SATU kemalangan berlaku di Gopeng, Perak melibatkan sebuah konvoi penunggang motosikal yang dipercayai dalam perjalanan ke himpunan motosikal RXZ Member 6.0 yang akan berlangsung pada Sabtu.
Video mengenai kejadian tersebut tular di media sosial sejak awal pagi Jumaat dan ia melibatkan sekurang-kurangnya tiga penunggang yang terjatuh selepas berlanggar sesama sendiri di lorong kanan lebuh raya berkenaan.
Berdasarkan klip tersebut yang dipercayai dirakam pada Khamis malam, sekumpulan penunggang dilihat sedang menunggang motosikal masing-masing di laluan paling kanan sebelum salah seorang daripada mereka tidak sempat membrek dan berlanggar dengan seorang rakan konvoi di hadapan.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Akibat daripada perlanggaran itu, seorang daripada mereka terjatuh di atas jalan manakala dua lagi penunggang dapat mengawal motosikal masing-masing daripada terjatuh.
Pada masa sama, mangsa terjatuh tidak bernasib baik selepas satu lagi kumpulan penunggang tiba dari arah belakang dengan salah seorang daripadanya dikesan melanggar kakinya.
Situasi itu menyebabkan sebanyak dua lagi penunggang turut terjatuh dan terlibat dalam kemalangan yang berlaku.
Status kecederaan mangsa bagaimanapun tidak dapat dipastikan.
Bagaimanapun, menerusi video tersebut, beberapa penunggang yang jatuh dilihat dapat berdiri semula.
Klip berkenaan dipercayai dirakan oleh pemandu lori yang berada di lokasi kejadian.
Setakat laporan ini ditulis, masih tiada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut.
Himpunan motosikal RXZ Member 6.0 akan berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak dekat Kuala Nerus, Terengganu pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram