[VIDEO] Mak cik tak sabar buat hal, masuk melintas trek sampai langgar pelari


  • Tular
  • Rabu, 18 Sep 2024

Tangkap layar daripada video tular memaparkan seorang wanita melintasi trek ketika isyarat perlumbaan sudah dilepaskan.

TULAR sebuah video berdurasi 12 saat memaparkan seorang wanita bertindak melintasi trek larian sehingga mengganggu perlumbaan yang sedang berlangsung.

Rakaman yang dimuat naik pengguna TikTok hxlmibob itu kemudiannya dikongsikan pengguna lain di pelbagai platform media sosial lain dengan ia sudah menerima ratusan ribu tontonan.

Dalam klip pendek itu, kelihatan sebuah pertandingan larian diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kuala Lumpur berdasarkan latar belakang video berkenaan.

BACA LAGI: SUKIPT: UPSI sasar 6 pingat emas olahraga, letakkan UPM pencabar utama

BACA LAGI: Mahu jadi sebaris Azeem Fahmi, Olahragawan MSSM sedar pentingnya pelajaran

Kesemua peserta pada awalnya sedang bersiap sedia untuk memulakan perlumbaan sebelum pengadil bertindak melepaskan tembakan sebagai isyarat permulaan.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba, seorang wanita yang membawa beg tangan melintasi trek larian sehingga melanggar salah seorang pelari berpakaian singlet putih dan berseluar pendek hitam.

Pelanggaran itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada peserta mahupun wanita berkenaan, namun ia jelas memberi kesan terhadap momentum yang cuba diraihnya.

Malah, pengguna media sosial lain turut beranggapan kelakuan perempuan itu sepatutnya dielak lebih awal kerana dikhuatiri hanya akan membawa kesan buruk pada masa akan datang.

"Kacau betul perempuan tu, tidak mungkin kau tak nampak pelari sedang bersedia untuk bermula. Tolak bagi jatuh lebih senang. Lain kali, jadilah orang bijak sedikit," kata Nur Hafizah.

"Malangnya, kenapa tidak diberhentikan terlebih dahulu larian itu dan dimulakan semula? Ini adalah satu perkara tidak adil buat pelari yang berada di hadapan tersebut," kata Norlela Mohd Nor.

"Akak tu datang dari mana? Kalut sangat nampaknya, orang dah bersedia untuk mulakan perlumbaan dengan hanya menunggu bunyi tembakan pistol. Boleh pula dia lari atas trek," kata Paduka Wv Wv.

Setakat ini, masih belum dikenal pasti acara yang diadakan di venue sukan berkenaan, namun ia menerima penyertaan daripada atlet olahraga seluruh negara.

Ini kerana kelihatan bendera beberapa negeri sekitar trek larian selain terdapat seorang penonton mengenakan baju 'Sekolah Sukan Negeri Sembilan' ketika video itu dirakam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram