dengan kerja hakiki.

Mohamed Adib, 33, yang juga veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, amalan penjagaan yang diperkenalkan itu juga berbeza dengan sistem pawah.

Menurutnya, ini kerana di bawah program berkenaan, ia akan melibatkan bayaran bulanan untuk perkhidmatan penjagaan haiwan tersebut.

6293961761686142791

Mohamed Adib berkhidmat bersama TLDM selama 15 tahun sebagai juruterbang dengan kepakaran melakukan navigasi dan peperangan di lautan serta udara.

"Jadi, kami tawarkan kepada mereka kos jagaan harian dengan harga yang berpatutan mengikut usia haiwan ternakan tersebut dan anak yang lahir itu adalah 100 peratus milik pelanggan," ujarnya yang turut memiliki ijazah Sarjana Muda Teknologi Maritim daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Menurut Mohamed Adib yang juga merupakan usahawan dan penternak bimbingan di bawah RISDA dan Veterinar Negeri Sembilan, program berkenaan akan mula dilancarkan pada penghujung September ini.

Ujarnya, setakat ini, terdapat kira-kira 13 individu sudah mendaftar untuk menyertainya.

Pakej penjagaan dan pembiakan biri-biri yang ditawarkan Argrow terbahagi kepada dua iaitu Legion dan Aqiqah Perwira dengan ternakan ditetapkan bagi pembiakan adalah bebiri betina Dorper asli.

Untuk pakej Legion yang melibatkan jagaan harian dan pembiakan, ia terbahagi kepada pilihan A, meliputi penyediaan haiwan ternakan termasuk pakej perlindungan dan jagaan ternakan untuk setahun pada harga RM2,399.

Untuk pilihan B yang ditetapkan pada harga RM1,050, ternakan disediakan pelanggan dengan ia turut merangkumi upah jagaan setahun dan pakej perlindungan.

Di bawah kedua-dua pakej ini, ternakan akan dibiakkan mengikut strategi untuk mendapat sekurang-kurangnya tiga kelahiran dalam tempoh dua tahun.

Menurut Mohamed Adib, ternakan yang lahir akan ditawarkan bagi pembelian semula oleh Berek Biri.

Ujarnya, dengan pakej perlindungan, pelanggan juga tidak perlu risau sekiranya ternakan induk milik mereka mati kerana ia akan digantikan dengan ternakan yang sama umur atau setara nilainya.

"Ternakan yang lahir adalah milik pelanggan 100 peratus. Berek Biri juga akan menawarkan pembelian semula ternakan yang lahir dengan harga mengikut umur," katanya.

6293961761686142831

Ternakan yang akan dijaga di Berek Biri merupakan adalah 100 peratus milik pelanggan dengan mereka hanya perlu membayar kos penjagaan secara bulanan.

Pakej akan tamat setelah setahun jagaan dan boleh diperbaharui semula mengikut kos jagaan tahunan bernilai RM900.

Bagi kos penjagaan anak yang baru lahir, ia bermula pada harga RM109.20 untuk ternakan berusia tiga bulan pertama, RM163.80 (empat hingga enam bulan), RM218.40 (tujuh hingga sembilan bulan) dan RM263.90 (sepuluh hingga 12 bulan).

Untuk pakej Aqiqah Perwira pula, bayaran awal sebanyak RM350 diberikan termasuk pakej perlindungan tahunan dengan upah jagaan sebanyak RM75 setiap bulan selama sembilan bulan.

Menerusi pakej ini, ternakan tidak dibiakkan dan akan disembelih untuk aqiqah apabila mencapai umur matang.

Dalam pada itu, Adib berkata, selain daripada keuntungan yang diperolehi daripada pembiakan ternakan, pelanggan akan turut memperolehi ilmu bagi menguruskan ternakan mereka di ladang.

"Jadi kami sangat mengalu-alukan pelanggan untuk datang dan belajar daripada A sampai Z.

"Kami sediakan ruang, tenaga kerja mahir dan pakar untuk mereka belajar secara terus contohnya macam mana nak jaga dan mandikan ternakan, perah susu.

"Jadi ilmu-limu itu sebenarnya yang lebih berharga," ujarnya.

6293961761686142832

Ladang Berek Biri di Kampung Kabong Inas, Kuala Pilah itu memiliki keluasan 6 ekar.

Untuk permulaan, Mohamed Adib berkata, ladang Berek Bebiri yang terletak di Kampung Kabong Inas, Kuala Pilah itu memiliki keluasan enam ekar dengan pihaknya sudah membuat pembangunan melibatkan kawasan seluas satu ekar di peringkat awal.

Argrow sudah menjalankan perniagaan berasaskan penternakan bermula tiga tahun lalu dan turut memiliki tiga ladang antaranya di Semenyih, Selangor dan Rembau, Negeri Sembilan.

Selain menjual hasil ternakan, Argrow turut berpengalaman dalam menguruskan aktiviti aqiqah, memasarkan daging sejuk beku dan menghasilkan kambing perap serta kambing golek. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram