Dalam tak sedar mengejek atau mencela si mati, kita hanya mengundang kesedihan orang lain


  • Mukmin
  • Jumaat, 13 Sep 2024

Haram hukumnya mencaci, maki atau mencela orang-orang yang sudah meninggal dunia. — Gambar fail

DALAM kebanyakan pegangan kepercayaan masyarakat di dunia, sikap mencela atau merendahkan orang yang meninggal dunia tidak hanya dianggap sebagai tindakan yang tidak sopan, malah juga sebagai pelanggaran terhadap norma-norma kemanusiaan.

Kalau dipandang dari aspek agama, banyak ajaran yang menekankan pentingnya menjaga kehormatan dan martabat orang mati sebagai bentuk penghormatan terakhir.

Secara umum, prinsip itu bertujuan untuk mendorong sikap saling menghormati dan mencegah tindakan yang dapat memperburuk perasaan orang yang masih hidup misalnya ahli keluarga atau kerabat dari orang yang meninggal dunia.

BACA LAGI: Ramai wanita terlepas pandang baca ayat al-Quran ketika haid, ingatkan boleh rupanya haram

BACA LAGI: [VIDEO] Kiamat makin dekat, Daryl Goch lokasi sebenar munculnya Yakjuj Makjuj?

2881383

Sebaiknya elakkan dari mencela orang yang sudah meninggal kerana kerana perbuatan itu tidak digalakkan dalam Islam. — Gambar hiasan/NSTP

Sedar mahu pun tidak, kita mungkin melakukan perkara tersebut ketika menghadiri proses pengebumian orang meninggal.

Mengupas lebih mendalam, satu penulisan menerusi JIPS Kelantan menjelaskan terdapat dua hadis yang berlainan mengenai mencela orang mati.

"Hadis pertama membenarkan mencela jenazah sebelum dikebumikan sementara hadis kedua melarang mencela orang mati secara umum.

"Kedua-dua hadis itu diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan dianggap sahih, maka ulama mempunyai pendapat berbeza dalam menyelaraskan kedua-dua hadis tersebut.

"Terdapat beberapa penjelasan dari ulama iaitu mencela sebelum pengebumian,” memetik penulusan tersebut.

Menurut JIPS Kelantan, ada pendapat yang mengatakan mencela mayat hanya dibolehkan sebelum jenazah dikebumikan.

"Selepas pengebumian, mencela dianggap tidak lagi dibenarkan kerana mayat sudah menerima balasan dari amalannya.

"Jika mencela tidak dapat diperbaiki oleh mayat yang telah meninggal dan hanya akan memperburuk keadaan, maka mencela orang mati dianggap lebih berat berbanding mencela orang hidup.

"Ini kerana orang yang masih hidup boleh memperbaiki kesilapan atau membela diri sedangkan orang mati tidak boleh.

"Jika seseorang yang sudah meninggal dunia telah menyebarkan ajaran yang sesat atau melakukan kesalahan yang mempengaruhi masyarakat, maka menyebut kesalahan tersebut boleh diterima jika tujuannya mencegah kesalahan tersebut diikuti orang lain.

"Ini lebih kepada memberikan penjelasan dan pengajaran, bukan sekadar mencela,” jelas petikan itu.

Secara umum, larangan mencela orang mati lebih ditekankan agar dielakkan kerana mereka sudah menerima balasan dari amal perbuatan mereka dan tidak dapat membela diri.

Oleh itu, kehormatan seorang Muslim harus dijaga sama ada semasa hidup atau selepas meninggal dunia.

photo_2024-09-12 17.34.40

Mencela orang meninggal hanya membuatkan ahli kelurga bertambah sedih. — Gambar hiasan/Agensi

Memetik penulisan Pengarah Majlis Hukama' Mulis, Mohamad Razif Mohamad Fuad menerusi bukunya yang bertajuk 59 Mutiara Nabawi berkenaan topik larangan mencela mayat ada menegaskan terdapat hadis riwayat daripada Aisyah yang berkata, Rasulullah bersabda:

لَا تَسُبُّوا الأَمْوَاتِ فَإِنَّهُم قَدْ أَفْضَوا إلَى مَا قَدَّمُوْا

Maksudnya: “Janganlah mencela orang yang mati kerana sesungguhnya mereka telah sampai kepada hasil dari amalan yang mereka lakukan di dunia.(Riwayat al-Bukhari, no. 6516).

"Hadis yang tertera menunjukkan haram hukumnya mencaci maki atau mencela orang-orang yang sudah meninggal dunia.

"Keumuman hadis ini menunjukkan larangan ini tidak hanya kepada Muslim tetapi juga bukan Muslim.

"Hikmah di sebalik larangan mencela mayat adalah seperti yang dinyatakan dalam akhir hadis: "...mereka telah mencapai keputusan berdasarkan apa yang mereka telah lakukan.”

Hal itu bermaksud, orang yang meninggal dunia sudah menerima balasan dari perbuatan mereka semasa hidup sama ada baik atau buruk, menurut penulisan Mohamad Razif.

"Jadi, kita tidak berhak mencela mereka kerana hanya Allah yang berhak menilai dan menentukan nasib mereka.

"Mencela mayat biasanya boleh menyebabkan kesedihan kepada keluarga si mati.

"Dalam pandangan Ahli Sunah wal Jamaah, kita berharap agar mereka yang baik akan mendapat ganjaran pahala dan rahmat dari Allah serta tidak akan diseksa.

"Sebaliknya, kita risau jika seseorang yang telah meninggal dunia mungkin diseksa kerana dosa-dosanya.

"Kita juga tidak boleh memastikan sama ada seseorang itu ahli syurga atau neraka, kecuali jika ada bukti yang jelas," memetik ayat pada halaman muka surat 196.

Justeru, memahami larangan mencela orang mati membantu kita untuk lebih menghargai nilai-nilai kemanusiaan dan menghormati mereka yang telah tiada maupun terhadap sesama yang masih hidup. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram