JAUH daripada pengawasan pegawai bertugas di pusat pemulihan dadah antara ujian terbesar buat kelompok penagih dadah yang sudah melangkah keluar untuk menjalani kehidupan bersama masyarakat.
Sebagai persediaan, setiap klien yang menjadi penghuni pusat pemulihan dadah akan diberi asas ilmu berkaitan kerohanian, pengurusan diri dan kemahiran hidup untuk mendepani penolakan sosial.
Selepas selesai tempoh di tempat pemulihan, senario kembali ke kancah dadah antara perkara klise yang berlaku dek kekurangan pengawasan, selain kes pergaulan semula dengan rakan-rakan lama mereka.
BACA LAGI: Sesi luah perasaan berkumpulan di tempat kerja mampu atasi tekanan mental — Pakar Psikologi
BACA LAGI: VIDEO] Kenal syabu ketika usia 12 tahun, detik kawan mati ketika tengah 'high' ubah diri Iskandar
Senario tersebut bagaimanapun jarang berlaku melibatkan klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) iaitu salah satu inisiatif Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) susulan pusat rawatan itu melakukan pemeriksaan berkala.
Pengarah Puspen Seri Iskandar, Nur Alisa Alia berkata, setiap klien yang sudah selesai menjalani rawatan masalah ketagihan selama dua tahun perlu melapor perkembangan terkini kepada AADK daerah.
"Selepas keluar dari sini, mereka ada dua tahun untuk lapor diri setiap bulan ke pejabat AADK daerah. Kebiasaannya, kaunselor di sini sering menjadi rujukan bekas klien dan mereka akan sentiasa diingatkan untuk pulih sepenuhnya memang mengambil masa.
"Bekas klien juga masih ada yang reach out. Kami ada grup WhatsApp untuk alumni. Ada juga bekas klien yang telefon atau datang ke sini untuk berjumpa pegawai-pegawai," katanya ketika ditemui Majoriti baru-baru ini.
Dalam pada itu, Puspen Seri Iskandar mempunyai tarikan tersendiri apabila menjadi satu-satunya tempat di Semenanjung yang menawarkan program pembelajaran khusus untuk klien mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pengarah Puspen Seri Iskandar, Nur Alisa Alia.
Nur Alisa berkata, platform yang disediakan Puspen Seri Iskandar ini membuka peluang buat klien memasang semua impian mereka selepas terkubur dek terperangkap dalam kancah dadah.
"Setakat ini kalau di Semenanjung Malaysia yang menyediakan peluang yang komprehensif dengan SPM adalah di Seri Iskandar. Bekas klien ada yang dapat SPM agak cemerlang dan sekarang sudah bekerja.
"Kalau ikutkan ini tahun ketiga kita ada calon SPM. Kumpulan pertama ada lapan orang lulus dan memang ada beberapa orang dapat pekerjaan termasuk seorang dalam sektor kerajaan
"Ini menunjukkan walaupun masuk ke Puspen tidak menjadi halangan untuk menjadi penjawat awam. Tak adalah istilah kalau masuk sini akan disenarai hitamkan. Mereka memang berterus terang dengan majikan," jelasnya.
Selain program pembelajaran, Puspen Seri Iskandar juga membantu klien mendalami ilmu kemahiran sebagai persediaan untuk menceburi pekerjaan baharu selepas pulih. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram