MATHEW Howe, pengasas syarikat pemula teknologi pertanian bandar dari Singapura, Grobrix, memulakan perjalanannya dalam bidang pertanian secara tidak sengaja apabila dia menanam daun selasih bagi memenuhi keperluan membuat sos pesto untuk hidangan hariannnya.
Walaupun daun selasih mudah ditemui di pasar raya tempatan, pada waktu itu, dia mendapati bahawa menanamnya sendiri bukan sahaja lebih menjimatkan, tetapi juga menghasilkan variariti lebih enak dan beraroma.
Kejayaannya untuk menanam daun selasih di rumah kemudian menjadi pendorong untuk dia mencuba menanam pelbagai lagi jenis herba, sayuran, dan buah-buahan lain.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Namun, dengan iklim tropika di Singapura, dia berdepan cabaran kerana kebanyakan tanaman terbabit perlu ditanam di dalam rumah menggunakan ruang terhad serta memerlukan peralatan yang sesuai.
“Menanam adalah minat saya, dan saya ingin menggabungkannya dengan keinginan saya untuk menyediakan hasil tanaman yang segar untuk keluarga,” katanya yang berusia 41 tahun dan merupakan pemastautin tetap Singapura.
Mathew memeriksa tanaman yang menggunakan teknologi dibangunkan syarikatnya. — Agensi
Kejayaan Mathew menanam daun selasih dan membuat pesto seterusnya menimbulkan idea dalam fikirannya untuk menjadikan usaha tersebut sebagai satu projek komuniti.
Tanpa diduga, dia kemudiannya juga menemui inspirasi untuk mencetuskan inovasi tanaman ketika sedang berada di kedai gunting rambut.
“Idea untuk menanam di dinding tercetus ketika saya berada di kedai gunting rambut.
"Ketika itu saya sedang menatap dinding di belakang saya sambil rambut saya dipotong, dan saya terfikir mungkin kita boleh menanam sayuran di dinding dan mencantikkan tempat itu,” katanya.
Mathew merupakan pengasas dan Ketua Eksekutif Grobrix, sebuah syarikat pemula teknologi pertanian yang membina dinding modular dan mudah alih dilengkapi dengan teknologi sokongan firma itu untuk mengoptimumkan cahaya serta air untuk menanam hasil tanaman dalam rumah seperti daun selasih, salad, tomato, sage, dan pasli.
Grobrix kini menjalankan tanaman mereka di tapak semaian di Singapore Science Park yang bermula daripada proses pembenihan selama kira-kira tiga minggu sebelum memindahkannya ke dinding.
Pemasangan terbabit yang bersaiz bermula daripada almari sederhana hingga kabinet penyimpanan dari lantai ke siling dapat menghasilkan 2 kilogram (kg) hingga 6kg makanan seminggu.
Dinding ini disewakan kepada 60 pelanggan korporat Grobrix, termasuk GIC, Singtel, Marina Bay Sands dan Nexus International School dengan kontrak dari 12 hingga 36 bulan dengan harga bermula pada S$1,000 (RM3,324) sebulan.
Firma itu, yang ditubuhkan pada 2020 mengendalikan penyelenggaraan termasuk lawatan mingguan ke pelanggan untuk menambah campuran air dan baja yang disesuaikan dengan hasil tanaman di setiap dinding.
Mathew, yang berpindah dari Britain ke Singapura pada 2010 dan bekerja lebih satu dekad di sebuah bank republik itu berkata, Grobrix bukan hanya tentang menanam sayuran untuk dimakan, tetapi merupakan perkhidmatan gaya hidup yang direka membantu organisasi menghidupkan komuniti.
Konsep “tanaman di dinding dengan tumbuhan boleh dimakan” dihasilkan Gobrix turut direka untuk menjadi seperti tumbuhan hiasan, menjadikannya seolah-olah sebahagian daripada tanaman semula jadi yang tumbuh di pejabat.
Ia juga menjadi satu inisiatif kelestarian yang 'boleh diukur' dan melibatkan seluruh tenaga kerja sesebuah organisasi.
“Jika anda meletakkan panel solar di bumbung anda, anda boleh berhujah bahawa itu adalah inisiatif kelestarian yang sangat baik, tetapi tiada siapa yang akan pergi ke atas bumbung dan meluangkan masa di sana dengan panel solar.
"Itu tidak berlaku dengan reka bentuk penanaman tumbuhan hasil daripada syarikat kami,” ujar Mathew.
Reka bentuk tanaman dibangunkan Grobrix turut sesuai dijadikan sebagai tumbuhan hiasan di pejabat atau rumah. — Agensi
Ditanya mengenai kemapanan idea dicetuskan syarikat pemulanya itu, Mathew berkata, model perniagaan Grobrix berbeza kerana ia tidak membekalkan hasil tanaman berkenaan kepada pasar raya untuk penggunaan berskala besar.
Melihat ke hadapan, menurutnya Grobrix merancang untuk mengembangkan pasukannya yang berjumlah 15 orang, bergantung kepada prestasi syarikat.
Ujar beliau, syarikatnya kini berjaya merekodkan keuntungan dan pihaknya tidak dan tidak mempunyai perancangan untuk mendapatkan sebarang pembiayaan lain.
Pada masa sama, pihaknya bercadang untuk mula memasuki pasaran Timur Tengah yang terdapat permintaan tinggi untuk pertanian dalam rumah, selepas mula menunjukkan kehadirannya di Malaysia dan Amerika Syarikat.
Sementara itu, Mathew turut menitipkan tiga nasihatnya untuk bakal usahawan muda.
"Pertama, lakukan sesuatu yang anda minati kerana perniagaan anda akan menuntut masa daripada anda termasuk pada waktu malam dan hujung minggu. Kedua, lakukannya untuk alasan yang betul.
"Jangan sekadar memulakan perniagaan kerana anda tidak suka pekerjaan yang anda miliki sekarang dan semata-mata mahu mengejar lebih fleksibiliti. Fahami bahawa akan ada naik turun, jadi teruskan dan jangan berputus asa," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram