MEMELIHARA seni fesyen batik agar kekal relevan dalam pasaran adalah usaha yang sering dilakukan oleh ramai pereka fesyen dan pemilik kedai pakaian tempatan.
Namun, apabila bercakap mengenai usaha menjadikan batik sebagai pilihan pakaian harian yang lebih komersial, terdapat satu jenama tempatan yang dilihat berjaya melakukannya.
Dikenali dengan nama Kapten Batik, jenama itu diasaskan oleh dua individu iaitu Ekram Faiz, 37, dan Farhan Omar, 39 tahun.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Di sebalik latar belakang mereka yang datang daripada bidang kejuruteraan, ia tidak menghalang untuk membina perniagaan yang berjaya mengangkat semula imej dan pasaran batik tempatan ke tahap lebih tinggi.
Berkongsi mengenai detik awal bermulanya perjalanan Kapten Batik, Farhan berkata, idea mengasaskan perniagaan itu timbul sejurus selepas mereka membuat keputusan tidak lagi berkecimpung dalam bidang kejuruteraan.
"Pada waktu itu, saya dan Ekram berfikir mengapa pakaian buatan fabrik batik sukar mendapat sokongan sebagai pakaian rutin harian sedangkan ia telah wujud dalam generasi terdahulu?
"Persoalan yang terdetik dalam minda sekitar tahun 2016 akhirnya membawa kepada penubuhan jenama Kapten Batik," katanya.
Koleksi rekaan Kapten Batik dicipta dengan 100 peratus motif baharu.
Sebelum menceburi bidang fesyen dengan mengasaskan jenama pakaian tersebut, kedua-dua mereka mempunyai latar belakang pendidikan dan kerjaya yang berbeza.
Farhan dan Ekram masing-masing sebelumnya berkerjaya sebagai kejuruteraan elektronik dan mekanikal.
"Sejujurnya, kami berdua tidak mengetahui apa pun tentang fesyen dan perkara berkaitannya," ujarnya.
Bagaimanapun, perkara itu sama sekali tidak dijadikan sebagai alasan buat kedua-dua anak muda itu bagi merintis jalan ke dalam industri tersebut.
Ekram berkata, "Kami cuba merungkai masalah dengan koleksi batik sedia ada. Justeru, meletakkan diri sebagai masyarakat umum dalam mengenal pasti kehendak dan selera pasaran contohnya pemahaman dari segi corak, kombinasi warna dan potongan.
Mengambil contoh daripada negara jiran seperti Indonesia, beliau berkata, mereka mampu membudayakan pemakaian batik dalam apa juga gaya hidup.
Hal itu berbeza dengan situasi di Malaysia. Menurut Ekram, meskipun Malaysia memiliki batik yang tersendiri, pemakaiannya dilihat masih kurang mendapat perhatian
"Menyaksikan senario sedemikian, kami mengambil inisiatif menambahbaik batik bukan sahaja dari segi subjek motif, malah kombinasi warna dan potongan," ujar Ekram.
Antara koleksi pakaian Kapten Batik di kedai jenama tersebut.
Menurut Farhan, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada rendahnya minat dalam kalangan rakyat Malaysia untuk menggayakan pakaian tersebut.
Antaranya adalah rekaan motif batik di Malaysia yang dilihat tetap pegun pada atmosfera yang sama.
"Rekaan motif dan potongan gagal menarik minat apa juga lapisan generasi untuk menjadikan batik sebagai pakaian harian.
"Oleh itu, kami cuba menghasilkan koleksi batik yang dapat diterima semua lapisan generasi terutamanya golongan muda.
"Jenis fabrik juga dititikberatkan agar batik keluaran kami memberikan pengalaman pemakaian bukan sahaja bergaya, malah selesa berbanding batik fabrik konvensional," katanya.
Cara Kapten Batik tembusi pasaran di Malaysia
Mengulas mengenai detik awal permulaan memperkenalkan jenama Kapten Batik, Ekram berkata, mereka pada awalnya menyertai bazar hujung minggu sekitar 2017 dan bergerak tanpa sebarang premis.
Mereka juga berbahagi lokasi jualan antaranya di sekitar Ampang, galeri beli-belah Publika dan Bangsar Shopping Centre (BSC).
"Sambutan sangat menggalakkan dan tidak terfikir batik kami mendapat perhatian," ujarnya.
Bagaimanapun, fasa permulaan tersebut turut hadir dengan cabaran yang tersendiri.
Menurut Farhan, ini kerana pada waktu itu, Batik dilihat lebih sinonim dengan wanita.
"Meskipun tiada sebarang pendapat atau pandangan negatif, sebaliknya kebanyakan teman rapat menyarankan agar kami cuba dahulu. Koleksi pertama dihasilkan sebanyak 400 unit," ujarnya.
Dalam pada itu, Ekram berkata, mereka turut pernah berdepan dengan kritikan negatif daripada masyarakat komuniti tempatan terhadap rekaan batik yang dikeluarkan jenama mereka.
"Mereka mungkin terlepas pandang bahawa koleksi batik kami adalah ciptaan Kapten Batik sendiri.
"Kami tidak membawa kembali motif-motif batik sedia ada, sebaliknya mencipta motif baharu 100 peratus," ujarnya.
Kesemua koleksi Kapten Batik adalah ciptaan sendiri oleh pereka dalaman jenama tersebut.
Untuk rekod Kapten Batik memiliki enam tenaga kerja yang menjadi pereka dalaman atau 'in-house designer' jenama tersebut.
Kumpulan itu bertanggungjawab mencipta motif batik berdasarkan inspirasi pilihan antaranya.
Antara idea baharu yang pernah digunakan untuk dijadikan motif adalah bangunan warisan Malaysia, kuih muih tradisi seperti kuih keria, kek bulan dan maruku.
Farhan berkata, mereka juga lebih memberikan fokus untuk mencari teknik, motif dan rekaan terbaharu batik keluaran mereka berbanding melayan perdebatan dan pertikaian identiti mengenai asal-usul dan pemilik sebenar seni batik.
"Langkah ini bukan sahaja memperkayakan profil jenama, malah membuka peluang pekerjaan kepada tenaga pekerja tempatan dan luar negara.
"Misalnya, kami memperkenalkan teknik cetakan tradisi warisan dari India, tetapi ilhamnya asli daripada Kapten Batik. Maka secara tidak langsung usaha ini melibatkan kepakaran artisan dari negara luar untuk koleksi batik jenama kami," ujar Farhan.
Usaha mula membuahkan hasil
Kapten Batik mula berjualan melalui bazar hujung minggu di sekitar Lembah Klang.
Keyakinan duo tersebut terhadap produk mereka akhirnya terbalas apabila pelanggan mula memberikan respons yang positif terhadap jualan pakaian jenama tersebut.
Tidak cukup dengan itu, helaian koleksi mereka turut dibeli oleh pembeli fesyen daripada syarikat Robinson yang mempelawa dan menawarkan platform untuk Kapten Batik dijual di platform rangkaian pasar raya beli belah tersebut.
Farhan berkata, "Antara lokasi awal berniaga di tapak bazar RIUH dan APW di Bangsar. Saya berdiri berjam-jam sehingga kaki hilang rasa. Dari situ juga kami mendapati permintaan batik moden itu ada dan mula memikat hati masyarakat tempatan."
Dalam pada itu, selepas lebih tujuh tahun berada dalam pasaran, Kapten Batik kini turut memiliki kedai mercunya antaranya di Pulau Pinang yang diberikan suntikan urban dengan kerjasama sentuhan arkitek dan pereka dalaman terkemuka, Matthew Lim Associates dan Pamela Tan dari Poh Sin Studios.
Selain itu, mereka turut membuka butik mercunya di Publika dan mempunyai rangkaian kedai di enam lokasi antaranya di Bangsar Shopping Centre, The Curve, Gurney Paragon Mall Penang, KL East Mall, Isetan KLCC dan Isetan The Garden Mall.
Ditanya mengenai inspirasi di sebalik nama pemilihan nama Kapten Batik sebagai jenama, Ekram berkata, "Kapten adalah jawatan kepada pengemudi kapal. Ia lambang bagaimana kami mengemudi imej batik dalam arus gaya perdana buat setiap lapisan generasi di Malaysia." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram