[VIDEO] Remaja 13 tahun mengaku bersalah bakar anak kucing hidup-hidup di pangsapuri Kajang


Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan tertuduh bertindak membakar seekor anak kucing hidup-hidup bersama dua lagi rakannya di sebuah pangsapuri Kajang, Selangor minggu lalu.

SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang pada Jumaat atas tuduhan membakar anak kucing hidup-hidup di sebuah pangsapuri Kajang, Selangor minggu lalu.

Memetik laporan media tempatan, pesalah juvana itu membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

Mengikut pertuduhan, anak tunggal itu didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas secara kejamnya menyebabkan kesakitan kepada seekor kucing dengan membakar haiwan itu di sebuah pangsapuri di sini pada pukul 1.08 petang, 22 April lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Rider melambung rempuh kereta warga emas langgar lampu merah

Dia didakwa mengikut 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan dia boleh didenda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Afiqah Abdul Ghaffar memohon jaminan RM10,000 berikutan kesalahan itu membabitkan penganiayaan haiwan dan berkepentingan awam.

BACA LAGI: [VIDEO] Auditor bunuh skandal tua, sumbat mayat dalam bagasi sebelum larikan duit kahwin

Ibu pesalah juvana itu berusia 30 tahun dalam rayuannya memohon ikat jamin dikurangkan berikutan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai pekerja kilang di sebuah syarikat elektronik dan berstatus ibu tunggal.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Nik Siti Norazlini membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun ini bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menjatuhkan hukuman.

Terdahulu, media melaporkan tular satu rakaman video berkaitan kejadian itu yang menunjukkan tiga lelaki sedang melepak di tapak parkir motosikal flat.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi mendapati terdapat tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian itu.

Perkara itu turut mendapat perhatian Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika yang mahu tindakan segera diambil pihak berkuasa atas kekejaman itu. — TheStar

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram