AKTIF dalam sukan tidak menghalang graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nurul Hannah Ismail menggenggam segulung ijazah dengan cemerlang.
Graduan berusia 25 tahun yang merupakan atlet hoki di sebuah syarikat perbankan terkemuka membuktikan kemampuannya apabila dinobatkan sebagai antara penerima Anugerah Naib Canselor dalam Istiadat Konvokesyen ke-99 UiTM di UiTM Shah Alam, Selangor pada 2 September lalu.
Meskipun aktif melibatkan diri dalam pelbagai kejohanan sukan hoki, Nurul Hannah berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Antarabangsa, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM dengan purata gred kumulatif (CGPA) 3.84.
BACA LAGI: [VIDEO] Budaya 'cilok' penunggang motor di Eropah boleh jadi contoh di Malaysia
Nurul Hannah tidak mudah berputus asa untuk berjaya meskipun terpaksa mengikuti jadual yang padat.
Baginya, segala tindakan dan keputusan yang diambil itu perlu diuruskan dengan betul untuk mendapatkan hasil seperti sekarang.
Bijak urus masa
Pengurusan masa juga antara perkara penting agar penglibatan sukan dan pembelajaran dapat dilakukan dengan seimbang.
Nurul Hannah berkata, dia perlu menjadi seorang yang tegas dengan pendiriannya terutama ketika menguruskan jadual latihan dan kelas.
“Sebenarnya, jadi seorang pelajar dan atlet dalam satu masa sama bukanlah perkara mudah sebab kita perlu aturkan jadual latihan, kelas harian, peperiksaan dan ujian akhir.
“Disebabkan itu, saya kena bahagikan betul-betul masa itu, kena fokus dan ikut setiap aktiviti dalam jadual yang dibuat,” kongsinya.
Tepis persepsi masyarakat
Meskipun terpaksa mengikuti jadual yang agak padat dan berdepan dengan pelbaga tanggapan masyarakat, ia tetap tidak mematahkan semangatnya untuk muncul sebagai graduan terbaik.
“Kebanyakan orang sekeliling saya sering mempersoalkan tentang jadual yang padat.
“Mereka kata, atlet banyak main, tidak belajar, tapi bila dengar persepsi begitu lagi buatkan keinginan untuk jadikan diri saya sebagai contoh dan buktikan ia tidak benar semakin membuak-buak,” katanya.
Bersyukur dengan anugerah diterimanya, Nurul Hannah mengambil peluang itu untuk menitipkan sedikit nasihat buat pelajar-pelajar lain agar sentiasa bersemangat melakukan setiap perkara yang diminati.
Nasihatnya, para mahasiswa atau mahasiswi perlu terus aktif dalam sukan sehingga ke peringkat tertinggi tetapi, pada masa sama impian untuk berjaya tidak harus dilupakan.
Menurutnya, penglibatan dalam sukan seharusnya menjadikan para pelajar lebih cergas dan mampu mengikuti kuliah dengan lebih baik.
“Tetapi, segala perkara yang kita buat perlu seimbang supaya penumpuan ketika kuliah tidak terjejas.
“Saya juga berharap agar atlet di Malaysia ini dapat tingkatkan lagi tahap kelayakan akademik mereka walaupun tanggungjawab itu memerlukan pengorbanan lebih-lebih lagi ketika beraksi di peringkat tinggi,” jelasnya.
Di kesempatan itu, Nurul Hannah turut mengucapkan ucapan penghargaan kepada individu-individu penting yang mendorongnya sehingga dapat menyarungkan selempang merah jambu.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada ibu, ayah, keluarga, kawan-kawan termasuk rakan sekelas yang banyak membantu dari awal sampai sekarang.
“Tidak lupa juga kepada para pensyarah yang tidak pernah berhenti tolong, tanpa mereka, tiadalah saya di sini,” ucapnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram