SEBELUM negara berdepan dengan pandemik Covid-19, Mohd Zulkifli Ali, 39, tidak pernah terfikir untuk menjadi penternak lembu.
Ini kerana selepas menamatkan persekolahan, dia yang juga pernah mewakili Kelantan dalam sukan bola sepak dan olahraga di peringkat sekolah membuat keputusan membantu rakannya untuk terlibat dalam kerja pembinaan.
Bagaimanapun, takdir kemudiannya mengubah haluan hidup bapa kepada seorang cahaya mata ini.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Selepas pendapatannya terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, dia mengambil keputusan menjadi penternak lembu dengan menggunakan sebidang tanah milik keluarga di Bachok, Kelantan pada 2021.
Pada awalnya, Mohd Zulkifli berkata, dia memilih untuk menternak sebanyak tujuh lembu baka Kedah-Kelantan (lembu KK).
Bagaimanapun, dia seterusnya membuat langkah berani untuk menukar haiwan ternakan kepada lembu hibrid atau lembu sado jenis baka charolais, limousine dan mega dengan berbekalkan modal permulaan sebanyak RM70,000.
Mohd Zulkifli mula menjadi penternak lembu pada 2021.
Berkongsi kepada Majoriti, Mohd Zulkifli berkata, keputusan untuk mengubah itu diambil selepas mengambil kira pendapatan yang boleh diperoleh dengan langkah tersebut.
"Lembu sado yang berusia setahun ke atas, kita boleh jual paling kurang RM5,000.
"Jadi pendapatan untuk membela lembu sado ini memang agak lebih berbaloi berbanding lembu biasanya," katanya kini menternak kira-kira 100 ekor lembu sado di ladangnya.
Mohd Zulkifli atau lebih dikenali sebagai 'Abe Zack' berkata, secara umumnya, pihaknya berjaya menjual sebanyak 10 hingga 15 ekor lembu sado setiap bulan.
Dalam pada itu, dia mengakui bahawa dia mengakui berdepan dengan kesukaran di peringkat permulaan ketika mahu mula berjinak-jinak dalam bidang penternakan apatah lagi tanpa sebarang ilmu khusus.
Mohd Zulkifli (depan kanan) ketika menerima lawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di ladang ternakannya di Bachok, Kelantan. — Facebook/MohamadSabu
Bagaimanapun, dengan keinginan yang tinggi untuk belajar, dia berjaya menguasai kemahiran diperlukan dalam tempoh hanya tiga tahun.
Malah, dia kini juga dijadikan sebagai rujukan bukan sahaja dalam kalangan penternak tetapi juga agensi berkaitan.
"Waktu mula itu memang agak terasa jugalah kesukaran untuk jadi penternak. Tapi bila dah biasa, dia bertukar jadi minat sampai macam hobi dah," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Zulkifli mengakui bahawa antara cabaran utama dalam kegiatan penternakan adalah untuk memastikan pemeliharaan terhadap kesihatan haiwan.
Ujarnya, sebarang kecuaian mahupun insiden tidak diingini berpotensi mendedahkan ternakan kepada masalah kesihatan yang membawa kepada kerugian.
"Seandainya lembu itu mati, ia boleh buatkan kita mengalami kerugian dan terpaksa membayar harga yang sangat tinggi sangat tinggi lebih-lebih lagi jika lembu sado," ujarnya.
Untuk menangani perkara tersebut, Mohd Zulkifli berkata, dia sangat menekankan aspek pengurusan yang terbaik di ladangnya termasuk dengan menyediakan bilik kuarantin, bersalin dan tempat mandi khas bagi haiwan ternakannya.
Pada waktu ini, dia menguruskan ladangnya bersama dua orang pekerjanya.
Terdapat sebanyak kira-kira 100 ekor lembu sado diternak di ladang milik Mohd Zulkifli di Bachok, Kelantan. — Facebook/MohamadSabu
Bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia, Mohd Zulkifli berkata, dia turut menggunakan menggunakan teknologi terkini untuk meringankan beban kerja.
"Dulu kalau dua orang pekerja memang tak cukup. Tapi sekarang kebergantungan terhadap tenaga kerja manusia sudah semakin berkurang sebab kita pun banyak guna mesin.
"Misalnya untuk potong rumput pun kita ada guna mesin teknologi yang terus masukkan rumput siap dipotong ke dalam bakul terus.
"Kiranya pekerja tak perlu punggah masuk dalam bakul dan bawa balik ke ladang," ujarnya.
Bergerak ke hadapan, Mohd Zulkifli berkata, dia berharap agar Bachok dijadikan sebagai tempat yang terkenal dengan penternakan lembu sado.
"Matlamat saya untuk mengetengahkan penternakan lembu sado supaya lebih komersial dan turut tarik menjadi tarikan buat negara luar," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram