
SEMUA keluarga disarankan agar sentiasa peka dengan perubahan tingkah laku, emosi dan pemikiran anak-anak khususnya mereka yang sedang menjalani rawatan dan pemulihan di pusat pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Shobah Jamil berkata, usaha itu dapat membantu dalam pengekalan kepulihan klien di peringkat awal sekali gus mengelakkan penagihan semula.
Katanya, ini kerana keluarga adalah tempat rujukan utama klien dalam mendapatkan kepulihan sepanjang hayat.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
“Kepada semua ahli keluarga, saya menyeru agar sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada klien untuk mengubah cara hidup kepada gaya yang baharu, sihat serta membina.
“Ini adalah sebab keluarga sentiasa menjadi tonggak harapan dalam kepulihan klien baik mereka yang menjalani rawatan dan pemulihan secara dalam institusi (RPDI) mahupun komuniti (RPDK),” katanya ketika berucap merasmikan Post Continumm Care Programme (PCCP) Peringkat Negeri Sembilan pada Khamis.
Dalam pada itu, Shobah turut melahirkan ucapan tahniah kepada semua klien yang berjaya menamatkan program rawatan dan pemulihan pada tahun ini.
“Saya difahamkan penerima watikah penamatan hari ini adalah klien yang mengekalkan prestasi baik sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan serta mencapai markah cemerlang dalam indeks kepulihan yang dilaksanakan AADK.
“Semoga hari ini menjadi dorongan dan pembakar semangat untuk semua mengekalkan daya juang yang tinggi menghadapi cabaran dalam kepulihan,” ujarnya.
Hadir sama Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan; Ketua Penolong Pengarah (Dasar dan Keselamatan) Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Dr Nazira Sadiron dan Pengarah AADK Negeri Sembilan, Dr Hadijah Baba. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram