Tak kisah dijeling orang awam, anggota RELA sanggup berhujan panas demi teruskan legasi ayah


  • 112
  • Isnin, 16 Sep 2024

Amirul berbangga bertugas menjadi anggota RELA demi menjaga keselamatan orang awam.

WALAUPUN berdepan dengan cuaca panas dan hujan lebat pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024, namun ia sedikit pun tidak menghalang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bertugas demi menjaga keselamatan orang awam.

Malah, bagi salah seorang anggota RELA, Muhammad Amirul Rizman bertugas untuk program besar seperti MAHA dianggap sebagai satu penghormatan baginya menyumbang kepada negara.

Ditanya penat atau tidak, Amirul hanya tersenyum menjawab pertanyaan tersebut.

BACA LAGI : Tak sangka, abang bomba viral dukung warga emas rupanya pelantun lagu Iban 'Ke Pengujung Seput'

BACA LAGI : Ibu terharu, anak melecur teruk 75 peratus tak pernah menyesal dijulang 'unsung hero'

"Alah bisa tegal biasa. Setiap tugasan ada cabarannya tersendiri, yang penting keselamatan pengunjung terjaga.

"Kalau di MAHA ini, salah satu cabarannya orang awam bukan cuaca kerana kita berhadapan dengan pelbagai ragam manusia.

"Jujur saya cakap, ada pengunjung yang tidak berpuas hati bila kita tegur. Siap kena jeling lagi tetapi apabila diberikan penerangan secara berkhemah, barulah mereka mengikut arahan," katanya kepada Majoriti.

photo_2024-09-14_14-07-53

Amirul ketika bertugas di Maha yang berlokasi di Maeps dekat Serdang, Selangor.

Amirul yang bertugas sebagai RELA di Sepang, Selangor mula meminati menjadi anggota Rela kerana ingin mengikuti jejak langkah ayahnya.

"Ayah pun kerja RELA, ayah selalu pesan kalau kerja kita kena ikhlas membantu masyarakat.

"Lagipun saya memang minat nak jadi anggota badan beruniform dan saya pernah mohon jadi askar tetapi gagal kerana faktor tertentu.

"Alhamdulillah, walaupun tak dapat jadi askar, rezeki saya disini," ujarnya yang telah tiga tahun menjadi anggota RELA.

Sepanjang tempoh tiga tahun bertugas, pemuda berusia 27 tahun itu turut berkongsi pengalaman pernah mengikuti operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen (JIM) menyerbu penempatan warga asing di sekitar Cyberjaya, Selangor.

A Rela member using a loudhailer to remind market-goers to maintain physical distancing at the Pudu wet market in Kuala Lumpur. AZMAN GHANI/The Star

Bukan setakat petugas pasar malam, RELA kini memainkan peranan dalam membantu menjaga ketenteraman awam dan keselamatan negara. — Gambar Hiasan

Katanya, ia bukanlah tugas yang mudah dan memerlukan mental serta fizikal yang kuat.

"Kenapa saya kata mental, sebab ia melibatkan emosi. Warga asing ini ada yang sudah bekeluarga dan anak kecil.

"Pada masa sama keselamatan kita juga terancam kerana ada yang bertindak ganas ketika cuba menyelamatkan diri, "ujarnya.

Menutup bicara, anak jati Negeri Sembilan itu turut menyeru anak muda sepertinya untuk menyertai RELA.

"Banyak yang boleh dipelajari, RELA dah banyak berubah sebab kini kami terlibat dengan pelbagai aktiviti sukarelawan dan kemasyarakatan.

"Orang selalu cakap kami petugas menjaga majlis kenduri kahwin dan pasar malam tetapi ramai yang tidak tahu RELA ini juga terlibat dalam membantu menjaga ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya dengan bangga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram