SEORANG pemandu lelaki maut manakala penumpang wanita cedera parah selepas van pekerja dinaiki mereka merempuh treler yang sedang mengundur untuk masuk ke bahu jalan di Jalan Sungai Labu Atas dekat Tanjung Piandang, Perak pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, pada pukul 6.20 pagi pihaknya menerima laporan kemalangan di Jalan Sungai Labu Atas, Tanjung Piandang.
Menurutnya siasatan mendapati berlaku kemalangan membabitkan treler jenis Volvo dan van kilang jenis Placer-X-A4.
"Siasatan awal mendapati treler yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun itu dari arah Parit Buntar menuju ke Tanjung Piandang manakala van kilang berkenaan dari arah bertentangan.
"Difahamkan kejadian berlaku ketika treler berkenaan dalam keadaan mengundur untuk ke memasuki bahu jalan sebelah kanan dan ketika itu datang van terbabit dan merempuh bahagian tepi sebelah kanan treler.
"Akibat kejadian itu pemandu lelaki berusia 36 tahun maut di lokasi kejadian manakala penumpang wanita yang berada di hadapan berusia 28 tahun mengalami kecederaan di muka, tangan dan kaki kanan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
BACA LAGI : [VIDEO] Canang hobi mahal, ramai geram tengok geng RXZ patah palang Smart Tag di Plaza Tol Segambut
BACA LAGI : [VIDEO] Adik sayu tatap jasad abang kaku depan mata dalam nahas lori rempuh kereta di Pontian
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya bergegas di lokasi kemalangan setelah mereka menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan.
“Komander operasi telah melaksanakan dan mengaplikasikan konsep penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. Anggota Bomba BBP Kuala Kurau telah menggunakan peralatan penyelamatan khas dalam operasi itu,” katanya.
Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan tindakan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram