Sejam menggigil pertama kali bawa van di negara orang, Aizuddin kini jadi pemandu pelancong diyakini bawa pengembara rentas Eropah


  • Bizz
  • Rabu, 11 Sep 2024

Sebelum mula menjadi pemandu pelancong di Eropah pada 2017, Aizuddin tidak pernah menjejakkan ke luar dari Malaysia.

SEBELUM mula menjadi ejen pelancongan sambilan di Eropah pada 2017, Aizuddin Abdul Razak, 37, langsung tidak pernah terfikir menjejakkan kaki ke luar negara, apatah lagi bekerja di rantau tersebut yang cukup asing baginya.

Malah, dia yang pernah bekerja sebagai kerani di Tabung Haji (TH) dari 2012 hingga 2016 juga tidak pernah sama sekali meninggalkan Malaysia.

Namun, takdir kemudian membawanya mengembara jauh ke segenap pelosok tempat di Eropah.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Pada 2016, Aizuddin yang juga merupakan anak jati Jerantut, Pahang membuat keputusan untuk menamatkan khidmatnya di TH selepas empat tahun berbakti bersama institusi kewangan tersebut.

Langkah itu diambil untuk membolehkannya mencapai hasrat bagi bekerja sendiri dengan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Pada masa sama, dia juga terlibat sebagai sukarelawan bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melakukan kebajikan di kawasan perkampungan Orang Asli di sekitar Cameron Highlands, Pahang.

Bersama kumpulan tersebut, Aizuddin kemudiannya menemui beberapa individu yang membuka kepadanya idea untuk menjadi pemandu pelancong sambilan di luar negara.

Pada awalnya, dia agak skeptikal terhadap peluang tersebut.

"Jadi waktu itu dekat kampung Orang Asli, ada seorang kenalan yang ajak untuk ikut serta dalam dunia sebagai pengembara dan jadi pemandu pelancong.

"Waktu itu dia cakap jom la, cuba ikut. Saya pun waktu itu fikir boleh ke. Sebab masa itu saya ke luar negara dan keluar dari Malaysia pun tak pernah.

"Tiba-tiba dia nak suruh kita jadi pemandu pelancong dekat luar negara," katanya berkongsi kepada Majoriti.

6269335454297997594

Aizuddin ketika pertama kali bertemu dengan salji ketika berada di Romania pada 2017.

Bagaimanapun, Aizuddin berkata, dia kemudiannya mendapat dorongan dan kata-kata semangat daripada kenalannya itu yang memiliki pengalaman agak lama dalam dunia tersebut.

Bertitik tolak daripada situ, dia kemudiannya menetapkan tekad dan menyahut cabaran tersebut dengan mendaftar menjadi pemandu pelancong bersama sebuah agensi pelancongan tempatan yang beroperasi di Eropah.

Negara pertama menjadi tempatnya bertugas adalah di Turkiye bermula di bandar Istanbul selepas dia ditugaskan menjadi pemandu pelancong.

Bercerita kepada Majoriti, katanya, antara pengalaman awal tidak dapat dilupakan adalah apabila dia memandu pertama kali di Bosnia.

Pada waktu itu, Aizuddin berkata, dia ditugaskan menjadi pemandu pelancong bagi sebuah yang sedang dalam perjalanan mengembara selama 16 hari di lapan negara merentasi Eropah termasuk negara Balkan.

"Satu jam pertama itu memang menggigil. Sebab waktu itu bawa van besar sembilan penumpang. Gear manual pula. Memang gigil kaki waktu itu nak tekan clutch.

"Kemudian dekat sana pula jalan terbalik," ujarnya.

Bagaimanapun, dia tidak mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri dengan dia terus diberikan kepercayaan dalam perjalanan pengembaraan pertamanya sebagai pemandu pelancong.

Bermula daripada detik itu, Aizuddin berkata, dia tidak memandang ke belakang dan membuat keputusan untuk meneruskan karier tersebut sehingga ke hari ini.

6269335454297997592

Aizuddin ketika berada di sempadan Itali-Switzerland.

"Sebelum Covid-19, masa saya masih bujang lagi, memang kerap dan jarang balik Malaysia. Banyak masa dekat sanalah. Habis satu trip, sambung trip lain pula.

"Ada tahun itu, kalau balik pun balik sekejap sahaja dalam tiga empat hari. Lepas itu keluar balik sebab banyak permintaan," katanya yang mendirikan rumah tangga pada 2020.

Pada waktu itu, Aizuddin berkata, kebanyakan perjalanannya tertumpu kepada negara Eropah meliputi negara Balkan dan Scandinavia seperti Denmark, Sweden dan Norway.

Selepas Covid-19, dia yang kini merupakan bapa kepada tiga orang anak turut mengambil keputusan bergerak sendiri sebagai ejen pelancongan bebas di wilayah tersebut.

Mengulas mengenai pendapatan yang diperoleh sebagai ejen pelancongan, Aizuddin berkata, jumlah yang diterima bergantung kepada tempahan trip yang diperoleh.

"Kalau ada job tiap-tiap bulan, memang akan banyak dapat. Tapi kalau dua bulan sekali atau tiga bulan sekali, kita memang kena pandai kena urus duit betul-betul," ujarnya.

6269335454297997602

Aizuddin (tiga dari kiri) bergambar bersama kumpulan pelancong yang dibawa ketika berada di Norway.

Pada tahun lalu, Aizuddin berkata, bersama beberapa orang rakannya yang turut bergerak sebagai ejen pelancongan bebas dengan perkhidmatan trip peribadi, mereka berjaya mencatatkan jualan bernilai kira-kira RM400,000.

"Cabaran bergerak sendiri ini adalah untuk buat jualan dan promosi. Sebab semua benda kena buat sendiri.

"Untuk operasi tidak ada masalah sangat sebab kita sudah ada jaringan di lapangan," ujarnya yang turut menyimpan hasrat untuk mengusahakan syarikat pelancongan sendiri pada masa akan datang.

Cabaran tidak dilupakan sebagai pemandu pelancong

Dalam pada itu, Aizuddin mengakui bahawa terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi sepanjang hampir tujuh tahun bertugas sebagai pemandu pelancong.

Menurutnya, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika melawat negara Balkan antaranya seperti Croatia dan Serbia yang ramai penduduknya cukup anti terhadap Islam.

Aizuddin berkata, dia bersama rombongannya pernah berdepan dengan beberapa insiden provokasi melampau ketika berkunjung ke Croatia.

"Bagi saya negara paling kurang ajar dalam dunia yang saya pernah pergi adalah Serbia dengan Croatia. Dulu saya antara peminat bola Croatia, tapi semenjak pergi sana saya terus tutup berubah fikiran walaupun negara itu memang cantik.

"Pertama kali saya pergi 2017, masa itu kita ada lima van. Masa masuk Croatia, polis memang dah beritahu, kalau ada orang sentuh maklumkan. Tapi kalau mereka provokasi abaikan sahaja.

"Jadi ada sekali, masa kita tengah berhenti di sebuah lampu trafik. Apabila orang sana nampak dalam van pelancong bertudung, mereka terus maki hamun sampai tampar-tampar cermin van," ujarnya.

Bagaimanapun, Aizuddin berkata, meskipun sebahagian penduduk di negara itu cukup kuat dalam melakukan provokasi, mereka tidak pernah berani untuk melakukan kekerasan secara fizikal.

Ujarnya, peristiwa serupa turut berulang beberapa kali di tempat lain.

Aizuddin berkata, pernah berlaku kejadian di mana kumpulan pelancong dibawanya dihina oleh seluruh pengunjung di sebuah restoran ketika melalui premis berkenaan.

6269335454297997601

Sejak 2017, Aizuddin menumpukan tugasnya untuk pemandu pelancong di sekitar Eropah termasuk negara Balkan dan Scandinavia.

"Ada sekali, kita lalu di tepi restoran itu untuk beratur masuk ke kawasan air terjun. Kemudian, bila dia nampak ada orang pakai tudung, terus ada seorang bangun dan jerit 'takbir'.

"Kemudian satu restoran bangun dan berulang kali menyebut perkataan seperti mengejek kita," katanya.

Bagaimanapun, di sebalik peristiwa tersebut, Aizuddin berkata, terdapat banyak juga peristiwa manis yang dikecapi yang tidak boleh dikira sepanjang pengalamannya bekerja sebagai pemandu pelancong.

"Setiap negara ni dia sebenarnya ramai saja orang yang baik ni. Bila kita melancong ni, kita sebenarnya adalah orang yang sedang bermusafir. Jadi doa kita mudah dimakbulkan.

"Jadi yang paling penting sangat adalah kita nak jaga hati sepanjang mengembara sebab apa yang kita fikir, rasa dan cakap semua jadi doa.

"Bila kita fikir, cakap benda buruk-buruk, benda buruk itu akan datang kepada kita. Bila kita sentiasa positif, cakap dan fikir benda baik-baik, Insya-ALLAH benda baik-baik yang akan datang," ujarnya yang kini menetap bersama keluarganya di Jerantut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram