Syarikat kecil hingga besar, Imagine AI mahu pastikan akses kecerdasan buatan buat semua


  • Bizz
  • Selasa, 17 Sep 2024

Sejak ditubuhkan pada 2020, ImagineAI memberikan tumpuan kepada visi pembangunan teknologi komputer AI mampu milik dan mudah diakses oleh pelbagai industri.

IMAGINE AI merupakan syarikat teknologi tempatan diasaskan pada 2020 dengan visi menjadi peneraju dalam bidang automasi, kecerdasan buatan (AI), dan robotik.

Sejak penubuhannya, Imagine AI memberikan tumpuan kepada visi pembangunan teknologi komputer AI mampu milik dan mudah diakses oleh pelbagai industri.

Syarikat ini mencipta impak besar dengan menyediakan penyelesaian menggabungkan inovasi dan kemudahan penggunaan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

2627949

Imagine AI yang berpangkalan di Johor ditubuhkan pada 2020.

Kini, perkhidmatan penyelesaian komputer kecerdasan buatannya sudah digunakan untuk mengautomasikan pemeriksaan kawalan kualiti di kilang, penggredan dan pengurusan hasil pertanian, serta pendigitalan dan automasi proses perniagaan.

Produk utama syarikat, Imagine Vision+, adalah perisian komputer AI yang membolehkan pengguna teknikal dan bukan teknikal membangunkan penyelesaian dengan cepat dan mudah.

Dengan ciri antara muka mesra pengguna dan tidak memerlukan pengetahuan kemahiran pengaturcaraan atau programming, Imagine Vision+ menyediakan pelbagai alat dan modul untuk membantu pembangunan model bagi aplikasi umum dan industri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Imagine AI, Edwin Loh, syarikatnya bukan sahaja membangunkan projek AI mengikut kesesuaian pelanggan, tetapi turut menyediakan kemudahan kepada pihak lain membina penyelesaian AI sendiri dengan mudah.

"Kami berharap ini akan membantu mempercepatkan penerapan teknologi AI di semua syarikat, besar atau kecil," ujarnya.

2627942

Imagine AI bersedia untuk mengembangkan ekosistem AI dan meletakkan Malaysia sebagai pusat AI global.

Contoh penyelesaian inovatif yang boleh dibangunkan menggunakan alat Imagine AI termasuk pemeriksaan penyelenggaraan bangunan dan infrastruktur menggunakan AI Vision, penggunaan data daripada resume untuk mengautomasikan proses pengambilan pekerja dan pembantu guru robot AI.

Aspek menjadikan Imagine AI istimewa ialah tumpuannya terhadap kemudahan penggunaan.

Perisiannya dan direka untuk disesuaikan dengan mana-mana perniagaan sama ada besar atau kecil termasuk dalam penggunaan mesin yang dimiliki syarikat berkaitan.

Pemilik perniagaan tidak perlu menjadi pakar teknologi untuk mengoperasikannya kerana ia dibina untuk semua pihak.

Sebagai salah satu syarikat AI yang berkembang pesat di Malaysia, Imagine AI sedang mencipta gelombang dengan matlamat besar untuk masa depan.

Melalui kerjasama strategik dengan organisasi, sekolah dan perniagaan terkemuka, Imagine AI yang berpangkalan di Iskandar Puteri, Johor kini dalam misi untuk mengembangkan ekosistem AI di Malaysia.

592174

Daripada pemeriksaan kawalan kualiti kepada penggredan, pengasingan hasil pertanian dan mengautomasikan proses perniagaan, AI boleh diguna pakai oleh semua syarikat. — Gambar hiasan

Syarikat ini menubuhkan pusat pembangunan penyelesaian AI yang khusus, menggabungkan sekolah dan industri untuk bersama-sama membangunkan projek AI.

"Salah satu bahagian penting Imagine AI ialah perkongsian ilmu, peningkatan kemahiran AI, dan pembentukan profesional industri AI, memberikan mereka kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memanfaatkan peluang ditawarkan oleh AI sepenuhnya.

"Malaysia boleh menjadi pusat AI global di mana kita mempunyai tenaga kerja yang mahir dalam alat dan aplikasi AI, serta kompeten untuk mengambil projek AI dari seluruh dunia," jelas Edwin. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram