Pernah gagal berniaga baju, Ardy Damis julang nama anak Kedah bina empayar kedai gunting rambut di Lembah Klang


  • Bizz
  • Rabu, 18 Sep 2024

Kedai gunting di bawah jenama Nimroc yang kini mempunyai sebanyak 13 cawangan sekitar Lembah Klang berjaya mengangkat nama Ardy Damis. — Instagram/ardydamis

KETIKA remaja lain sedang memikirkan hala tuju selepas menamatkan alam persekolahan, Ardy Shafiq Mohd Arshad sudah berkira-kira membabitkan diri dalam dunia perniagaan.

Ardy Shafiq atau lebih dikenali sebagai Ardy Damis meninggalkan kampung halamannya di Bandar Baharu di Kedah bagi mencuba nasib membuka sebuah kedai pakaian.

Bekalan pakaian tersebut diambil dari Bangkok untuk dijual di Downtown Cheras, Kuala Lumpur.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Bagaimanapun, perniagaan tersebut kurang mendapat sambutan dan gagal untuk bertahan lama.

“Mungkin faktor lokasi kedai berada di bahagian belakang menyebabkan pelanggan tidak tahu kewujudan kedai pakaian saya di situ,” kongsinya.

Meskipun perniagaan pakaian kurang menggalakkan, ia tidak mematahkan semangat beliau untuk meneroka bidang keusahawanan.

Sehingga suatu hari dia mendapat ilham membuka bisnes kedai gunting rambut.

“Ketika itu, seorang rakan perniagaan premis sebelah bergurau mengenai gunting rambut.

"Bermula dari gurauan itu, saya mendapat ilham untuk membuka sebuah kedai gunting rambut di bawah jenama Nimroc,” katanya yang membuka kedai pertama di Downtown Cheras.

Menyedari kekurangan daripada segi kemahiran dan pengalaman dalam perniagaan menata rias rambut, bapa kepada seorang cahaya mata tersebut menimba ilmu melalui beberapa video di YouTube.

Snapinsta.app_412514760_18399403105027723_1126829335338695533_n_1080

Ardy Damis (duduk depan, tengah) bersama pasukan yang menguruskan perniagaan kedai gunting rambut di bawah jenama Nimroc. — Instagram/ardydamis

Video daripada New Age of Barbershop dan Vince The Barber yang memaparkan sekumpulan anak muda mengusahakan perniagaan gunting rambut antara menarik minat Ardy Damis.

“Mereka mengetengahkan budaya hip hop. Saya begitu tertarik dengan konsep ini lalu memperkenalkan kepada pelanggan, “ ujarnya yang juga suami kepada pelakon, Betty Rahmad.

Pada peringkat awal pembukaan, Ardy Damis berjaya menarik lebih 10 pelanggan mendapatkan perkhidmatan di premisnya.

“Apabila mahir menggunting rambut, saya mencuba nasib dengan mengajak selebriti seperti Joe Flizzow untuk menggunakan perkhidmatan gunting rambut oleh saya,” katanya.

Melalui perkenalan tersebut, ia melahirkan kerjasama antara mereka berdua untuk membuka sebuah kedai gunting rambut dikenali sebagai Joe’s Barbershop.

Selepas beberapa tahun mengembangkan perniagaan itu dan melihat sokongan positif daripada masyarakat, Ardy Damis menyatakan hasrat untuk membangunkan semula legasi, Nimroc.

“Selepas Joe Flizzow dan rakan lain bersetuju dengan pilihan saya, kedai gunting rambut Nimroc yang pertama dibuka di Downtown Pudu, Kuala Lumpur, “ ujar Ardy Damis.

Kedai gunting di bawah jenama Nimroc, akhirnya berjaya mengangkat nama Ardy Damis.

Konsep Nimroc

Mengulas tentang Nimroc, minat Ardy Damis dalam seni grafiti menyebabkan beliau begitu peka dengan pemilihan jenama kedai gunting rambutnya.

Ujarnya, nama tersebut diilhamkan daripada sebuah filem iaitu Happy Feet.

“Setelah mengubah perkataannya kepada Nimroc, saya rasa ia lebih mengujakan.

“Saya mahu mereka mengenal perniagaan kami apabila mendengar dan menggunakan perkataan Nimroc itu sendiri. Seperti nama Damis, itu hanyalah nama rekaan yang hingga kini menjadi nama panggilan saya,” ujarnya.

Nimroc kini sudah mempunyai 13 cawangan dengan yang terbaharu dibuka di Sungai Besi, Desa Pandan dan Subang Taipan.

Menurut Ardy Damis, konsep Nimroc yang berbeza di setiap cawangannya membuatkan bisnes gunting rambutnya memiliki budaya tersendiri.

“Kami menggunakan warna biru dan kuning. Logo jenama Nimroc pula merupakan kombinasi empat anak panah bertemu di tengah namun dari jauh kelihatan seperti bunga.

“Dari aspek hiasan dalaman pula, ia dilukis dan dihias mengikut cita rasa saya. Malah, saya cuba terapkan konsep industrial moden,” jelasnya.

Dalam menyediakan perkhidmatan menata rias rambut, kehendak pelanggan dan aliran terkini perlu dikuasai oleh tukang gunting.

Snapinsta.app_449618398_8320378307996663_7447897401810610355_n_1080

Nimroc turut menyediakan program latihan kepada individu yang mahu mempelajari pekerjaan sebagai penata rias rambut. — Nimroc

“Tugas menggunting rambut juga memerlukan minat mendalam dan kreatif kerana setiap pelanggan memiliki bentuk wajah, rambut dan minat berbeza.

“Kualiti dari aspek sebegini amat penting untuk saya kerana rambut menentukan tahap keyakinan seseorang.

“Jadi saya letakkan konsep New Age Barbershop ini di Malaysia yang menekankan kualiti, kebersihan, orang muda, dan khidmat pelanggan yang cemerlang,” tegasnya.

Ardy Damis memberitahu, seperti perniagaan lain, pihaknya turut berdepan cabaran semasa pandemik Covid-19.

“Pada masa itu, kami hampir tiada keuntungan. Ramai tukang gunting rambut yang berhenti kerana bimbang dengan masa depan mereka, kami nyaris menutup kedai namun selepas tamat tempoh kawalan pergerakan, pengurusan Nimroc berjaya membangunkan semula perniagaan ini,” ujarnya.

Mempunyai 10 tukang gunting rambut yang disediakan di setiap cawangan, kedai gunting Nimroc dibuka dari jam 10 pagi sehingga jam 10 malam.

Pelbagai servis disediakan iaitu potongan rambut untuk dewasa dan kanak-kanak dua tahun ke atas, urutan kepala, cukur dan sebagainya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram