KEGIATAN rasuah yang diberikan kepada pegawai Imigresen di kaunter pintu masuk lapangan terbang negara dilakukan dengan menggunakan kod nama berdasarkan kewarganegaraan warga asing dibawa masuk.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyatakan jumlah rasuah berbeza bergantung mengikut negara.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
"Pegawai-pegawai ini diberi rasuah antara RM200 hingga RM2,500 untuk setiap warga asing," katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM pada Rabu.
Azam berkata, bagi warga Bangladesh, kod namanya adalah "school boy" dengan rasuah sebanyak RM2,500, bagi warga Myanmar adalah adalah "junta" (RM1,500), Pakistan (carpet, RM1,300), India ("kicap, roti canai", RM800), China ("limau", RM350), Vietnam ("laici, nguyen", RM350) dan Indonesia ("salak", RM300).
"Bagi warga Yemen dan Uzbekistan, rasuah diberikan masing-masing RM1,000 dan RM500 tanpa kod nama," katanya.
Azam berkata, sindiket operasi di kaunter itu mempromosikan perkhidmatan mereka melalui laman sosial.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki
"Ejen akan menghubungi pegawai Imigresen melalui WhatsApp untuk menetapkan tarikh yang sesuai bagi membawa sekumpulan orang asing ke Malaysia.
"Pegawai Imigresen akan memberikan kelulusan untuk tarikh yang sesuai sebelum ejen memasukkan butiran pasport dan gambar warga asing tersebut.
"Pegawai Imigresen kemudian akan memberikan nombor kaunter khas untuk digunakan oleh kumpulan warga asing tersebut untuk memudahkan masuk ke negara. Selepas melalui kaunter, ejen-ejen akan membawa orang asing tersebut ke destinasi yang diingini," katanya.
Pelbagai barangan berjaya dirampas daripada sindiket termasuk RM518,250 tunai yang ditemui di rumah seorang pegawai imigresen wanita di Pahang, dan RM248,443 tunai dari seorang pegawai imigresen di Melaka, kata Azam.
"Jumlah keseluruhan tunai yang dirampas dalam Ops Pump, Ops Pump 2.0 dan Ops Setting adalah RM1.49 juta, AS$9,900, dan Thai Baht 5,470.
"Kami juga merampas barang termasuk sembilan kereta, 13 motosikal, 27 keping emas, lebih daripada 75 barang perhiasan, dan lebih daripada 12 jam tangan mewah. Sebanyak 215 akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM3.6 juta juga telah dibekukan," katanya. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram