Komunis memberontak: Pejuang 'otai' sanggup menyamar hantar surat, cukup hati-hati elak jerangkap samar guna tin susu


  • Massa
  • Sabtu, 14 Sep 2024

Setiap anggota pejuang keselamatan negara mempunyai kisah unik tersendiri, yang penuh dengan pengalaman, cabaran dan pengorbanan.

SETIAP pejuang keselamatan negara mempunyai kisah unik tersendiri, yang penuh dengan pengalaman, cabaran dan pengorbanan.

Pelbagai situasi bahaya ditempuhi mereka termasuk berhadapan dengan ancaman yang boleh menguji keberanian serta ketahanan mental, demi berkhidmat untuk masyarakat.

Ada yang mungkin pernah melalui operasi besar atau berhadapan dengan penjenayah yang ganas, sementara yang lain mungkin terlibat dalam menjaga keamanan semasa krisis atau keadaan darurat.

Kisah-kisah sebegini selalunya menjadi sumber inspirasi kerana ia menggambarkan dedikasi dan pengorbanan yang besar demi memastikan keselamatan dan keamanan negara.

BACA LAGI: Hanya tulang 'terbaring' di tilam, rangka warga emas ditemui dipercayai meninggal dunia 4 tahun lalu

BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

Bukan itu sahaja, setiap kali pertemuan atau majlis perjumpaan semula dalam kalangan pasukan keselamatan pastinya setiap seorang daripada mereka akan berkongsi kisah masing-masing.

Pada tahun 1976 hingga 1986, Paul telah menangkap seramai 43 orang pengganas komunis. (Facebook/Polis Hutan)

Pada tahun 1976 hingga 1986, Paul telah menangkap seramai 43 orang pengganas komunis. — Facebook/Polis Hutan

Bekas Superintendan yang berkhidmat selama 32 tahun dalam Unit Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Paul Kiong tidak terkecuali berkongsi pengalaman beliau terlibat dalam operasi rahsia menentang Parti Komunis Malaya (PKM) di hutan Perak pada suatu ketika dahulu.

Menurut Paul yang kini berusia 80 tahun, beliau pernah menyamar sebagai penghantar surat, pemandu dan pembekal makanan kepada komunis sebagai sebahagian daripada usahanya mendapatkan maklumat perisikan daripada mereka.

Dalam satu misi rahsia, Paul menceritakan pihaknya berjaya menahan seorang pemimpin berusia 45 tahun pada ketika itu.

Menurutnya lagi, ia bukanlah satu tugas mudah dan mereka mengambil masa selama empat hari menyoal siasat musuh untuk memberikan maklumat.

"Polis menyoal siasatnya selama empat hari tetapi dia tidak berkata apa-apa.

"Kami memberinya makanan, minuman dan rokok. Bagaimanapun, pada hari kelima ditahan, pemimpin komunis itu menawarkan diri untuk memberi kerjasama kepada polis.

"Saya beritahu saya memerlukan dia (musuh) menghantar sepucuk surat kepada kumpulan komunis lain dalam hutan.

"Walaupun ragu-ragu tapi saya terpaksa mempercayai tawanan tersebut. Amat pelik, dia memberi kerjasama," katanya semasa sesi perkongsian di Perpustakaan Manusia Taman Tugu atau Taman Tugu Human Library (TTHL) sempena Hari Malaysia dan Hari Pahlawan.

Paul Facebook Wira Polis

Paul yang kini berusia 80 tahun, beliau pernah menyamar sebagai penghantar surat, pemandu dan pembekal makanan kepada komunis sebagai sebahagian daripada usahanya mendapatkan maklumat perisikan daripada mereka.— Facebook/Wira Polis

Bercerita lanjut, Paul berkata, misi itu sendiri penuh mendebarkan apatah lagi apabila beliau menyangka pelbagai kemungkinan pemimpin komunis itu telah berpaling tadah sehingga menyebabkan nyawanya terancam.

Katanya, anggota komunis tersebut hanya diberi masa 15 minit untuk menyampaikan surat itu tetapi mengambil masa lebih lama daripada yang diperlukan.

"Selepas menunggu selama 15 minit, lelaki itu tidak pulang dan selepas 20 minit, saya sudah mula tertanya-tanya sama ada saya telah dikhianati.

"Kira-kira 30 minit kemudian saya melihat bayang-bayang lelaki berjalan ke arah saya.

"Pada ketika itu, saya tertanya-tanya sama ada saya perlu mula menembak.

"Saya tahu jika saya mula menembak sekurang-kurangnya dua antara pihak musuh akan mati sebelum saya sendiri terkorban. Tetapi, jika saya menembak maka identiti saya akan terbongkar.

"Namun tidak berapa lama kemudian, dia menghampiri saya dan mengajak pergi. Saya terus menghembus nafas lega kerana dia tidak mengkhianati saya.

"Tanpa berlengah saya terus masuk ke dalam kereta, memandu dan membawanya pulang ke pangkalan," katanya sambil mengimbau kembali anggota komunis itu memberitahunya bahawa dia melihat rakan sekampungnya di kem itu dan memutuskan untuk berbual dengan mereka supaya tidak menimbulkan sebarang syak wasangka.

Atas jasanya menentang komunis, Paul telah dianugerahkan Pingat Bintang Kehormat Seri Pahlawan Gagah Perkasa 1983 dan Pingat Keberanian Handal Perak 1988.

Jelas beliau, kebanyakan komunis yang ditangkap telah mengikuti sesi pemulihan dan menjalani kehidupan yang baik. Malah, ada dalam kalangan komunis itu telah menjadi kawannya.

332608114_3573377776215084_6632520960414326250_n

Pesara tentera Kapten (B) Dr Wong Ang Peng. — Facebook/ Ang Peng Wong

Sementara itu, pesara tentera Kapten (B) Dr Wong Ang Peng berkata, beliau menghabiskan enam tahun dalam hutan apabila komunis meletakkan perangkap samar di merata tempat.

"Pihak komunis menggunakan jerangkap samar buatan sendiri yang diperbuat daripada tin susu yang dicas menggunakan bateri tetapi mempunyai impak letupan yang kuat seperti letupan lombong.

"Semasa saya menjadi pegawai kadet, kami mendengar begitu banyak cerita pegawai tentera kehilangan kaki akibat perangkap samar.

"Sangat sedikit yang mahu menyertai infantri, malah bagi saya infantri bukanlah pilihan pertama saya," katanya yang merupakan sebahagian daripada pasukan infantri dan renjer pada tahun 1975.

Walaupun baru berusia 22 tahun ketika itu, Ang Peng menceritakan dalam satu misi, mereka telah bertempur dengan selama 45 minit dalam hutan.

"Kami mendapat tahu ada tembakan ketika mereka cuba mendapatkan anggota komunis yang cedera. Ada ketika, mereka melontar bom tangan dan serpihan letupan itu mengenai kaki saya.

"Saya cedera ketika itu. Secara keseluruhannya, kami berjaya membunuh lima dan kehilangan dua askar sehingga hari ini, saya masih memikirkan mereka (askar yang terkorban),” katanya.

Pegawai tentera bersara Mejar Ismail Kamat turut berkongsi kisah pengalamannya membawa keluar mayat tentera yang terkorban dari hutan.

Peperangan yang dicetuskan oleh PKM berlangsung selama 21 tahun. Pada 1989, PKM menyambut baik perjanjian damai oleh kerajaan Thailand dengan kerjasama Malaysia yang menamatkan perjuangan bersenjata mereka. The Star/ Ashley Tang

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram