[VIDEO] 'Majikan diimpi semua orang', Khairul Aming tutup kilang, beri staf rehat 5 hari bercuti di Pulau Pinang


  • Bizz
  • Khamis, 12 Sep 2024

Khairul (gambar kanan) dilihat memberikan sampul berisi wang kepada pekerjanya untuk berbelanja ketika percutian bersama syarikatnya di Pulau Pinang baru-baru ini.

PEMPENGARUH dan usahawan makanan terkenal, Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming sekali lagi menarik perhatian warganet selepas berkongsikan aktiviti percutian bersama pekerjanya.

Menerusi video yang dimuat naik pada Khamis, Khairul mengambil keputusan untuk menutup kedua-dua kilang miliknya di Kelantan selama lima hari untuk membawa kakitangannya bercuti di Pulau Pinang.

"Kami tutup kilang selama lima hari untuk membawa kesemua 100 kakitangan kami bercuti di Pulau Pinang.

"Semua kakitangan mendapat bilik hotel bertaraf lima bintang dengan pemandangan laut serta wang saku untuk membeli-belah. Yang paling penting, mereka dapat berehat dan bercuti dengan gembira," tulisnya pada hantaran video berkenaan.

Setakat laporan ini ditulis, klip berkenaan sudah mendapat lebih 1.7 juta tontonan di TikTok dengan jumlah tanda melebihi 259,000 dan 7,123 komen.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

6275938511249063674

Khairul berkata, kesemua pekerja mendapat bilik hotel bertaraf lima bintang ketika percutian tersebut.

Berdasarkan video tersebut, Khairul, 31, berkata, percutian tersebut adalah aktiviti wajib yang dilakukannya oleh syarikatnya.

"Dalam percutian syarikat kami, tiada mesyuarat, ucapan, atau perbincangan mengenai KPI (Indeks Prestasi Utama). Semua orang sepatutnya berseronok dan berehat.

"Ada yang meluangkan masa menyaksikan matahari terbenam, sementara ada yang seronok berenang di kolam," katanya yang merupakan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan.

Sementara itu, menerusi video sama, Khairul dilihat turut memberi mereka sampul berisi wang untuk pekerjanya membeli-belah di Pulau Pinang.

Dia juga membawa mereka ke taman tema air dan bermain sukan air di pantai, di samping menyediakan hidangan buffet.

Salah satu acara yang menarik perhatian adalah hidangan di sebuah restoran nasi kandar terkenal yang menelan belanja hampir RM3,500.

"Alhamdulillah, ini adalah tahun keempat saya bersama mereka, dan mereka sangat setia kepada syarikat. Kami hanya ada dua produk, dan saya berdoa agar dapat terus berkongsi rezeki dengan kakitangan kami," kata Khairul.

Sementara itu, di ruangan komen, rata-rata warganet memuji Khairul kerana memberikan layanan cukup baik terhadap pekerja syarikatnya.

Malah ramai secara berseloroh cuba untuk menawarkan diri bagi bekerja di bawah perusahaan pempengaruh tersebut.

6275938511249063666

Video dikongsikan Khairul (tengah) mengenai percutian bersama pekerjanya mendapat perhatian warganet.

"Ada kerja kosong tak? Kerja tutup penutup sambal pon boleh, asalkan kerja bawah KA," tulis Abe Wee.

"Majikan yang diimpikan setiap orang," kata Abed.

"Bagusnya KA. Melabur dengan dengan pekerjanya, bukannya material," ujar Nurin Qistina.

Pada 2021, Khairul melancarkan produk Sambal Nyet Berapi, iaitu sejenis sambal cili pedas.

Pada Februari lalu, beliau turut melancarkan produk keduanya, Dendeng Nyet Berapi yang berjual dijual habis secara dalam talian hanya tiga minit selepas dipasarkan dengan jumlah jualan mencecah RM1.2 juta.

Pada 3 September lalu, Khairul bertemu dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon di restoran Hidang KL.

Ia merupakan tanda penghargaan daripada New Zealand atas kunjungannya ke negara itu baru-baru ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram