SEORANG penunggang motosikal meluahkan rasa kesal dengan sikap individu yang secara sembarangan membuat onar di atas jejambat di Seri Cheeding, Banting, Selangor.
Menerusi sebuah rakaman, seorang lelaki mendedahkan bahawa dia terkena objek yang dipercayai dibaling menerusi atas jejambat berkenaan sewaktu melalui Lebuhraya Pantai Barat (WCE), Banting baru-baru ini.
"Mereka baling ke arah bawah, terkena pada sarung tangan saya. Memang tidak sakit tetapi kalau tidak pakai sarung tangan sakit jugalah kan," katanya.
BACA LAGI: Tak sempat pandu kereta hadiah anak, bapa maut lepas cabut 23 batang gigi di China
BACA LAGI: [VIDEO] Angka kematian di Vietnam akibat Taufan Yagi meningkat 58 orang, 40 lagi masih hilang
Lelaki berkenaan turut memberi pesanan kepada pengguna jalan raya yang lain agar lebih berhati-hati apabila melalui lebuh raya terbabit.
"Tuan-tuan kalau lalu highway WCE ni hati-hatilah. Ada budak-budak dari atas jejambat yang nakal," katanya.
Lelaki terbabit turut memberi pesanan kepada penduduk sekitar kawasan tersebut untuk mengawasi tingkah laku anak mereka agar tidak memberi kesan yang buruk kepada individu lain.
"Penduduk Kampung Seri Cheeding awasilah anak-anak anda. Jangan sampai orang lain kena musibah," katanya.
Hantaran itu mendapat perhatian ramai pihak yang turut bimbang ia akan mengundang masalah dari sudut keselamatan pengguna jalan raya.
Seorang pengguna, Sahar Rahman mengesyorkan agar flyover sebegitu ditutupi dengan tembok yang dapat mengelak objek dilemparkan ke bahagian bawah.
"Semua jambatan merentasi lebuh raya seperti ini perlu dibina dengan tembok tinggi atau apa-apa reka bentuk yang boleh menghalang perbuatan membuang objek ke lebuh raya," katanya.
Pengguna yang lain, Fasha Yusof turut mendedahkan bahawa peristiwa yang sama berlaku kepadanya sewaktu melalui lebuh raya tersebut.
"Betul tu, tadi pun saya kena juga. Budak-budak tu baling batu, nasib baik kena atas lori suami saya. Bila suami berhenti keluar lori, mereka lari," katanya.
Seorang pengguna, Maswana Malique pula menyifatkan bahawa serbuan yang pernah dilakukan seolah-olah tidak memberi apa-apa kesan kepada pelaku.
"Polis peronda sudah pernah serbu. Esoknya datang balik budak-budak melepak, rumah saya dekat dengan flyover ni.
"Ramai juga budak-budak bukan dari kampung sini. Sekarang yang bawa motosikal bunyi bising main 'rem-rem' atas tu. Budak kecil-kecil bawa basikal entah dari mana melepak sampai sudah maghrib pun tidak balik-balik," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram