"MAK, Syafiq nak pulih dengan cepat. Walaupun fizikal Syafiq tak sempurna tetapi Syafiq masih ingin berbakti kepada masyarakat."
Itu antara bait-bait kata diungkapkan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang melecur 75 peratus badannya ketika mahu menyelamatkan mangsa kebakaran pada 28 Ogos tahun lalu kepada ibunya, Julia Jemat.
Walaupun setahun lebih sudah berlalu, Mohamad Syafiq Mohamad Ali Hanaffiah tidak pernah sedikit pun menyesali tindakannya itu.
BACA LAGI: 'Uncle masih ingat saya?', bekas polis Sandakan sebak ditegur mangsa nahas 31 tahun lepas
Menurut Julia lagi, meskipun fizikal Syafiq kini tidak lagi sempurna seperti dahulu, dia tetap cekal dalam menghadapi cabaran pemulihan yang panjang.
“Syafiq selalu cakap, dia tak kisah dengan keadaan fizikalnya, asalkan dia boleh terus hidup dan kembali berbakti kepada masyarakat.
"Itu yang menguatkan saya juga sebagai seorang ibu,” kata Julia dalam nada sebak kepada Majoriti.
(Dari Kiri) Julia bersama Syafiq sebelum tragedi kebakaran yang menimpa anaknya itu.
Menurut ibu tunggal berkenaan lagi, anak keempat daripada enam beradik itu pernah dibenarkan keluar hospital, namun terpaksa dimasukkan semula ke unit rawatan rapi Hospital Umum Sarawak ekoran persekitaran yang tidak sesuai di rumah.
"Sepanjang tahun lalu, Syafiq menjalani beberapa siri pembedahan dan rawatan susulan.
"Alhamdullilah, keadaan dia semakin baik walaupun Syafiq masih belum mampu menguruskan diri sendiri dan terpaksa menggunakan kerusi roda," jelasnya menggambarkan keadaan terkini Syafiq.
Syafiq sanggup bertarung nyawa meredah api marak demi menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa dekat Kuching, Sarawak pada Ogos lalu.
Julia sendiri mengakui, dia perlu kuat demi anaknya walaupun terkadang dia penat dengan keadaan semasa.
"Kalau saya penat, Syafiq lagi penat menahan kesakitan. Setiap kali proses mencuci luka saya nampak muka dia tahan sakit. Hati saya juga luluh melihat Syafiq meronta kesakitan apabila setiap kali balutan ditukar.
"Tetapi, apalah sangat penat saya jika dibandingkan dengan sakit Syafiq itu. Saya sanggup buat kerja apa sahaja asalkan Syafiq pulih sepenuhnya," luahnya dengan nada sayu.
Ujian demi ujian dihadapi wanita berumur 57 tahun itu kerana selepas Syafiq, dia memaklumkan anak bongsunya, Mohamad Syaaid Ali Hanaffiah pula sakit diserang sawan.
Tambahan pula, pendapatannya sebagai tukang masak di Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Kuching tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan kedua-dua anaknya itu yang menelan belanja lebih daripada RM4,000 sebulan.
"Kehidupan seharian saya sekarang ini banyak diluangkan bersama Syafiq dan Syaaid selepas habis bekerja.
"Tanggungjawab saya sebagai ibu, yang penting anak sihat. Saya reda dengan ujian ini, mungkin ini cara ALLAH uji kami," ujar Julia yang turut menjual nasi lemak bagi menampung kos sara hidup mereka sekeluarga.
Julia kini menjaga dua anaknya Mohamad Syaaid (kiri) dan Syafiq yang kini memerlukan rawatan perubatan.
Kisah keberanian sukarelawan APM itu pernah mendapat liputan luas media tempatan dan perhatian wakil rakyat Sarawak.
Dalam kejadian itu, Syafiq sanggup bertarung nyawa meredah api marak demi menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa dekat Kuching, Sarawak.
Mangsa, Zayyan Nazeem Zainal Abidin bagaimanapun tidak berjaya diselamatkan dan ditemukan rentung oleh anggota bomba selepas api berjaya dipadam.
Berikutan insiden berkenaan, Syafiq terpaksa ditidurkan setelah dimasukkan ke zon merah Hospital Umum Sarawak dan disahkan mengalami kesan kebakaran tahap tiga pada ketika itu.
Menurut Julia, walaupun berdepan dengan kecacatan fizikal, semangat Syafiq untuk terus menyumbang kepada masyarakat tidak pernah pudar. Dia berharap suatu hari nanti, apabila pulih sepenuhnya dan kembali menjalankan tugasnya sebagai sukarelawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram