KOMPOSER terkenal, Datuk Ooi Eow Jin menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 86 tahun di Hospital Kuala Lumpur kira-kira pukul 4 petang Khamis.
Berita pemergian itu disahkan oleh Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) selepas menerima panggilan daripada isterinya, Datin Elaine Khaw.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez berkata, tanggal 18 September adalah hari yang menyedihkan buat industri muzik kerana kehilangan seorang legenda, Datuk Ooi Eow Jin yang terkenal sebagai komposer, penerbit dan penghibur tanah air.
BACA LAGI: ADUN Mahkota, Sharifah Azizah meninggal dunia pada usia 64 tahun
BACA LAGI: 'Yang dulu dah habis', M Nasir kongsi pembikinan album baharu
"Dia seorang pemain piano yang sangat baik. Dia meninggalkan banyak kenangan indah untuk kita semua yang pastinya akan dikenangi selama-lamanya.
"Jadi terima kasih kepada Datuk Ooi atas semua yang telah anda lakukan. Takziah kepada keluarganya," katanya.
Terdahulu, Ooi disahkan menghidap penyakit Alzheimer pada 2015 sebelum dijaga oleh isterinya dengan bantuan seorang penjaga.
Pada 2022, mendiang bersama isteri dan anak lelakinya dijangkiti Covid-19.
Selepas pulih daripada jangkitan wabak itu, anak lelaki mereka iaitu Raymond, disahkan meninggal dunia pada usia 58 tahun akibat tumor otak.
Untuk rekod, Ooi bermula sebagai pemain piano dalam Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada era 1960-an.
Sejak itu, kerjaya seni muziknya berkembang maju selama empat dekad menerusi beberapa karya dan jalinan kerjasama dengan ikon negara seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Datuk Sudirman Arshad, Rahimah Rahim, dan Alleycats. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram