[VIDEO] Akur kekuatan KL Thunder, Pengurus Perak Bison pantas mengesan kelemahan utama


  • Podium
  • Selasa, 17 Sep 2024

Kuala Lumpur Thunder membuktikan kejaguhan dengan muncul juara Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Selangor. — Facebook/STL

KUALA Lumpur (KL) Thunder muncul juara Grand Prix Selangor selepas menewaskan Perak Bison 2-0 dalam perlawanan akhir Grand Prix Selangor, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Membariskan trio kebangsaan, Syahir Rosdi selaku tekong, Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri), KL Thunder jelas di kelas tersendiri untuk meraih kemenangan mudah ke atas Perak Bison dengan keputusan 15-7 dan 15-12.

Ketua Jurulatih Perak Bison pula mempertaruhkan barisan terkuat mereka iaitu iaitu Kritsasa Sungvung (tekong), Aidil Aiman (apit kiri) dan Noraizat Nordin (apit kanan).

BACA LAGI: [VIDEO] STL 2024: Tiada libasan, rejaman dari juara bertahan Perak Bison, KL Thunder muncul juara GP Selangor

BACA LAGI: [VIDEO] 'Isu gol Ismaheel Akinade, perlu ada 'evidence' sebagai rujukan'

Begitupun, persembahan cemerlang yang ditampilkan oleh KL Thunder menyebabkan Perak Bison gagal menampilkan persembahan menarik apabila tidak memiliki sebarang peluang untuk melakukan libasan dan rejaman untuk mencuri mata.

Berakhirnya GP Selangor pada Ahad, kini STL 2024 akan beralih ke GP Terengganu yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu bermula pada 24 sehingga 28 September.

Dalam pada itu, Pengurus Perak Bison, Jaffrey Mohd Zainol sudah menunjukkan kebersediaan untuk berdepan cabaran menjelang aksi di bumi Terengganu nanti.

"Selepas perlawanan akhir GP selangor, kami akan mulakan latihan pusat di Ipoh yang melibatkan kesemua tujuh pemain pada Rabu.

"Mengambil kira kelemahan kami di GP selangor, kami akan ambil kesempatan ini untuk perbaiki keserasian pemain khususnya di dalam gelanggang kerana aksi peringkat kumpulan sampai final tu kita ada kenalpasti beberapa kelemahan.

"Antara kelemahan utama adalah dari segi keserasian pemain kerana kita baru complete tujuh pemain sebelum GP Selangor bermula. Jadi kita nak perkemaskan faktor itu selepas ini," katanya kepada Majoriti.

Perak Bison

Sebahagian aksi menarik tekong Perak Bison (tengah) cuba melibas bola ke arah pasukan KL Thunder yang dilihat sudah bersedia. Facebook/STL

Jaffrey selaku pengurus pasukan juara bertahan musim lalu itu turut memuji prestasi yang ditampilkan oleh pasukannya.

"Prestasi Perak Bison setakat ni bagi saya memuaskan sebab kita berjaya lolos ke final walaupun tewas kepada KL Thunder," jelasnya.

Bercakap mengenai persiapan menjelang GP Terengganu yang akan membuka tirainya dalam masa kurang dari seminggu, Jaffrey yang berusia 39 tahun menjelaskan pasukannya mahu fokus dalam peringkat Kumpulan D yang kali ini dibarisi KPT MASUM Knight dan Selangor Pistons.

"Untuk GP Terengganu ni kita nak fokus kepada peringkat kumpulan terlebih dahulu dan kita tak nak fikir terlalu jauh dulu, kita akan fokus game by game.

"Bagaimanapun, kalau kita jumpa pasukan lain, kita akan lebih berhati-hati kerana sekarang ni masih ada lagi pasukan kuat yang kita masih belum lawan, contohnya Terengganu Turtles.

"Dalam peringkat Kumpulan D, kita akan bertemu KPT Masum Knights dan Selangor Pistons sekali lagi.

"Untuk GP Terengganu ini, kita cuba usaha untuk lolos ke suku akhir," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram