SABAN hari, ada sahaja cerita tentang kisah pengorbanan wira tidak didendang mendapat perhatian warga maya.
Ia sekali gus menjadikan masyarakat semakin peka sekali gus memberikan penghargaan yang sepatutnya kepada hero ini.
Jika melihat kepada konteks hero atau wira, sesiapa sahaja yang pernah menyelamatkan manusia atau makhluk tuhan yang lain layak diangkat menjadi wira tidak didendang kerana rasa tanggungjawab mereka menjalankan tugas tanpa balasan.
BACA LAGI: 'Uncle masih ingat saya?', bekas polis Sandakan sebak ditegur mangsa nahas 31 tahun lepas
Keberanian yang ditonjolkan dua pemuda dari China, Gan Yu dan Luo Yong ketika menyelamatkan penduduk kampung dari menjadi mangsa tragedi banjir dekat sebuah daerah di wilayah Sichuan dua tahun lalu sememangnya tidak akan dilupakan penduduk setempat.
Tindakan berani Gan bersama rakannya berjaya menyelamatkan ribuan nyawa penduduk Sichuan dari malapetaka besar. — XinHua News
Mengimbau semula detik mencemaskan yang berlaku pada 5 September berkenaan, daerah tersebut telah dilanda gempa bumi kuat berukuran 6.8 magnitud.
Gan Yu dan Luo Yong yang sedang bekerja di stesen jana kuasa hidro berhampiran dengan sebuah empangan memberanikan diri dengan memanjat struktur empangan dan membuka pintu air bagi mengelak struktur empangan itu runtuh.
Tindakan kedua-dua pemuda itu melepaskan air takungan berjaya mengelakkan banjir besar yang berpotensi membahayakan ratusan penduduk kampung di kawasan berkenaan, menurut laporan media Sichuan, The Cover.
Aksi berani, kedua-dua pemuda berkenaan tidak setakat berhenti di situ sahaja, Gan serta Luo kekal di empangan sepanjang malam untuk memantau keselamatan kawasan sekeliling dan hanya memutuskan untuk meninggalkan empangan kerana kawasan pergunungan sekeliling yang berisiko mengalami tanah runtuh.
Kedua-duanya membuat keputusan untuk berpisah bagi mencari pasukan penyelamat.
Gan ketika diselamatkan pihak berkuasa selepas tersesat di dalam hutan selama 17 hari. — Agensi
Pasukan penyelamat berjaya menemui Luo selepas tiga hari di gunung, namun Gan hanya ditemui 17 hari kemudian.
Gan berkata dia berjaya bertahan dengan meminum air sungai dan memakan buah-buahan liar. Selepas beberapa hari, penduduk kampung tersebut membawanya turun dari gunung dan menghantarnya ke hospital untuk rawatan.
Selepas dua tahun, Gan sekali lagi menjadi bualan setelah dia memuat naik gambar bersama anak sulungnya di laman media sosial miliknya pada 16 Ogos lalu.
“Akhirnya, kamu telah tiba. Harapan saya hanyalah agar kamu sentiasa selamat, gembira, dan membesar dengan sihat,” tulisnya dalam hantaran di media sosial itu.
Rata-rata pengguna media maya menzahirkan ucapan tahniah kepada wira tidak didendang berkenaan.
"Tahniah. Orang kata, jika anda terselamat daripada bencana, anda akan diberkati," kata seorang netizen.
"Kelahiran bayi ini adalah hadiah terbaik buat ayah hero ini," ucap seorang lagi warga maya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram