SEORANG wanita hampir menjadi mangsa penipuan selepas seorang individu mengaku sebagai adik ipar menghubunginya untuk meminjam sejumlah wang.
Menerusi hantaran di aplikasi Thread pada Rabu, pengendali akaun dengan nama amizah_hussin berkata, dia pada awalnya meragui tindakan lelaki berkenaan yang menghubunginya secara peribadi di WhatsApp beberapa hari selepas adik perempuannya menikah.
Dia bagaimanapun berpandangan, adalah lebih manis jika mesej itu disampaikan sendiri oleh adik kandungnya.
BACA LAGI: Individu putih mata bank di Sungai Petani tersilap batal pinjaman ASB
BACA LAGI: Pinjaman ASB terbatal tanpa sebab, peguam desak bank bertanggungjawab, khuatir wujud unsur scam
"Adik aku (perempuan) baru nikah belum masuk seminggu lagi. Tiba-tiba 'adik ipar' baharu itu (menghantar mesej melalui) WhatsApp.
"Kalau betul nak pinjam duit, kenapa bukan adik aku yang WhatsApp? Macam-macamlah bermain di fikiran pada masa itu.
"Aku pun tak tanya adik sebab takut pengantin baharu bergaduh sebab aku, tengok gaya suami dia WhatsApp ini memang adik aku tak tahulah," katanya.
Tangkap layar memaparkan awal perbualan wanita berkenaan dengan scammer itu.
Wanita itu kemudian berhasil memperoleh nombor telefon sebenar adik iparnya untuk mendapatkan kepastian.
Jelas pengguna akaun itu, mereka sememangnya tidak menyimpan nombor telefon ipar atau biras lelaki supaya ada sempadan dan segala pertanyaan boleh sahaja hubungi isteri masing-masing.
"Bila dah dapat nombor telefon suami adik, nombornya tidak sama. Haaa...tiba-tiba aku teringat nak semak di (aplikasi) Truecaller.
"Memang sejak tadi mati-mati aku ingat adik ipar yang WhatsApp. Nama sama, gambar profil (pula guna) foto perkahwinan mereka, status dia letak nama dia dengan nama adik aku.
"Bila semak rupanya scammer. Licik dia buat kerja, nasib aku bersangka buruk. Kalau tidak, terbang RM80 aku. (Guna untuk) Makan kenyang," katanya.
Semakan di Truecaller mendapati nombor telefon itu adalah scammer.
Wanita berkenaan turut berkongsi tangkap layar perbualannya berserta nombor telefon penipu tersebut untuk rujukan orang ramai.
"Kalian simpanlah nombor ini, dia (scammer) mesti tengok Facebook sebab aku ada muat naik gambar kahwin adik di situ.
"Mesti dia buat semakan sikit, jika dia WhatsApp makcik atau pakcik aku yang tidak tahu apa-apa, lebih memburukkan nama adik ipar," ujarnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram