[VIDEO] Exco Johor nafi projek parit Kampung Naib Kadir terbengkalai sejak tahun lalu


  • Tular
  • Selasa, 17 Sep 2024

Projek baik pulih parit di Kampung Naib Kadir yang didakwa sudah terbengkalai selama setahun.

SEORANG penduduk di kawasan Kampung Naib Kadir, Bukit Pasir dekat Muar, Johor meluahkan rasa kecewanya dengan tindakan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang didakwa membuat kerja sambil lewa dalam pembinaan sebuah parit di kawasan tersebut.

Menurut wanita berkenaan, projek tersebut sudah terbengkalai selama setahun dan sangat berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Ini kerja daripada JKR Muar, dah setahun masih seperti ini. Tanah semakin lama semakin runtuh.

BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

BACA LAGI: Enggan tragedi menimpa ayah sebelum Zuhur berulang, Azizul nekad buka akademi tawar latihan CPR, AED

"Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, kawasan Bukit Keladi," katanya.

Melalui video yang dikongsikan itu juga, kelihatan jalan tersebut mempunyai kesan rekahan dan tiada kon keselamatan diletakkan di kawasan berkenaan.

Wanita berkenaan turut meluahkan rasa kecewa dengan kontraktor yang dilantik kerana syarikat tersebut didakwa hanya membuat kerja baik pulih selepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman datang ke lokasi tersebut.

"Apabila Yang Berhormat (YB), Syed Saddiq datang. Kontraktor pun datang tetapi dua hari sahaja. Selepas itu tiada progress langsung, "dakwanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh menafikan dakwaan tersebut.

"Untuk makluman semua, saya menerima aduan berkenaan tebing runtuh di sepanjang jalan Kampung Naib Kadir ini pada bulan November 2023. Terdapat enam lokasi.

"Alhamdulillah, peruntukan kecemasan berjumlah RM16,000 (JPS) telah diluluskan tetapi hanya dapat menyelesaikan satu lokasi sahaja. Kerja ini telah siap pada tahun 2023 juga.

"Kemudian, pada bulan Mei 2024, alhamdulillah, peruntukan sebanyak RM271,000 diluluskan untuk menyelesaikan baki lima lokasi yang bermasalah," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Isnin.

Menurut beliau lagi, kerja baik pulih tersebut baru sahaja bermula pada Mei tahun ini dan bukanlah seperti yang didakwa.

"Apabila tular kata setahun kerja tidak siap, itu tidak tepat mungkin kekeliruan lokasi kerja. Kerja yang bermula pada 2023, telah siap pada tahun yang sama. Kerja baik pulih parit yang tular ini bermula Mei 2024.

"Saya sendiri turun ke tapak pada 30 Ogos yang lepas bersama JKR, konsesi dan kontraktor. Daripada lima lokasi kerja, dua telah pun siap. Baki tiga kerja yang lewat disiapkan.

"Punca kelewatan ialah, perubahan skop kerja apabila cadangan pemasangan gabion di tiga lokasi terakhir akan menyebabkan parit sedia ada menjadi kecil dan akan memperlahankan aliran air serta sukar untuk kerja-kerja selenggaraan dijalankan.

Alhamdulillah, skop baru telah dipersetujui dan diluluskan serta peralatan yang ditempah telah pun siap, kerja-kerja dijangka bermula semula pada 18 September 2024 dan akan siap pada hujung bulan ini atau selewat-lewatnya 4 Oktober 2024," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram