'Bulan Malaysia Jiwa Merdeka', Tengku Zafrul optimis generasi muda jadi pemangkin ekonomi negara


  • Primer
  • Jumaat, 13 Sep 2024

Tengku Zafrul (dua kiri) berkata, ekonomi Malaysia berkembang 5.1 peratus pada separuh pertama 2024, meletakkan Malaysia di kedudukan lebih baik berbanding negara jiran di ASEAN.

'BULAN Malaysia' pada tahun ini sememangnya membawa satu harapan dan keyakinan baharu yang mungkin sudah lama tidak kita rasai selepas dua tahun negara dibuka sepenuhnya pasca-pandemik.

Sebagai seorang Menteri Kabinet, saya berpandangan ekonomi Malaysia berkembang 5.1 peratus pada separuh pertama 2024, meletakkan Malaysia di kedudukan lebih baik berbanding negara jiran di ASEAN.

Sasaran pertumbuhan anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2024 adalah sebanyak empat hingga lima peratus.

BACA LAGI: Kredibiliti sebagai pemimpin, antara 3 sebab Tengku Zafrul layak bertanding dalam Umno

BACA LAGI: Tengku Zafrul kongsi pengalaman kendali MOF ketika pandemik dalam buku

Investment, Trade and Industry Minister Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. — Bernama

Tengku Zafrul menjelaskan sasaran pertumbuhan anggaran KDNK pada tahun 2024 adalah sebanyak empat hingga lima peratus.

Nampaknya, ringgit juga kukuh dalam tempoh 18 bulan, sementara perdagangan meningkat 9.8 peratus dan sektor pembuatan berkembang 1.9 peratus dan 4.7 peratus pada dua suku pertama 2024.

Pelaburan berjumlah RM160 bilion diluluskan bagi separuh pertama 2024 yang meningkat 18 peratus berbanding tahun lepas menawarkan sebanyak 79,187 peluang pekerjaan.

Berdaarkan pemerhatian, pelaburan asing dari syarikat global seperti Amazon Web Services dan Google turut memacu peningkatan pelaburan domestik.

Jika kita lihat, kerajaan responsif terhadap trend perdagangan dan pelaburan global, meningkatkan jumlah perdagangan dan aliran pelaburan.

Malaysia kini dilaporkan sebagai destinasi pelaburan pilihan kerana kestabilan pentadbiran dan pengukuhan ringgit.

Tambahan pula, pelabur asing dan diplomat memuji kestabilan politik dan undang-undang Malaysia.

Dalam bulan Merdeka ini, ekonomi Malaysia menunjukkan kekuatan dengan tema Jiwa Merdeka membawa makna mendalam selepas belenggu Covid-19.

Pengalaman peribadi saya sebagai Menteri Kewangan pada 2020 dan kini di Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI) menunjukkan kerjasama dan dedikasi dalam membantu negara menghadapi cabaran dan memacu pertumbuhan ekonomi.

Saya berpendapat, reformasi penting termasuk kerjasama antara MITI dan kementerian lain untuk membangunkan program aliran bakat dan menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Pelabur menghargai kebolehan rakyat Malaysia, dan MITI bersama Kementerian Sumber Manusia dan Pendidikan Tinggi sedang membangunkan bakat industri dengan lebih tersusun.

Saya banyak melihat anak muda pelbagai kaum bekerja bersama dalam syarikat-syarikat multinasional industri termaju.

Tidak diragui, bakat dan kebolehan mereka sememangnya menyumbang kepada eksport kita, dan berperanan menarik lebih banyak pelaburan yang menyokong kemakmuran sosio-ekonomi Malaysia.

Menyentuh tentang bakat Malaysia di luar negara pula, saya gembira dengan program 'brain circulation' Talent Corp.

Program ini adalah usaha terbaru untuk memanfaatkan sumbangan dan kemahiran profesional Malaysia yang berada di luar negara demi kemajuan negara kita.

Saya berharap mesej ini dapat diterapkan, khususnya dalam kalangan anak muda.

Negara kita telah menghadapi banyak cabaran dalam mencapai kemerdekaan, mengharungi pandemik, dan terus berkembang dengan pesat.

Ini adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh.

Kita perlu ingat bahawa kejayaan Malaysia bergantung pada perpaduan kita, dan inilah kecemerlangan yang kita semua impikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno

*Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*