MAJLIS Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menunda kira-kira tiga puluh kenderaan berat yang diparkir secara haram di kawasan perumahan ekoran ia membahayakan pengguna jalan di sekitar kawasan perumahan terbabit.
Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat MBDK, Norfiza Mahfiz berkata, MBDK mengeluarkan kompaun RM135,000 dan menunda 30 kenderaan berat sejak 18 Julai lalu.
Beliau berkata, penguatkuasaan terhadap kenderaan berat dijalankan dengan kerjasama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
BACA LAGI: KL masih selamat, laporan geologi dan bawah permukaan siap lagi 3 bulan — NRES
BACA LAGI: [VIDEO] Abang bas muat naik video murid sekolah dicekup polis pepagi buta di Simpang Renggam
“Secara purata, pesalah dikenakan saman berjumlah RM4,500 termasuk tunda, kompaun, bayaran simpanan harian dan kos pentadbiran,” katanya.
Menurut beliau, notis kompaun dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil Taman (Majlis Perbandaran Klang) 2005 (7) bagi kesalahan parkir sembarangan, yang mana kenderaan berat melebihi dua tan dilarang memasuki mana-mana kawasan perumahan tanpa notis bertulis daripada ketua majlis tempatan.
“Pihak MBDK menerima aduan penduduk mengenai kenderaan berat yang diletakkan di selekoh jalan sehingga menghalang pandangan pemandu kenderaan dari arah hadapan.
“Terdapat juga aduan mengenai lori-lori yang diletakkan di lorong-lorong yang menghalang laluan lori sampah, selain diletakkan di bahu jalan mengakibatkan jalan berlubang berikutan lebih muatan.
"Operasi penguatkuasaan kami melibatkan Bandar Parklands, Bandar Sultan Suleiman di Pelabuhan Klang, Batu Unjur di Bandar Bukit Tinggi, Bandar Puteri, Taman Sentosa dan Teluk Pulai," katanya.
Tambahnya, rata-rata pesalah menuntut kenderaan mereka dan membayar denda pada hari sama.
“Pasukan penguatkuasa MBDK bertujuan mendidik pengguna jalan raya terutama pemandu dan pemilik kenderaan berat supaya mematuhi undang-undang majlis,” kata Norfiza.
Menurutnya, selain kawasan perumahan, kenderaan berat juga dilarang meletak kenderaan di taman awam, rizab jalan dan di tempat letak kereta yang diwartakan.
Ulasnya lagi, kenderaan berat sering diletakkan secara haram di Klang berikutan kenderaan tersebut mendapat permintaan tinggi terutamanya treler kontena susulan bandar itu berdekatan dengan tiga pelabuhan utama (Pelabuhan Utara, Selatan dan Barat).
Norfiza berkata, MBDK telah berusaha keras memperhebatkan operasi penguatkuasaannya kerana kenderaan berat mendatangkan bahaya kepada mereka yang tinggal di kawasan kejiranan.
Selain itu, beliau memaklumkan, MBDK turut menunda kenderaan terbiar di sekitar Klang.
“Sejak Januari hingga Ogos tahun ini, kami telah menunda dan menyita 183 kenderaan.
"Pada 2022, MBDK menunda 297 kenderaan dan jumlah itu meningkat kepada 322 pada tahun lepas," katanya.
Perkara itu terjadi berikutan tindakan pemilik membiarkan kereta mereka yang rosak dan tidak dapat dibaiki selepas banjir menimpa bandar itu pada Disember 2021.
Orang awam yang mempunyai pertanyaan berhubung tindakan penguatkuasaan boleh menghubungi Jabatan Penguatkuasa MBDK di talian 03-3374 8845. — The Star/EDWARD RAJENDRA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram