MESKIPUN Chin Chow Jack baru berusia 24 tahun, dia mempunyai minat cukup mendalam terhadap pembuatan kabinet, iaitu satu kemahiran yang dipelajarinya sejak kecil.
Mungkin agak pelik bagi seorang kanak-kanak untuk berminat dalam pertukangan kayu, namun Chow Jack dibesarkan dalam suasana kilang kabinet milik bapanya di Pandan Mewah, Ampang, Selangor.
Di situ, dia mempelajari pembuatan kabinet apabila sering membantu bapanya sejak di bangku sekolah rendah.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Bapanya, Peter Chin Kok San, 66, menjalankan perniagaan pertukangan hampir 35 tahun.
"Semasa di sekolah rendah, saya akan menghabiskan cuti sekolah di kilang ayah. Saya akan ikut ayah ketika dia bertemu dengan pelanggan, dan saya akan mengendalikan tugas-tugas mudah seperti mengukur pintu kabinet, membantu pemasangan, dan membaca 'blueprint' rangka pembuatan.
"Boleh dikatakan saya membesar dikelilingi kabinet," kata Chow Jack sambil tersenyum.
Baginya, perjalanan untuk mengikut jejak langkah bapanya dalam perniagaan itu seakan-akan merupakan satu laluan semula jadi untuk diikutinya.
Hasrat tersebut turut dikongsikan kepada bapanya.
Chow Jack (kiri) dan bapanya Peter berkongsi ikatan mendalam yang berakar umbi dalam kecintaan mereka terhadap pertukangan.
Dia mula bekerja dengan bapanya selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Chow Jack selalu bercakap tentang keinginan untuk mendapatkan gaji yang baik sejak kecil. Saya memberitahunya bahawa untuk mencapainya, dia perlu menguruskan perniagaan sendiri dan bekerja keras," ujar Kok San.
Walaupun kebanyakan rakannya cenderung memilih pekerjaan di pejabat atau kerjaya dalam bidang pemasaran dan teknologi, Chow Jack mahu menguruskan perniagaan yang dibina oleh bapanya.
Dia juga komited menguasai kemahiran tersebut dan membina aset simpanannya.
"Malah semasa bersekolah, saya sering menemani ayah dalam perjalanannya memasang kabinet, sering pergi ke pelbagai lokasi, kadang-kadang ke luar bandar.
"Saya juga belajar bagaimana ayah berinteraksi dengan pelanggan, dan merangka pelan reka bentuk terbaik mengikut bajet mereka. Pengalaman ini membuatkan saya selesa dengan penjualan, dan memupuk minat saya dalam reka bentuk kabinet serta reka bentuk dalaman.
"Selepas setiap pemasangan, ayah menjadikan tradisi untuk membawa saya makan, di mana kami akan berkongsi cerita dan mengeratkan hubungan. Pengalaman ini mengukuhkan ikatan kami dan menanamkan dalam diri saya rasa penghargaan terhadap pertukangan serta menjaga hubungan kekeluargaan," kata Chow Jack yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik.
Proses peralihan generasi
Dalam pada itu, Kok San sememangnya menyimpan harapan untuk melatih satu-satunya anak lelakinya untuk mewarisi perniagaan keluarganya suatu hari nanti.
Namun, dia sedar terdapat cabaran, terutamanya kerana terdapat 'perbezaan generasi'.
Chow Jack (kanan) menerima kaedah moden sambil menghormati cara tradisional Kok San.
"Kadang-kadang, sukar untuk mengajar Chow Jack selok-belok perniagaan kerana pendekatan kami berbeza. Dahulu, anak-anak hanya mengikut arahan ibu bapa mereka. Kini, kita perlu duduk bersama mereka, berbincang secara bermakna dan membantu mereka memahami bagaimana sesuatu itu berfungsi.
"Sebagai contoh, apabila bahan lewat sampai, saya selalu menghubungi pelanggan untuk menjelaskan situasi. Chow Jack mungkin terlepas pandang perkara ini dan berfikir ia tidak penting.
"Kemahiran komunikasi dan interpersonal adalah penting dalam menjalankan perniagaan, dan ia adalah satu aspek perlu diperbaiki generasi sekarang," kongsi Kok San sambil didengari oleh Chow Jack yang hanya mampu mendengar kenyataan tersebut tidak jauh daripadanya.
Pada 1980-an, Kok San bekerja sebagai penilai kawalan kualiti di sebuah kilang minuman di Kuala Lumpur.
Untuk menambah pendapatan, dia bekerja sambilan sebagai pelatih di kilang kabinet milik abangnya di Ampang pada 1989. Tiga tahun kemudian, pada 1992, dia berhenti kerja sepenuh masa dan menjadi rakan kongsi dalam perniagaan abangnya.
Selepas beberapa tahun, Kok San mengambil alih perniagaan keluarga.
"Saya menceburi perniagaan pertukangan kerana mencari kestabilan kewangan dan waktu kerja yang lebih baik.
"Keputusan saya untuk menceburi bidang keusahawanan adalah didorong oleh keinginan untuk menyediakan kehidupan yang baik untuk keluarga sambil meluangkan masa berkualiti bersama mereka," ujarnya.
Ditanya bagaimana dia mempelajari selok-belok perniagaan, Kok San berkata: "Bagi saya, pembuatan kabinet adalah mudah. Ia tentang pengiraan dan matematik – merancang reka bentuk, mengambil ukuran, dan memastikan semuanya mudah.
Chow Jack lebih suka menggunakan bantuan komputer untuk menyesuaikan reka bentuk dengan cekap.
"Saya tidak pernah mengikuti kursus; saya belajar secara langsung ketika bekerja," katanya.
Dalam pada itu, Chow Jack yang merupakan generasi baharu bergantung terutamanya pada perisian komputer untuk membuat rekaan bentuk kabinet, manakala bapanya masih lebih suka mereka bentuk secara manual.
"Ayah dan saya mempunyai kaedah kerja yang berbeza. Dia lebih 'old school' di mana dia melakar corak dan mencatat ukuran dalam buku notanya.
"Saya lebih suka menggunakan reka bentuk berkomputer (CAD) dan alat perisian untuk mencipta reka bentuk kabinet. Perisian CAD membolehkan penciptaan dan pengubahsuaian reka bentuk kabinet dengan cepat.
"Anda boleh dengan mudah menukar warna, gaya, dan dimensi, menjadikan proses reka bentuk lebih pantas dan fleksibel. Ini membantu dalam menggambarkan dan menyesuaikan reka bentuk dengan cekap," kata Chow Jack.
Anak bapa yang sentiasa bersama
Walaupun duo bapa dan anak itu mungkin mempunyai gaya kerja yang berbeza, Chow Jack gembira mempunyai bapanya di sisi untuk mengajarnya rahsia perniagaan.
Setiap kali mereka mempunyai perbezaan pendapat, mereka membincangkannya di pejabat untuk mengelakkan perkara itu menjadi masalah hingga ke rumah.
Kok San berkata, "Jika anak saya membuat kesilapan, saya biarkan ia berlaku kerana pembelajaran daripada kesilapan adalah penting. Kemudian, saya akan menunjukkan cara yang lebih mudah dan menjimatkan kos untuk melakukannya. Pengalaman mengajar kita pelajaran berharga.
"Kami berbincang isu-isu tersebut, kadang-kadang melalui telefon, tetapi kami berusaha untuk meninggalkan perbincangan kerja di pejabat dan memastikan ia diasingkan daripada kehidupan di rumah.
"Anak saya tinggal lima minit dari rumah kami, tetapi dia datang makan malam beberapa kali seminggu. Kebanyakan masa, kami makan tengah hari bersama juga," katanya.
Kok San (tengah) meraikan detik-detik berharga bersama anak-anaknya Chow Jack (kanan) dan Yun Yee (kiri) semasa dia masih muda.
Chow Jack berkata, kebanyakan masa, perselisihan antara dia dan ayah bukan bersifat peribadi tetapi berkisar tentang 'isu teknikal'.
"Kami biasanya selesaikan ia di lapangan. Terima kasih kepada pengalaman ayah sebagai penilai kawalan kualiti, dia tahu cara mengendalikan pembaikan peralatan. Dia sedang mengajar saya cara mengendalikan mesin dan menyelesaikan masalah.
"Dia percaya dalam melakukan pembaikan sendiri untuk mengurangkan kos pengeluaran, daripada bergantung kepada juruteknik luar. Saya rasa senang bekerja dengan ayah kerana dia tenang dan tidak terlalu cerewet," ujarnya.
Menguruskan perniagaan keluarga menuntut pengorbanan, yang bermaksud Chow Jack tidak dapat bercuti sesuka hati.
Ini kerana keutamaannya adalah memenuhi tarikh akhir, meletakkan perniagaan melebihi keperluan peribadi.
"Cuti panjang bukanlah gaya kami kerana perniagaan sentiasa diutamakan. Jika kami sibuk dengan pesanan, fokus kami adalah untuk memenuhi tarikh akhir daripada mengambil cuti," kongsi Chow Jack. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram