KUALA Lumpur Thunder tidak berdepan masalah untuk bergelar juara Liga Sepak Takraw (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Selangor yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada Ahad.
Membariskan pemain kebangsaan, Syahir Rosdi selaku tekong, Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri), KL Thunder jelas berada di kelas tersendiri untuk menundukkan juara bertahan musim lalu, Perak Bison dengan kemenangan 15-7 pada set pertama.
Perak Bison yang dibarisi oleh Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin (tekong), Noraizat Nordin (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) gagal menampilkan persembahan menarik apabila tidak memiliki sebarang peluang untuk melakukan libasan dan rejaman untuk mencuri mata.
BACA LAGI: Selangkah ke Selangor FC, Kalamullah sah tinggalkan Sang Kenari, ramai lagi menyusul
Dengan pengalaman luas yang dimiliki Syahir, Azlan dan Amirul jelas menjadi senjata utama buat KL Thunder untuk meraih kemenangan mudah ke atas Perak Bison pada set kedua dengan keputusan 15-12.
Menariknya aksi tersebut, libasan tajam dan kencang yang dihasilkan oleh Syahir selaku tekong utama banyak membantu KL Thunder meraih mata yang dilihat enggan memberi peluang kepada Perak Bison untuk mencuri sebarang poin.
Malah, skuad kendalian Rosli Rahman itu hanya memerlukan 41 minit untuk mengesahkan GP Selangor menjadi milik KL Thunder.
Dengan kemenangan itu, KL Thunder berjaya meraih 32 mata, manakala Perak Bison mengutip 24 mata.
Berakhirnya GP Selangor pada Ahad, kini STL 2024 akan beralih ke GP Terengganu yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu bermula pada 24 sehingga 28 September. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,