'ABANG Bas’ yang sebelum ini didakwa atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal serta memuat naik hantaran jelik dibebaskan dengan jaminan di Mahkamah Muar, Johor pada Selasa.
Proses membayar ikat jamin berkenaan dilakukan peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar secara probono selepas lebih seminggu ditahan di pusat tahanan sementara berikutan tidak mampu menjelaskan bayaran dikenakan terhadapnya.
Keseluruhan jumlah ikat jamin dikenakan itu membabitkan tiga pertuduhan antaranya mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017, Seksyen 15 (a) (iii) akta sama dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Susulan pembayaran itu, Ahmad Zaharil membawa lelaki terbabit menemui ibu, bapa dan keluarganya yang menunggu di mahkamah sejak awal pagi Selasa.
Ahmad Zaharil berkata, 'Abang Bas' berhak mendapat keadilan melalui saluran perundangan yang sepatutnya di mahkamah.
"Ia tidak adil. Kamu tidak mengenalinya pun, tetapi kamu bercakap seolah-olah kamu bijak, sedangkan dia tidak mempunyai peluang untuk mempertahankan dirinya ketika itu.
"Perkara pertama yang saya nasihatkan kepada 'Abang Bas' ialah bertenang, dan kami akan memfailkan rayuan untuk mengurangkan jumlah jaminan dan mendapatkan semula bas yang dirampas,” katanya di luar mahkamah.
Dalam masa sama, keluarga 'Abang Bas' bercadang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan selebriti yang didakwa menimbulkan fitnah terhadap lelaki itu.
Ahmad Zaharil berkata, tindakan itu diambil susulan kecaman yang diterima pelbagai pihak sepanjang ditahan oleh polis selepas dituduh di mahkamah. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,