KEJOHANAN Olahraga Majlis Sukan Selangor (MSSS) 2024 yang sudah melabuhkan tirainya pada 5 September lalu menyaksikan kontinjen Klang berhasil mengesahkan gelaran juara keseluruhan dengan kelebihan 18.5 mata mengatasi Petaling Perdana.
Kejayaan ini bertambah manis apabila ia merupakan kemenangan kali pertama selepas tiga tahun tewas kepada Petaling Perdana dengan Klang mengumpul keseluruhan 40 pingat emas, 27 perak dan 22 gangsa.
Petaling Perdana, juara edisi 2020, 2022 dan 2023 (2021 tiada rekod disebabkan Covid-19) terpaksa akur sebagai naib juara dengan kutipan 30-28-33, diikuti Hulu Langat (18-23-18).
BACA LAGI: Kedah hampir tutup kedai? Skuad B-23 jadi pilihan lawan lawan KL City
BACA LAGI: [VIDEO] Bolot semua emas acara padang, Arissa Qaseh sedia gegar MSSM
Atlet dari kontinjen Klang, Muhammad Danysh Ashraff Herwan dinobatkan sebagai olahragawan terbaik bagi kategori menengah selepas dia berhasil membolot emas bagi acara 110 meter (m) lari berpagar, 200m lari berpagar dan 110m.
Di sebalik kejayaan Muhammad Danysh, adanya cikgu Mohd Sharil Ab Rahman dari Sekolah Sukan Negeri Selangor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11 yang memainkan watak sebagai jurulatih utama dalam membantu pelari tersebut mencapai rekod baharu.
“Semestinya kita seronok, Danysh Ashraf mencapai sasaran yang kita telah tetapkan. Danish Ashraf dalam landasan yang betul ke kejohanan MSSM. Semestinya dia gembira dengan keputusan yang dia sudah lakukan di kejohanan MSSS yang lepas.
“Untuk catatan masa itu sebenarnya kita ada sasaran lah, cuma rekod tu kita tak sangka. Ibarat bonus lah bila catatan masa itu boleh dapatkan. Selalu saya nasihatkan pelajar yang jangan terlalu fikir dekat rekodkan,” katanya kepada Majoriti.
Cikgu Sharil (paling tepi kiri, bertopi hitam) dari SMK Seksyen 11 memainkan watak sebagai jurulatih utama buat Danysh Ashraff.
Kini, Muhammad Danysh sedang dalam persiapan untuk ke kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang akan berlangsung di Perak pada 18 hingga 25 Oktober depan bagi mewakili negeri kelahirannya.
Shahril berkongsi bahawa Muhammad Danysh sudah memulakan latihan persiapan ke MSSM bersamanya sejak dua hari lalu dengan berharap pelari itu akan membuat yang terbaik pada kejohanan tahunan berkenaaan.
“Atlet yang dari sekolah arus perdana akan berkumpul di latihan pusat pasukan negeri Selangor iaitu di SMK USJ 23. Tapi Danysh dia masih lagi latihan dengan saya. Kita mengharapkan dia buat yang terbaik. Tapi semestinya kalau seorang jurulatih memang nak dia menghasilkan keputusan yang baik untuk negeri.
“Sebelum bertanding, siapa-siapa boleh menang kan. Selagi tak sampai garisan penamat, siapa-siapa boleh menang tapi setakat ini memang kita menyasarkan emas.
"Setakat ini, kita nak Danysh fokus tiga acara tapi mesyuarat untuk penetapan acara yang sebenar belum dilaksanakan,” jelasnya lagi.
Seperti bintang dalam pembikinan yang lain, cikgu Shahril juga memasang impian untuk melihat anak didiknya itu berhasil mengikuti jejak atlet senior lain seperti Muhammad Azeem Mohd Fahmi, yang kini sudah mengharumkan nama Malaysia di pentas Olimpik.
Olahragawan dan olahragawati MSSS 2024.
“Untuk pelajar tingkatan tiga seperti Danysh, banyak lagi benda yang dia perlu harungi. Nak jadi seperti Azeem itu adalah satu matlamat tetapi pendapat peribadi saya kalau betul ada rezeki dan lebih komited dalam latihan, tidak mustahil akan dapat sasaran itu,” jelasnya.
Bukan hanya cemerlang dalam bidang sukan, Muhammad Danysh juga rupanya seorang pelajar yang tidak mengabaikan akademiknya dan tidak mudah terbuai dengan keseronokan kejayaan sebagai seorang atlet.
“Danish ni senang cerita seorang fighter perjuang. Kalau dalam kejohanan itu, dia memang akan bagi 200 peratus komitmen sehingga di luar kemampuan dia. Dalam akademik pun stabil, dia tidak mudah goyah dengan kejayaan. Dia masih imbang dengan pelajaran dan sukan.
“Dia memang seorang yang rendah diri dan dalam latihan pun sentiasa menunjukkan kesungguhan di dalam latihan. Memang bagi komitmen penuh, semua ini bukan kejayaan satu malam,” jelasnya.
Untuk rekod, Muhammad Danysh mencipta sensasi apabila berhasil mencipta sejarah baharu dalam acara 110m berpagar dengan catatan 14.00 saat (s), 200m lari berpagar (23.99s) dan 100m pula mencatatkan 11.25s. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram