[VIDEO] 'Konten bagus', video jadi panduan ibu bapa bezakan antara sentuhan selamat atau serangan 'syaitan'


  • Massa
  • Khamis, 12 Sep 2024

Video memaparkan seorang kanak-kanak mengajar batas sentuhan mencuri tumpuan di media sosial.

KESEDARAN orang ramai mengenai serangan seksual kian meningkat hari ini susulan tindakan seorang pemandu bas yang memuat naik video di media sosial memaparkannya menyentuh kanak-kanak di kawasan tidak sepatutnya.

Selain itu, dia juga beberapa kali berkongsi rakaman penumpangnya yang rata-rata pelajar perempuan dengan kapsyen melampaui batas antaranya dan kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun, sesetengah pihak seakan-akan mempertikaikan tindakan pihak berkuasa terhadapnya apabila ada yang beranggapan kelakuan lelaki itu tidak menyalahi undang-undang.

BACA LAGI: Kes buli siber naik mendadak dalam kalangan remaja termasuk gangguan seksual — Noraini Ahmad

BACA LAGI: Bekas jurulatih boling bebas tuduhan amang seksual atlet lelaki SUKMA

Abang-bas

Seorang pemandu bas ditahan atas kesalahan gangguan seksual terhadap pelajar sekolah.

Ini kerana mereka melihat hubungan persaudaraan antara pesalah itu dan salah seorang daripada kanak-kanak tersebut membenarkan sentuhan sedemikian dibuat.

Jadi, dalam menyedarkan golongan berkenaan, beberapa pengguna media sosial mengambil langkah memuat naik hantaran bagi memberi kesedaran mengenai gangguan seksual.

Pengguna Facebook, Mohd Faizullizam Zamani merupakan antara individu yang cakna mengenai hal tersebut apabila dia berkongsi sebuah video ringkas memaparkan seorang kanak-kanak wanita mengajar orang ramai mengenainya.

Video itu sememangnya mudah difahami kerana ia menunjukkan kawasan dan cara sentuhan yang tidak dianggap serangan seksual berserta ekspresi muka yang jelas mengenainya.

Antara sentuhan yang dibenarkan adalah bersalam, cubitan pipi serta usapan di kepala sementara kesalahan dalam hal itu merangkumi sentuhan di kawasan tidak sepatutnya seperti dada dan perut.

Klip ringkas berkenaan meraih respons dan perkongsian memuaskan daripada orang ramai yang mula sedar sentuhan tidak selamat merupakan satu bentuk serangan seksual.

"Tidak kisahlah anak saudara atau sesiapa sahaja pun, sentuhan itu amat merisaukan bagi kami ibu bapa, terutamanya terhadap anak perempuan. Tolonglah jangan mudah-mudah sentuh anak orang," kata Puteri Qaseh AR.

"Tengok reaksi budak perempuan ini, berubah sama reaksi kita. Baik anak lelaki mahupun perempuan, ajarlah mereka supaya jangan benarkan orang lain menyentuh mereka," kata Nisa Azahari.

"Bagus kandungan sebegini kerana ramai sangat orang di luar sana yang tidak tahu beza sentuhan kasih sayang dan sentuhan 'syaitan'. Memang ibu bapa sendiri perlu peka akan hal ini," kata LJ Subari-Yap.

Meskipun perkara sedemikian sudah diajar di sekolah, masih ramai kurang jelas mengenainya, terutamanya dalam kalangan ibu bapa yang masih gagal membezakan perkara itu.

Bagaimanapun, dengan pelbagai video kesedaran sudah dimuat naik, diharapkan masyarakat menjadi lebih peka dan mengatasi isu berkenaan sebelum kanak-kanak menjadi mangsa serangan seksual. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram