[VIDEO] Polis siasat sumber dana 20 pusat kebajikan selain GISB


  • 112
  • Jumaat, 13 Sep 2024

PDRM siasat dana yang didermakan kepada 20 pusat jagaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISB.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dana yang didermakan kepada 20 pusat jagaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya percaya bahawa pusat jagaan tersebut mempunyai penaja lain, selain GISB.

"Terdapat juga rumah orang tua yang menerima dana daripada GISB dan sumber-sumber lain," katanya ketika sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Jumaat.

BACA LAGI: Soal siasat mangsa diselamatkan dari rumah amal GISB dijangka ambil masa 2 minggu — Ketua Polis Negara

BACA LAGI: [VIDEO] GISB nafi dera, eksploitasi kanak-kanak di Selangor dan Negeri Sembilan

WhatsApp Image 2024-09-13 at 13.44.51

Razarudin (tengah) ketika sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Jumaat.

Menurut Razarudin, pihaknya turut menolak dakwaan bahawa penghuni rumah amal yang diselamatkan menerusi Op Global baru-baru ini tidak dibenarkan untuk menunaikan solat.

Ujar beliau, kesemuanya dibenarkan untuk beribadah secara bergilir-gilir di bawah pengawasan polis untuk keselamatan mereka.

"Mana ada kita (polis) tak bagi solat... tidak benar, mereka boleh solat secara bergilir-gilir atas faktor keselamatan.

"Tidak masuk akal untuk mengatakan kami tidak membenarkan mereka solat. Malah, mereka ditempatkan di sini (di Pusat Latihan Polis), ada masjid di sini.

"Kita mahu keselamatan mereka semua terjamin dan mereka boleh solat, tak jadi satu halangan," jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan polis lambat mengambil tindakan berhubung kes melibatkan GISB, ujar Razarudin, sebarang tindakan akan melalui proses siasatan merangkumi pengumpulan maklumat dari pelbagai aspek.

"Tindakan polis adalah secara berterusan dan masa ini kita bertindak berdasarkan keterangan serta proses yang dijalankan telah mencukupi," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISB.

Selepas pemeriksaan dilakukan sebanyak dua fasa, Razarudin turut mengesahkan seramai 13 kanak-kanak yang tinggal di rumah amal berkenaan pernah diliwat. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram