PEMANDU bas yang ditahan kerana memuat naik rakaman video penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah dengan menggelarnya sebagai crush didakwa di Mahkamah Sesyen Muar, Johor pada Selasa.
Lelaki yang berusia 24 tahun itu dilihat menangis di kandang tertuduh dan mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan gangguan seksual fizikal dengan mencium pipi kanak-kanak perempuan yang dikenal pasti sebagai anak saudaranya berusia empat tahun antara pukul 5 hingga 6 petang dalam sebuah bas sekolah di Simpang Renggam, Kluang pada April sehingga September 2024.
BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum kena tangkap, pemandu bas sempat 'bela diri' kononnya dah jumpa ibu bapa 'crush'
Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Pengarah Pendakwaan Negeri Abdul Ghafar Ab Latif mencadangkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan, dengan alasan kes berkenaan adalah serius dan telah menarik perhatian umum, dengan banyak komen menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.
Pihak pendakwaan juga meminta tertuduh tidak mengganggu mangsa serta kakak dan ibunya yang juga saksi pendakwaan.
Tertuduh, yang diwakili peguam Umar Zulkarnain merayu jaminan rendah dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap kerana hanya bekerja sebagai pemandu bas sekolah.
Sayani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 10 Oktober ini untuk sebutan sebulan kes serta serahan dokumen. — TheStar
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram